Tuesday, August 26, 2008

BENAR DAN SALAH

Wak beristighfar panjang. Wak dah tak tahu apa dah nak jadi kat umat Islam di negara ini. Wak rasa dah sampai masanya Wak nak suarakan kepada alim ulama secara terus terang dan tanpa berselindung lagi. Wak dah tak tahan dengan apa yang telah dilakukan oleh mereka. Wak berani nak tegur alim ulama ini kerana mereka pada pendapat Wak dah jauh lari dari landasan agama kerana mengutamakan landasan politik. Wak tak halang jika mereka nak berpolitik kerana Negara kita mengamalkan sistem demokrasi dan masing bebas untuk menyuarakan pandangan mereka. Tapi biarlah pandangan tersebut selari dengan agama.

Wak nampak beberapa kerat ulama apabila bercakap seolah-olah mereka lebih mengetahui dari apa yang Allah s.w.t tahu. Wak tahu apabila Wak buat statement ini sudah pasti ramai yang akan marah kat Wak. Tapi Wak tak kisah. Sesekali kita kena berkeras dengan segelintir ulama ini untuk memberi peringatan kepada mereka supaya berbaliklah ke landasan agama. Wak juga nak mereka sedar bahawa apa yang mereka buat sekarang ini salah. Tak ramai yang berani tegur mereka. Biar Wak tegur. kalau Wak tak betul tolong tegurkan Wak sama. Imam sembahyang juga ada masanya buat salah. Kita sebagai makmum kena tegur. Ulama juga bukan maksum. Bila mereka buat salah maka wajib kita tegur.

Perkara yang Wak nak cakap hari ini ialah tentang sumpah Saiful. Wak sebenarnya tak kenal siapa Saiful. Wak tak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara Saiful dan Anwar. Yang benar-benar tahu apa yang berlaku ialah Saiful dan Anwar. Dan yang lebih mengetahui ialah Allah s.w.t.

Saiful telah membuat laporan polis bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar. Keesokan harinya Anwar telah menafikan bahawa beliau telah meliwat Saiful dan menuduh ini satu fitnah dan satu lagi konspirasi. Kemudian Saiful telah diserang bertubi-tubi dengan pelbagai tuduhan yang mengaibkan serta tuduhan yang didakwanya tidak benar tentang dirinya. Saiful telah menegaskan bahawa ini bukan fitnah. Ini adalah sesuatu yang benar berlaku dan untuk menunjukkan bahawa perkara ini benar-benar berlaku, beliau sanggup melakukan apa sahaja yang boleh membuktikan bahawa apa yang dikatakannya adalah benar. Pertama beliau membuat laporan polis untuk membawa Anwar pergi ke mahkamah. Kedua, mengadu kepada Allah s.w.t.

Yang pertama beliau ajak Anwar ke mahkamah. Anwar nampaknya cuba juga untuk mengelakkan diri pergi ke mahkamah dengan pelbagai alasan tetapi akhirnya pihak berkuasa mengheret juga beliau ke mahkamah. Maknanya mereka akan berjumpa di mahkamah. Kedua, Saiful juga ajak Anwar mengadu kepada Allah s.w.t. yakni dengan bersumpah bahawa beliau tidak melakukan liwat ke atas Saiful. Tapi yang ini Anwar bermatian tidak mahu.

Oleh kerana Saiful merasakan fitnah dan cercaan yang menimpa dirinya datang bertalu-talu mengenai kes liwat ini yang menampakkan seolah-olah beliau mengada-adakan cerita, seorang penipu, pendusta, pembohong, terlibat dalam konspirasi dan lain-lain tekanan, maka beliau mengambil jalan untuk melakukan sumpah mubahalah. Beliau bersedia menghadapi apa sahaja hukuman dari Allah s.w.t. seandainya apa yang dikatakannya tidak benar. Dalam hal ini Saiful menanggung risiko yang besar jika apa yang dikatakan tidak benar. Maknanya beliau sanggup menghadapi risko atas keyakinan apa yang dikatakan benar.

Tapi Wak agak rasa kecewa dan dukacita apabila terdapat beberapa ulama yang nampaknya mempertikaikan cara sumpah yang dianggap cara Kristian, sumpah tak ikut cara Islam, bermotifkan politik dan sebagainya. Nik Aziz misalnya dalam akhbar Harakah mengatakan “apa yang dibuat Saiful dua hari lepas, menyamai apa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian yang bersumpah menggunakan Bible. Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Sumpah juga tidak perlu dibuat dalam masjid kerana ianya sama seperti ajaran Kristian yang bersumpah di gereja. Orang Islam tidak perlu bersumpah di masjid, sebaliknya boleh bersumpah di mana-mana sahaja asalkan ianya sumpah yang menepati Islam”

Dalam pada itu ulama ini juga mempunyai prasangka apabila mempertikaikan motif sebenar Saiful bersumpah menjelang hari penamaan calon Permatang Pauh, yang katanya mempunyai maksud yang tersirat. Beliau juga berharap pengundi-pengundi Melayu yang beragama Islam tidak terpengaruh dengan propaganda media yang memanipulasi sumpah Saiful. Dan akhirnya beliau berkata "Saya berdoa dan berharap Dato' Seri Anwar diberikan kemenangan,".
Nampaknya Nik Aziz sudah meletakkan sebelah kaki memberi sokongan dan mendoakan Anwar. Ini bermakna beliau mempunyai keyakinan bahawa Anwar dipihak benar.

Adakah Nik Aziz yakin dan tahu bahawa Anwar benar-benar benar? Dan mengapa beliau tidak memujuk atau memberi tunjuk ajar kepada Saiful cara sebenar bersumpah cara Islam. Atau mengapa beliau tidak berkata “ biarlah Allah s.w.t. yang menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Saya tidak tahu kerana saya tak lihat perkara itu. Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu. Sama ada Anwar mahupun Saiful, bersedialah menerima azab Allah s.w.t. jika anda melakukan kemungkaran” Barulah ini namanya ulama sejati. Ulama kena cakap betul. Tak payah nak berbelit-belit. Takut nanti di akhirat nanti Allah s.w.t. pula akan membelitkan lidahnya.

Walaupun pada pandangan Nik Aziz cara dan kaedah sumpah Saiful tak betul, tapi kena ingat apa niat sumpah dia. Dan yang paling penting Saiful ada menyebut wallahi... wabillahi....Wata'alah. Adakah tak sah? Itu adalah antara Saiful dan yang maha esa.
Kepada siapa lagi beliau nak mengadu jika tidak kepada penciptaNya. Beliau dah tidak mempunyai tempat yang paling baik untuk mengadu melainkan kepada penciptaNya. Jika Anwar yakin bahawa beliau benar dan semua tuduhan adalah semata-mata fitnah, mengapa harus takut untuk turut mengadu kepada Allah s.w.t.? Bukankan Nik Aziz kata orang Islam boleh bersumpah di mana-mana sahaja asalkan ianya sumpah yang menepati Islam.

Mengapa Nik Aziz tak suruh Anwar bersumpah dengan sumpah yang menepati Islam. Sayugia diingatkan kepada Nik Aziz atau sesiapa sahaja, jika anda cuba untuk melindungi seseorang hanya untuk kepentingan politik dan bukan atas dasar ketakwaan kepada Allah s.w.t., tunggulah hari pembalasan kelak. Sebagai ulama, keikhlasan dan prinsip kebenaran hendaklah diutamakan. Jangan fikir hal politik sahaja. Jangan fikir Tuhan tidak tahu apa yang anda fikirkan. Wak bukan nak membela Saiful. Kalau Saiful bersalah atau berbohong, terimalah akibatnya nanti.

Wak lebih sedih bila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menganggap tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bagi mempertahankan kebenaran dirinya terhadap kes liwat tersebut sebagai suatu kebodohan dan menyifatkan dakwaan kes liwat ini sebagai berunsur politik. Ini satu lagi prasangka. Nampaknya Haji Hadi mempunyai kecenderungan berprasangka buruk terhadap orang lain hingga sentiasa berkecenderungan memandang kelompok lain dengan pandangan negatif yang penuh dengan kejelikan dan keburukan. Seorang ulama sejati harus sentiasa berfikiran jernih dan menjauhi sikap berprasangka buruk agar sentiasa berlaku adil kepada kawan mahupun lawan. Ini sudah terang-terang menyebelahi satu pihak. Mana keadilan? Wak nak tanya Hj Hadi, apakah bodoh namanya jika Saiful mengadu kepada penciptaNya. Jikapun berlaku kesilapan teknik, tetapi Saiful masih menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Apakah ini satu kesalahan besar. Jika Saiful menduakan Tuhan, itu kesalahan besar. Tapi beliau cuma mengadu kepada Tuhannya.

Dan yang terakhir yang Wak lagi rasa lagi kecewa apabila Badrul Amin menyebut dalam doanya dalam majlis solat munajat meminta kemenangan Anwar Ibrahim di Masjid Bandar Baru Perda meminta ‘dimusnahkan’ Timbalan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Astagfirullah. Ulama jenis apakah si Badrul Amin ini???? Mendoakan keburukan untuk orang lain adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Rasulullah SAW melarang umatnya berdoa seperti ini. Mengapa tidak berdoa kepada Allah s.w.t. agar diberi petunjuk siapa yang benar atau tidak. Wak bimbang dengan Badrul Amin sekali akan ‘musnah’ nanti jika doa dimakbulkan untuk diberi petunjuk kebenaran. Perbuatan itu amat dikutuk kerana Islam menyeru kepada perpaduan, penyatuan dan ikhwan Islamiah dan bukan kepada perpecahan, persengketaan, perkelahian, pergaduhan, permusuhan dan hasad dengki.
Wak minta maaf kerana Wak tak sebut dipangkal nama Tok Guru, Ustaz atau lain-lain yang setaraf dengan gelaran yang sepatutnya Wak sebut. Wak hanya sebut nama mereka sahaja. Ini kerana Wak dah hilang rasa hormat kepada mereka. Mereka mempunyai ilmu agama yang tinggi tetapi sikap dalam hal menyatakan kebenaran hakiki seperti mana yang dituntut oleh agama tidak dipraktikkan.

Sebenarnya banyak lagi ulama di Malaysia yang Wak hormati dan boleh kita jadikan idola dan ikutan. Ulama adalah orang yang ilmunya menyampaikan mereka kepada sifat takut kepada Allah.” (Kitabul ‘Ilmi hal. 147). Para ulama adalah orang-orang yang menjelaskan segala apa yang dihalalkan dan diharamkan, dan mengajak kepada kebaikan serta menafikan segala bentuk kemudharatan. (Tadzkiratus Sami’ hal. 31) Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan ciri khas seorang ulama yang membedakan dengan kebanyakan orang yang mengaku berilmu atau yang diakui sebagai ulama bahkan waliyullah.

إِنَّماَ يَخْشَى اللهَ مِنْ عِباَدِهِ الْعُلَمآءُ

“ Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama (Fathir: 28)

Ingatlah Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Telah aku tinggalkan bagi kamu 2 perkara, kamu tidak akan sesat buat selama2nya jika kamu berpegang teguh atau berpandukan kepada keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulnya.

Rasulullah s.a.w telah mewariskan kepada umatnya al-Quran dan as-sunnah untuk menjadi perlembagaan hidup manusia, tetapi kerana ada golongan manusia yang mengutamakan kepentingan dan muslihat tertentu, masalah utama tidak di cari penyelesaiannya. Seperti perselisihan yang berlaku sekarang dalam kalangan umat Islam adalah semata2 kerana muslihat dan kepentingan diri semata2. Wak menyeru kepada semua umat Islam, marilah kita bersatu dalam hal menegakkan agama Allah di muka bumi ini dan jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kemusnahan. AMIN.

Tuesday, August 12, 2008

DEMI KUASA - BIAR BANGSA MELAYU HANYUT

Wak teramat sedih dengan apa yang sedang dilakukan oleh PKR kebelakangan ini. Wak faham apa yang cuba dilakukan oleh mereka. Dalam pergelutan untuk mendapatkan kuasa politik, PKR telah cuba memancing sokongan bukan bumiputra dengan menawarkan sesuatu yang istimewa kepada mereka dengan harapan masyarakat bukan bumiputera akan merasa selesa dan mendapat keuntungan besar dari polisi yang dibuat oleh PKR.

Daripada keistimewaan kandang babi moden yang mencecah puluhan malah ratusan jutaan ringgit, penghapusan semangat DEB, hasrat menghapuskan peraturan yang mengehadkan saiz rumah ibadat bukan Islam di Selangor, menukar ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat, menyokong forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam dan yang terakhir mengemukakan cadangan supaya 10% kuota pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.

Inilah wajah sebenar PKR. Wak melihat bahawa dari sehari ke sehari PKR telah melakukan sesuatu yang merugikan orang-orang Melayu. Maruah Melayu kini sedang dilelong oleh PKR semata-mata mahu mengambil hati orang-orang bukan Melayu. Pemimpin-peminpin mereka dah lupa kalau tak kerana DEB, dimanakah orang-orang Melayu berada sekarang ini? Inilah namanya kacang yang lupakan kulit yang menjadi pelindung kepada mereka selama ini. Habis manis sepah dibuang. Kerana mengejar kuasa, apa saja mereka sanggup lakukan. Biar binasa bangsa, biar binasa negara asalkan hajat aku tercapai. Mungkin itu yang mereka lihat. Perasaan kasih dan sayang kepada bangsa sudah tidak penting.

Pada Wak parti sebegini elok kita campakkan sahaja ke dalam laut. Tak perlu kita sokong. Parti ini tidak akan memberi sesuatu yang diperlukan oleh orang Melayu. Malah menggadaikan hak dan keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh orang Melayu. Kepada orang Melayu..sedarlah sebelum nasi menjadi bubur. Jangan biarkan maruah dan diri kita digadai oleh parti yang tak bertanggungjawab ini. Wak dah rasa mual dan muak dengan perbuatan mereka ini. Jangan biarkan bangsa Melayu diperlakukan sebegini. Jangan biarkan bangsa Melayu hanyut di negeri sendiri. Wak bimbang jika perkara ini diteruskan, suatu hari nanti tak mustahil azan tidak akan dibenarkan lagi dilaung di corong pembesar suara.

Inilah akibatnya yang akan kita tanggung nanti jika kita tidak berhati-hati mulai sekarang. Wak berharap janganlah kita jadi ‘menang sorak kampung tergadai’. Insaflah wahai orang Melayu. Jangan sesekali membenarkan PKR memerintah Malaysia.

Monday, August 4, 2008

SIAPA YANG REBAH?

Wak terasa nak ketawa besar apabila pengarah pilihyanraya negeri PKR Mustafa Kamil Yusuf menyebut bahawa Mohamad Ezam Mohd Noor "lebih senang diperebah" jika terpilih sebagai calon BN menentang bekas ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh. Menurut Mustaffa Kamal Yusuf, strategi yang akan diguna jika Ezam dijadikan calon UMNO di Permatang Pauh ialah dengan memasang balik rakaman Ezam dulu-dulu. Ini maknanya ucapan Ezam masa dalam PKR yang mengecam UMNO.

Wak rasa nak ketawa pasal jika strategi itu digunakan untuk melemahkan Ezam dan UMNO, maka UMNO pun akan menjalankan strategi yang sama. UMNO akan menyiarkan balik ucapan Anwar masa beliau masih dalam UMNO yang menghentam PAS, DAP, memuji Mahathir dan macam-macam lagi. Tidak susah kan. Jadi Wak rasa strategi tu dah tak boleh pakai. Wak nak nasihatkan Mustafa Kamal supaya carilah strategi yang lebih berkesan dan tidak memakan diri.

Menyentuh tentang pilihanraya di Permatang Pauh, walaupun Wak rasa Anwar boleh menang tetapi majoritinya tidak akan sama seperti mana yang didapati oleh Wan Azizah. Ramalan Wak majoriti yang akan diperolehi oleh Anwar akan jauh merosot. Silap-silap haribulan, majoriti tak sampai 3,000 undi. Ramai yang akan kata ramalan Wak gila-gila. Dulu kalau Wak kata Selangor akan jatuh ke parti pembangkang, kawan-kawan Wak kata Wak dah nyanyuk dan ramalan Wak langsung tak boleh pada akal orang yang waras. Depa kata Wak tak waras ler tu. Tapi bila keputusan keluar, mereka mengaku sebenarnya mereka yang tak waras. Seminggu Wak makan free. Asyik makan free pekena teh tarik sampai kena kencing manis. Tak per lah. Itu habuan Wak.

Apa pun, kita lihat nanti. Wak dah dengar kawan-kawan Wak yang atas pagar dulu sebahagian besarnya akan berbalik kepada UMNO. Dulu mereka kata nak buat undi protes. Tapi depa tak sangka tsunami jadinya. Kali ini mereka bertekad untuk memberi tsunami pula kepada PKR. Dengar kata orang PAS pun dah berbulu dengan PKR. PAS yang kerja kuat dalam pilihan raya..tut tut PKR yang dapat kuasa dan kerusi yang lebih. Dalam banyak perkara, pendapat PAS diketepikan seperti mana yang berlaku di Selangor. Contohnya kedatangan Ella dibantah oleh PAS tetapi PKR tetap berkeras. Jadi apa gunanya PAS menyertai pakatan hanya sekadar jadi melukut di tepi gantang. Sepatutnya DAP yang menjadi melukut di tepi gantang. Tapi DAP dah dapat lebih dari apa yang diminta termasuk kandang babi teknologi moden bernilai jutaan jutaan ringgit. PAS dapat apa??? Dapat makan hati aje. Konsert Protes minyak dah jadi protes PAS pula kerana terdapat unsur yang tidak dipersetujui oleh PAS. Apa respon kerajaan negeri terhadap tuntutan PAS??? Tepuk dada tanya MB.

Sebenarnya ketidakpuasan hati penyokong PAS terhadap PKR sudah lama terpendam. Itulah yang Wak dapat maklumat bahawa terdapat sebilangan dari mereka akan membuat undi protes kepada PKR dengan tidak mengundi Anwar. Lagipun jika benar pembangkang yang akan memerintah Malaysia, PKR tidak layak jadi PM kerana tunggak kepada pakatan pembangkang ialah PAS. PAS lah sebenarnya yang kuat dan sepatutnya mendapat kerusi PM. PKR hanyalah sebuah parti baru yang masih mentah dan tidak mempunyai grassroot yang kuat. Kekuatan grassroot sebenarnya datangnya dari penyokong PAS. Merekalah yang bekerja kuat siang dan malam. Pergilah kemana-mana tempat mesti ada cawangan PAS dan ahlinya yang begitu komited terhadap perjuangan parti. Cawangan PKR boleh dibilang dan nampak macam hidup segan mati tak mau. Jadi realitinya, jawatan PM seharusnya diberi pada PAS bukan PKR. Jadi inilah masanya untuk memastikan PAS mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat. Inilah realiti politik. Politik adalah seni serba kemungkinan. Jika Anwar jadi PM, PAS akan terus melopong. DAP akan ketawa besar. Orang Melayu akan terus terawang-awangan.

Saturday, August 2, 2008

TAHNIAH MAHFUZ

Wak terkejut, tapi pada masa yang sama merasa lega apabila Ketua penerangan PAS, tokoh pertama yang menafikan secara rasmi wujud pakatan PAS-Umno telah memohon maaf kepada ahli dan penyokong parti berhubung rundingan kongsi kuasa dua parti tersebut. Wak bukan apa. Wak rasa Tuhan sedang menguji individu atau kumpulan atau golongan tertentu sejauh mana apa yang dicakap itu dapat dilaksanakan. Kalau dulu dalam ceramah-ceramah PAS, berbagai tuduhan dilemparkan kepada parti lawan. Betul atau tidak Wak tidak tahu. Kalau tak betul tuduhan tersebut, Wak harap mereka dapat mohon maaf kepada Tuhan dan kepada individu yang dicerca. Wak takut jika orang yang kita cerca atau fitnah tak maafkan kita, diakhirat kelak kita akan mendapat azab yang sangat dasyat. Kita hidup di dunia ini bukan lama. Suatu hari kita akan kembali ke sana. Di sana nanti kita akan dihisab dan dihitung segala perbuatan kita di dunia.

Kepada Mahfuz, Wak angkat topi pasal berani mengakui kesilapan berbohong kepada rakyat. Mahfuz secara terbuka memohon maaf atas ketelanjurannya berbohong kepada rakyat mengenai isu menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Wak harap supaya Mahfuz jangan lagi ulangi segala kesilapan yang dibuat. Wak berharap semua pemimpin yang lain juga akan dapat mengikut jejak Mahfuz. Tidak perlu malu dan takut berbuat demikian. Kita akan lagi dipandang mulia. Kita hanya perlu takut kepada Allah s.w.t. sahaja. Saranan ini Wak tujukan bukan kepada pemimpin PAS sahaja, tetapi kepada semua parti termasuk UMNO. Jika semua membuat kebaikan didunia dengan 'amal maaruf nahi mungkar', insyaallah tak kira PAS atau UMNO kita akan jumpa disyurga nanti. Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan sampai melakukan sesuatu yang boleh merosakkan ajaran agama dan perpaduan Islam.

Untuk berlaku adil kepada Mahfuz, bersama ini Wak sertakan bersama kenyataan yang telah dibuat oleh Mahfuz:


Kepada, Semua ahli, penyokong dan pengundi PAS. Pertamanya marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS si atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas ketelanjuran ini. Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat pribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian.

Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS. Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya berharap individu terbabit dapat tampil kehadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini.

Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka. Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS. Lebih memeranjatkan lagi apabila ‘muzakarah’ tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh Presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN.

Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti. Apabila bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama 4 hari berturut-turut selepas pilihan raya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti. Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu.

Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku. Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya. Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut. Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti. Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas ’pembohongan’ ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat. Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor Universiti Tempatan yang telah mengingatkan bahawa ”jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita”. Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia. Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada. Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang. Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku. Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.
Maafkanlah saya. Sekian, wassalam. Hj Mahfuz Hj OmarKetua Penerangan PAS Pusat"