Hari ini Wak nak bedal sikit Menteri Besar Terengganu. Mungkin ada orang kata siapa Wak nie yang nak bedal sesuka hati pemimpin tinggi kerajaan. Ok.. Wak bagi tahu. Wak ini bukan sesiapa. Wak adalah rakyat biasa yang membayar cukai kepada kerajaan. Wak juga adalah seorang pengundi berdaftar yang sah. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab dan tak pernah miss membayar cukai, Wak rasa tak salah jika Wak mengingatkan pemimpin atasan jika mereka sudah menyeleweng atau melakukan sesuatu yang tidak wajar. Sebagai warganegara, Wak pun ada syer atau saham dalam negara ini. Wak nak gunakan hak ini sekarang.
Wak nak tanya kepada Menteri Besar Terengganu, selepas diberi kepercayaan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu, apa prioriti kerajaan negeri Terengganu? Adakah yang didahulukan ialah rakyat atau diri sendiri? Rakyat memberi mandat kepada BN kerana mereka yakin BN boleh membela nasib dan kepentingan mereka. Mereka juga percaya bahawa pemimpin yang dipilih akan melakukan sesuatu yang terbaik kepada rakyat dan negeri Terengganu.
Tetapi agak malang belumpun sempat 150 hari memerintah Terengganu, pemimpin BN dah buat hal. Pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri pada Wak sangat tidak sesuai, tidak wajar dan dilihat membazir, apatah lagi dengan inflasi yang berlaku dinegara kita. Kerajaan pusat seringkali mengingatkan rakyat supaya berjimat cermat, jangan membazir, berbelanja yang perlu, ubah gaya hidup. Tapi tut tut Menteri Besar Terengganu dan Exconya betul-betul ubah gaya hidup --- hidup yang lebih elegan, mewah dan bergaya. Sedangkan ramai lagi rakyat yang terpaksa mengikat tali perut dengan suasana semasa. Apakah MB dan EXCO tidak menyedari perkara ini?
Wak nak tanya MB, apa penting sangat kereta Mercedes itu? Apakah jika tidak ada kereta Mercedes kerajaan negeri tak boleh buat kerja? Adakah jika tidak naik Mercedes maka rakyat hilang penghormatan kepada mereka? Atau jika tak naik Mercedes maka nampak tak hebat? Kalaulah itu yang dimaksudkan maka tunggulah pilihan raya sekali lagi. Lingkuplah BN di Terengganu.
Alasan rasmi yang diberi oleh MB Terengganu ialah keputusan pembelian kenderaan berjumlah RM3.43juta itu dibuat berikutan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri sebelum ini terlalu tinggi. Sebagai contoh, kereta proton perdana yang diguna tidak sampai dua tahun terpaksa diselenggara kerana beberapa komponen kereta seperti kotak gear rosak.
Jika itu alasan yang diberi, jelas MB Terengganu merendah dan menghina kereta nasional. Apakah rekod semua kereta proton perdana yang berada di pasaran kotak gearnya hanya bertahan hanya dua tahun??? Kawan Wak dah 10 tahu pakai proton perdana, masih elok pun. Jika kita guna kereta tersebut dengan cermat dan baik, maka jangka hayatnya mesti panjang. Maklum sahaja, kereta kerajaan...lanyak saja. Itu sebab hanya bertahan hanya dua tahun.
Kepada MB dan EXCO, suka Wak ingatkan yang Perdana Menteri dan barisan Menteri pusat sedang berhempas pulas untuk menangani masalah rakyat, masalah inflasi dan seribu satu lagi masalah yang mendatang. Takkan pemimpin Terengganu nak tambah masalah kepada kerajaan pusat kot? Janganlah begitu. Walaupun kerajaan Terengganu banyak wang, tapi janganlah tunjukkan imej membazir disaat rakyat dan negara dalam kesempitan. Jangan perpatah "BERMEWAH MEMBAWA PADAH' jadi kenyataan di Terengganu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment