Thursday, July 31, 2008

Macam Tak Ikhlas Aje

Wak dah jangka perkara sebegini akan berlaku. Perpaduan dalam kalangan orang Melayu pada Wak hanya tinggal angan-angan sahaja. Belum pun masuk fasa kedua, dah pun macam tak nak jadi aje nampaknya. Kenyataan pemimpin-pemimpin utama orang Melayu terutama PAS macam tak berapa nak bersungguh-sungguh untuk melihat orang Melayu bersatu padu. Dengan lain perkataan, Wak melihat mereka tidak ikhlas dalam perkara ini.

Pada peringkat awal, Wak nampak amat hebat idea yang diutarakan oleh Datuk Nik Aziz yang mahukan parti UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuhkan satu parti baru yang mewakili orang Melayu dan Islam. Sememangnya inilah yang sedang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar umat Islam. Setelah sekian lama berkerat rotan berpatah arang di antara dua parti yang mewakili orang-orang Melayu terbesar di Malaysia, maka cadangan ini sudah tentu sebagai satu usaha penyelesaian yang paling baik terhadap segala permasalahan yang membelenggu orang Melayu selama ini.

Tapi Wak terasa amat kesal sekali dengan pemimpin PAS ini. Belum pun apa-apa pencapaian perbincangan, berbagai syarat telah diletakkan. Kalau dah letak berbagai syarat, susahlah nak bincang. Wak bukan tak setuju tentang Hudud dan Qisas, kerana itu hukum yang termaktub dalam Al-Quran yang mesti dilaksanakan dengan berhikmah. Tetapi nak menuju kepada perkara tersebut mesti asas yang kuat. Asasnya ialah orang Melayu mesti ada kuasa politik yang kuat. Kalau orang-orang Melayu dah bersatu padu, barulah perkara yang susah boleh menjadi senang. Bina dulu tiang. Baru boleh bina bumbung dan dinding. Itu prioritinya. Ini nak bina bumbung tapi tiangnya tidak ada atau tidak kukuh.

Satu lagi contoh yang Wak selalu dengar kawan-kawan Wak cakap dengan yang bukan Islam, kalau masuk Islam mesti potong anunya dulu. Itu bukan prioriti. Perkara pokok yang kita nak cerita ialah betapa indahnya Islam. Kalau dah faham indahnya Islam, barulah dengan sukarelanya dia nak potong anunya. Di sini Wak lihat PAS jangan terlalu laju nak meletakkan syarat begitu. Kaji apa keutamaan kita. Kita perlu bersatu padu dulu. Bila dah kuat, barulah kita melaksanakan sesuatu dengan jayanya.

Wak sebenarnya ada satu cadangan yang agak ekstrem. Mungkin boleh diterima dan mungkin tidak. Apa kata kita tolak kedua-dua parti tersebut dan tubuhkan parti baru untuk orang Melayu bernaung. Kita cari pemimpin yang ikhlas dan jujur dan yang tiada kepentingan dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Tak payah kita mengharapkan lagi kepada PAS dan UMNO untuk jaga orang kepentingan orang Melayu dan Islam. Kalau harap kepada mereka sampai kiamat orang Melayu tidak bersatu. Manalah tahu kalau cadangan ini akan membuka mata orang Melayu yang majoritinya dah menyampah dan meluat dengan pemimpin Melayu kedua-dua parti yang tak henti-henti bergaduh dan membelakangkan perpaduan Melayu dan ajaran Islam sebenar yang mahukan orang Islam bersatu.

Mustahil???? Dalam dunia sekarang ini tak ada apa yang mustahil. Siapa sangka Datuk Khalid jadi MB Selangor dan Nizar jadi MB Perak? Siapa sangka Loh Gwo Burne jadi Ahli Parlimen Kelana Jaya? Siapa sangka Zaid jadi Menteri jaga Undang-undang? Siapa sangka PAS yang mahukan pemerintahan Islam dan DAP yang menentang pemerintahan cara Islam boleh jadi kawan baik? Siapa sangka Ezam lari dari Anwar dan kembali kepada UMNO? Siapa sangka Anwar, seorang pemimpin yang begitu kuat dan garang tiba-tiba takut mengiggil lari ke kedutaan Turki?

Fikir-fikirkan lah.

Friday, July 25, 2008

BERSAMALAH KITA BERDOA

Fikiran Wak sedang bercelaru bila orang-orang Melayu yang menganut agama yang satu sedang berpolemik tercari-cari titik pertemuan untuk membincangkan masalah perpaduan dan penyatuan. Wak tak tahu bila agenda perpaduan umat Melayu dan Islam ini akan menjadi realiti. Tapi Wak nampak bahawa masing-masing masih berprasangka dan berhati-hati dalam hal ini. Politik oh politik. Itulah jadinya jika kepentingan politik kepartian diberi prioriti teratas dari kepentingan survival politik orang Melayu dan Islam.

Jika politik kepartian dijadikan asas pertemuan, sampai kiamat masalah tak akan selesai. Wak tak tahu apa akan terjadi jika keadaan berterusan berlaku. Walaupun Hj Hadi sudah nampak agak lembut, tapi Mursyidul PAS nampaknya agak berkeras. Mungkin beliau mempunyai sejarah tersendiri dengan UMNO. Walau apa-pun, jangan biarkan perasaan tidak puas hati atau dendam masa lalu dijadikan alas an untuk menggagal usaha ini.

Kehancuran umat Islam dan kuasa politik orang Melayu sudah ada bunga-bunganya. Jika kuasa politik sudah tidak ada, apakah agama Islam boleh dipertahankan? Lihatlah apa yang terjadi kepada Negara Sepanyol yang pada satu masa dulu gah dengan pemerintahan Islamnya. Apakah nasib Negara Islam Malaysia akan jadi macam Sepanyol? Hanya masa menentukan. Tak mustahil ini akan berlaku jika umat islam terus berpecah, berdendam, bertelagah dan tidak mahu bersatu.Barat dan Yahudi pasti akan bergembira melihat situasi politik orang Islam Malaysia sekarang. Mereka hanya menunggu masa untuk bertepuk tangan meraikan perpecahan dan kehancuran umat Islam di Malaysia.

Wak minta supaya pemimpin-pemimpin semua parti supaya mengutamakan suruhan Tuhan daripada mengutamakan agenda parti. Banyak ayat-ayat yang diturunkan menyuruh kita buat kebaikan dan elakkan unsur perpecahan serta ingat mengingati antara satu sama lain dalam hal membuat kebaikan.

Firman Allah swt,

“…dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah terhadapmu ketika kamu saling bermusuhan maka Dia satukan hati kamu lalu kamu menjadi saudara dengan nikmat-Nya, dan ingatlah ketika kamu berada di bibir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu daripadanya” (Ali 'Imran 102 - 103)

“…dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah dia, dan jangan kamu ikuti jalan-jalan (lainnya) sebab jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.”. (Al - An'am 153)[1]

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati su paya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."( Surah Al-A'sr)

Hudzaifah bin Al-Yaman radliyallahu 'anhu berkata : Hai para Qari (pembaca Al-Quran) bertaqwalah kepada Allah, dan telusurilah jalan orang-orang sebelum kamu, sebab demi Allah, seandainya kamu melampaui mereka [para Sahabat], sungguh kamu melampaui sangat jauh, dan jika kamu menyimpang ke kanan dan ke kiri maka sungguh kamu telah tersesat sejauh-jauhnya. (Al-Lalikai 1/90 no.119; Ibnu Wudldlah dan Al-Bida' wan Nahyu 'anha 17; As-Sunnah Ibnu Nashr 30).

Wak doakan semoga Tuhan membuka hati pemimpin-pemimpim UMNO dan PAS untuk berbincang secara ikhlas dan jujur dalam perkara ini. Lupakan persengketaan yang lalu. Lihatlah apa yang akan terjadi kepada umat Islam dan Negara Malaysia jika perpecahan terus berlaku. Dan akhirnya sekali lagi Wak doakan semoga Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kita yang lalu dan menerima segala amal kebajikan dan kebaikan yang kita lakukan ini. Amin.

Wednesday, July 23, 2008

Mercedes Oh Mercedes

Hari ini Wak nak bedal sikit Menteri Besar Terengganu. Mungkin ada orang kata siapa Wak nie yang nak bedal sesuka hati pemimpin tinggi kerajaan. Ok.. Wak bagi tahu. Wak ini bukan sesiapa. Wak adalah rakyat biasa yang membayar cukai kepada kerajaan. Wak juga adalah seorang pengundi berdaftar yang sah. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab dan tak pernah miss membayar cukai, Wak rasa tak salah jika Wak mengingatkan pemimpin atasan jika mereka sudah menyeleweng atau melakukan sesuatu yang tidak wajar. Sebagai warganegara, Wak pun ada syer atau saham dalam negara ini. Wak nak gunakan hak ini sekarang.

Wak nak tanya kepada Menteri Besar Terengganu, selepas diberi kepercayaan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu, apa prioriti kerajaan negeri Terengganu? Adakah yang didahulukan ialah rakyat atau diri sendiri? Rakyat memberi mandat kepada BN kerana mereka yakin BN boleh membela nasib dan kepentingan mereka. Mereka juga percaya bahawa pemimpin yang dipilih akan melakukan sesuatu yang terbaik kepada rakyat dan negeri Terengganu.

Tetapi agak malang belumpun sempat 150 hari memerintah Terengganu, pemimpin BN dah buat hal. Pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri pada Wak sangat tidak sesuai, tidak wajar dan dilihat membazir, apatah lagi dengan inflasi yang berlaku dinegara kita. Kerajaan pusat seringkali mengingatkan rakyat supaya berjimat cermat, jangan membazir, berbelanja yang perlu, ubah gaya hidup. Tapi tut tut Menteri Besar Terengganu dan Exconya betul-betul ubah gaya hidup --- hidup yang lebih elegan, mewah dan bergaya. Sedangkan ramai lagi rakyat yang terpaksa mengikat tali perut dengan suasana semasa. Apakah MB dan EXCO tidak menyedari perkara ini?

Wak nak tanya MB, apa penting sangat kereta Mercedes itu? Apakah jika tidak ada kereta Mercedes kerajaan negeri tak boleh buat kerja? Adakah jika tidak naik Mercedes maka rakyat hilang penghormatan kepada mereka? Atau jika tak naik Mercedes maka nampak tak hebat? Kalaulah itu yang dimaksudkan maka tunggulah pilihan raya sekali lagi. Lingkuplah BN di Terengganu.

Alasan rasmi yang diberi oleh MB Terengganu ialah keputusan pembelian kenderaan berjumlah RM3.43juta itu dibuat berikutan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri sebelum ini terlalu tinggi. Sebagai contoh, kereta proton perdana yang diguna tidak sampai dua tahun terpaksa diselenggara kerana beberapa komponen kereta seperti kotak gear rosak.

Jika itu alasan yang diberi, jelas MB Terengganu merendah dan menghina kereta nasional. Apakah rekod semua kereta proton perdana yang berada di pasaran kotak gearnya hanya bertahan hanya dua tahun??? Kawan Wak dah 10 tahu pakai proton perdana, masih elok pun. Jika kita guna kereta tersebut dengan cermat dan baik, maka jangka hayatnya mesti panjang. Maklum sahaja, kereta kerajaan...lanyak saja. Itu sebab hanya bertahan hanya dua tahun.

Kepada MB dan EXCO, suka Wak ingatkan yang Perdana Menteri dan barisan Menteri pusat sedang berhempas pulas untuk menangani masalah rakyat, masalah inflasi dan seribu satu lagi masalah yang mendatang. Takkan pemimpin Terengganu nak tambah masalah kepada kerajaan pusat kot? Janganlah begitu. Walaupun kerajaan Terengganu banyak wang, tapi janganlah tunjukkan imej membazir disaat rakyat dan negara dalam kesempitan. Jangan perpatah "BERMEWAH MEMBAWA PADAH' jadi kenyataan di Terengganu.

Sunday, July 20, 2008

MELAYU - BERSATULAH!!!!!!!!!

Wak rasa lega bila dapat tahu bahawa sudah ada pertemuan dibuat di antara PAS dan UMNO bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam serta kepentingan umat Islam di negara ini. Sudah lama Wak dan ramai lagi orang-orang Melayu menunggu detik dan saat ini.

Wak melihat perkembangan ini dengan linangan air mata. Sebak dan gembira bila mengetahui sudah ada titik pertemuan untuk penyatuan semula orang-orang Melayu yang selama ini bersengketa dan berbalah sesama sendiri sehingga Melayu berpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang mengakibatkan kuasa politik orang-orang Melayu sudah terhakis dan hampir tersingkir dalam arus politik perdana. Wak yakin pertemuan ini sudah pasti akan mengukuhkan lagi perpaduan Melayu kerana ia sangat penting dalam kelangsungan survival politik orang-orang melayu dan politik Malaysia secara amnya. Bagi Wak, perpaduan Melayu adalah menjadi teras kepada perpaduan rakyat.

Pada Wak, cerita lama antara UMNO dan PAS harus dilupakan- let the past be the past. Kita tak perlu mengungkit atau mengingat sejarah lama. Kita kena lihat kehadapan. Siapa kita. Dimana kedudukan kita hari ini. Apa yang berlaku hari ini boleh memberi pengajaran besar kepada kita supaya lebih berhati-hati pada masa depan.

Wak lihat kalau pertelingkahan dan perbalahan antara sesama Melayu berterusan, kuasa politik yang kita ada sekarang ini akan diabadikan dalam muzium dan buku sejarah untuk tatapan anak cucu cicit yang hanya mampu mengiggit jari. Jadilah Melayu Malaysia macam Melayu negara jiran. Pada masa itu dialog Sultan Mahmud "kalaulah si Tuah masih hidup" muncul semula dengan situasi berbeza. Tak mustahil jika dialog begini kedengaran dalam masa 30 tahun lagi "kalaulah PAS dan UMNO bersatu dari dulu, tidaklah hidup orang Melayu jadi melarat sebegini."

Pada masa itu Wak dan ramai lagi mungkin dah tak ada di dunia ini. Tapi Wak akan terasa dosanya apabila anak-anak kita, cucu dan cicit kita sedang merempat dan mungkin mengemis mencari sesuap nasi di negeri sendiri angkara perbuatan moyang mereka yang asyik berdendam, bersengketa dan berkelahi. Fikirlah saudara-saudaraku.

Marilah kita mengorak era baru orang Melayu yang lebih kuat, bersatupadu dan akrab seperti mana yang dituntut oleh ajaran agama. Dengan perpaduan, gunung yang tinggi dapat diratakan, lautan yang dalam dapat didatarkan, kerja yang berat dapat diringankan, dan masalah yang rumit dapat di rungkaikan.

Sudah sampai masanya kaedah berpolitik cara lama dibuang. Politik dendam mendendam tak bawa kita kemana-mana.

SIAPA YANG BETUL????

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah ditelanjangkan dan seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya sewaktu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur. Manakala Pengarah Hospital Kuala Lumpur mempertahankan kenyataan bahawa Anwar Ibrahim tidak pernah ditelanjangkan ketika beliau menjalani pemeriksaan perubatan minggu lalu.

Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata sebelum pemeriksaan, dua pakar menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pemeriksaan itu kepada Anwar dengan kehadiran peguam beliau dan pemeriksaan itu dilakukan oleh dua pakar berkenaan hanya selepas memperoleh persetujuan bertulis daripada Anwar.

Wak tak tahu apa sebenarnya berlaku. Satu peristiwa dua kenyataan yang berbeza. Dalam perkataan yang paling mudah ialah salah satu pihak yang membuat kenyataan tidak bercakap benar. Menipulah tu kalau tak cakap benar. Persoalannya, pihak mana yang menipu?????

Wak lontarkan persoalan ini kerana rakyat sekali lagi seakan-akan hendak diperbodohkan dengan kenyataan yang mengelirukan. Apa tujuan pihak-pihak tertentu hendak mempermain dan memperbodohkan rakyat?

Untuk mencari kebenaran??? untuk mencari simpati??? atau untuk membangkitkan emosi dan kemarahan rakyat kepada pihak berkuasa.

Memandangkan salah satu pihak telah melakukan penipuan terhadap kenyataan yang dikeluarkan, Wak nak cadangkan supaya laporan polis dibuat untuk disiasat dan mendakwa mereka yang sengaja mereka cipta cerita. Lebih tepat pemfitnah perlu didakwa. Wak cadangkan perkara ini kerana jika sesuatu tindakan tegas tidak diambil, maka esok lusa keluar lagi kenyataan atau fitnah yang lain pula. Wak bimbang satu hari nanti bangsa Malaysia akan dikenali sebagai bangsa pemfitnah.

Mereka ini bukan setakat tidak takut kepada undang-undang Negara, tetapi juga tidak takut kepada undang-undang Tuhan. Dalam ayat-ayat Al-Quran banyak yang menyentuh tentang fitnah dan hukuman kepada mereka yang memfitnah.

Wak nak menyeru kepada pihak-pihak berkenaan supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan. Atau berhenti buat sebarang kenyataan yang boleh mendatang kekeliruan kepada rakyat. Tolong jangan memperbodohkan dan mempermainkan rakyat dan jangan jadikan rakyat sebagai ‘tempat buangan sampah’ terhadap masalah yang dihadapi. Jangan mengapi-apikan emosi rakyat.

Selesaikan masalah yang dihadapi mengikut saluran dan undang-undang Negara. Tak payah heboh dan kepoh dalam media massa. Kita ada mahkamah. Apa-apa, dalam mahkamah boleh cerita. Perbicaraan dijalankan secara terbuka. Imej hakim kini dah pulih. Rakyat boleh menilai sendiri bila perbicaraan berjalan melalui hujah di mahkamah nanti. Jika rakyat tak puas hati juga, tunggu lagi lima tahun untuk menggunakan mahkamah rakyat melalui pilihan raya.

Wak berpendapat rakyat tak bersalah dalam isu ini. Yang bersalah mereka yang sengaja menggunakan isu ini untuk menjaya agenda tertentu. Jadi rakyat tak perlu terikut-ikut dengan permainan ini. Biar mahkamah menentukannya. Dan akhirnya, kita kena ingat bahawa suatu hari nanti kita akan diadili di padang mahsyar. Kalau semua kita patuh kepada hukum hakam seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadith, dunia akan aman, sejahtera dan sentosa.

Thursday, July 17, 2008

SIAPA MENANG?

Ramai kawan-kawan wak bertanyakan soalan cepumas kepada Wak "siapa yang menang dalam debat Shabery-Anwar". Soalan ini mudah dijawab tetapi sukar dinilai secara adil dan ilmiah. Mudah dijawab kerana jika ditanya penyokong Anwar, pasti Anwar adalah pemenangnya. Begitu juga jika ditanya kepada penyokong Shabery, mestilah Shabery kerana berjaya mematahkan hujah anwar dengan baik.

Macam Mawi dulu. Walaupun juri sudah keluarkan dia dari akademi Fantasia, tapi kerana peminat dia mengamuk terpaksa masuk balik dan akhirnya jadi juara. Juri buat keputusan secara profesional dan ilmiah tapi peminat fanatiknya lain pula. Mereka suka dengar suara dan budi baik Mawi. Itu yang wak kata sukar nak buat penilaian secara objektif.

Wak mempunyai pendapat yang paling mudah dan adil kepada semua pihak. Tidak ada sesiapa yang menang dan tidak ada sesiapa yang kalah. Debat ini sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada pihak kerajaan dan pembangkang mengemukakan pandangan serta kritikan terhadap perkara yang diperkatakan yakni tajuk ' "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak". Shabery telah mengemukakan hujahnya. Ramai penonton di DBP dan dirumah bertepuk kerana bersetuju dengan hujahnya. Begitu juga dengan Anwar. Juga mendapat tepukan dari penonton. Inilah debat namanya. Masing-masing mempunyai hujah dan pendapat masing-masing.

Ada yang kata Shabery ambil kesempatan untuk membuat serangan peribadi terhadap Anwar. Wak tak berhajat nak mempertahankan Shabery kerana Wak tak dapat sesen pun. Wak dah kata wak pun tak kenal dia. Wak tak berapa faham apa dia yang dikatakan peribadi. Wak tak dengarpun dia kata Anwar keluar dengan perempuan atau dia kata Anwar gay atau Anwar meliwat Saiful. Kalau Shabery kata macam tu, memang peribadi sifatnya. Tapi yang Wak dengar dia kata beberapa tindakan Anwar yang jelas bertentangan dengan prinsipnya hari ini.

Contohnya Shabery cakap "Saya ingat pada waktu itu Saudara Anwar memilih untuk memalukan Tun Razak, berarak di jalan raya mengajak mahasiswa dan sebagainya. Seperti dulu dan seperti hari ini, rakyat memang sempit tetapi saya melihat sama seperti dulu, Saudara Anwar suka mengambil kesempatan daripada kesempitan rakyat". Itu kritikan terhadap perlakuan Anwar yang memang diketahui dari dulu gemar menentang kerajaan. Apakah itu peribadi namanya?

Begitu juga kenyataan ini " Sedaplah kita bercakap waktu itu, bercakap tentang orang Baling pada waktu itu. Tetapi pada waktu yang sama kita rasakan bahawa Saudara Anwar waktu berada dalam Kerajaan, tidak selesai pun tentang soal orang di Baling. Bercakap mudah dalam soal ini, sebab itulah sebahagian daripada masalah yang kita ada, soal IPP ialah semasa zaman Saudara Anwar berada dalam Kerajaan. Susah kita hendak ubah kontrak-kontrak yang ada sekarang ini kerana antara kontrak itu dipertahankan semasa Saudara Anwar berada dalam Kerajaan". Itu kritikan namanya yang menjadi kebiasaan dalam mana-mana perbahasan dan perdebatan.

Akhirnya Shabery sekali lagi mengemukakan kritikan untuk Anwar yang berbunyi "Percayalah. Kalau kita perhatikan bahawa, Saudara Anwar tidak berubah seperti dulu. Dalam sejarah yang banyak memberi sumbangan kepada Negara untuk membina PETRONAS daripada apa yang ada sekarang, sebaik-baiknya kepada satu syarikat yang mencapai tahap yang begitu tinggi sekali. Kalau dahulu, orang yang membina PETRONAS seperti Tun Razak, sudah ditentang. Tun Mahathir yang mengembangkan PETRONAS sampai ke peringkat dunia, ditentang juga. Kita selalu sebutkan bahawa pada waktu sekarang Pak Lah tidak mengambil lebih daripada apa yang sepatutnya. Maka tidak ada sebab untuk kita menentang. Dan apakah kita nak sekarang ini, dalam keadaan sekarang ini, kita terus hendak mainkan sentimen-sentimen mengajak orang ke jalan raya sebagaimana yang dibuat dalam tahun 1974 dahulu, akan menyelesaikan masalah kita. Dan kita ingat, kalau ingin kita terus menyebabkan menekankan supaya wang yang banyak diambil daripada PETRONAS misalnya, untuk membantu mensubsidi negara kita, maka kita akan katakan bahawa kita membenarkan ia menjadi semakin miskin dan mungkin kita hendak membenarkan orang lain akan mengambil PETRONAS satu masa nanti. Wak tak nampak apakah ini peribadi namanya. Kalau itu namanya serangan peribadi, tak payah buat debatlah nampaknya.

Anwar juga mengambil kesempatan untuk mengkritik dan menyindir kerajaan. Pada Wak itu biasa dalam debat. Jadi apa yang dilakukan oleh Anwar tidak ada salahnya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Shabery tidak salah. Itu lah debat namanya. Cuma yang Wak tak setuju dengan Shebery ialah ada beberapa soalan yang diajukan oleh Zulkifli Sulong yang tidak dijawabnya. Sepatutnya Shabery jawab soalan tersebut straight to the point. Tak payah dok koner-koner lagi.

Tapi satu perkara yang Wak hairan ialah mengapa bila berhadapan dengan wakil kerajaan dalam perdebatan terbuka, Anwar tidak berapi-api seperti semasa dia sampaikan ceramah kepada pengikut-pengikutnya? Dihadapan penyokongnya, Anwar cakap dan tuduh kerajaan macam-macam. Tapi bila berhadapan dengan wakil kerajaan Anwar tak berapi pula. Nampak Anwar pada hari itu baik sangat. Anwar pada malam itu nampak sopan, merendah diri, alim, sabar, tak pernah meninggikan suara, tak pernah marah orang. Atau apakah Anwar takut hujahnya disanggah oleh Shabery? Kalau dihadapan penyokongnya tidak ada sesiapa akan menyanggah hujahnya. Anwar nampaknya bimbang untuk mengemukakan hujah berapi-api tersebut kerana dia sedang berhadapan dengan wakil kerajaan yang akan menjawab balik segala tuduhan tersebut. Ini yang Wak pening sikit.

Walau apapun Wak nak ucapkan tahniah kepada Shabery dan Anwar. Inilah gentleman namanya. Berani buat berani berdepan. Wak nak cabar semua Menteri dan pembangkang yang selama ini buat tuduhan antara satu sama lain, marilah berdebat secara sihat macam yang dibuat oleh Shabery dan Anwar. Biar rakyat lihat dan nilai. Kerajaan sekarang dah pun tunjukkan sifat keterbukaan. Kita tak nak lihat tuduhan palsu dilemparkan kepada kerajaan. Dan kita tak nak juga kerajaan menyembunyikan apa-apa fakta kepada rakyat. Kedua-dua pihak hendaklah telus dan lurus. Tak payah bengkang bengkok lagi.

Wednesday, July 16, 2008

TRANSKRIP DEBAT SHABERY VS ANWAR

DEBAT

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK
MENTERI PENERANGAN MALAYSIA
&
Y.BHG DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PENASIHAT PARTI KEADILAN RAKYAT

TAJUK

HARI INI BENTUK KERAJAAN, ESOK TURUN HARGA MINYAK


PERANTARA: Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Debat AgendaDaily ini membawa tajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, dua orang tokoh kami bawa khas untuk mendebatkannya. Debat ini mengambil masa sejam dan disiarkan secara langsung ke seluruh Negara.

Format debat ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Masing-masing juga telah menamakan seorang wakil yang bertindak sebagai ahli panel. Mereka akan menanyakan soalan kepada pendebat yang mencalonkan mereka selain soalan kepada pendebat yang seorang lagi. Jumlah soalan bergantung kepada keadaan masa. Saya sendiri akan menanyakan soalan kepada kedua-dua pendebat ini. Supaya berlaku adil, soalan yang sama akan ditanya kepada kedua-dua orang. Kedua-dua pendebat juga akan diberi peluang untuk bertanya satu sama lain.

Untuk pemula bicara atau opening statement setiap tokoh akan diberikan masa 4 minit. Loceng akan dibunyikan selepas 3 setengah minit. Setiap soalan lain mesti dijawab dalam masa kurang dari 3 minit atau loceng akan dibunyikan sebagai tanda peringatan. Setiap pendebat akan membuat penggulungan selama 3 minit.

Saudara penonton yang saya hormati sekalian, tugas saya hanyalah sebagai perantara. Maka itu, saya memohon kepada kedua-dua tokoh ini untuk mendebatkan isu ini secara terbuka, profesional dan beretika. Tanpa ragu-ragu, saya akan menegur mana-mana pihak ataupun pendebat yang menyimpang dari tajuk atau yang mengemukakan soal-soal yang tidak relevan dengan apa yang sepatutnya dibahaskan.

Dengan penuh hormat, saya ingin memperkenalkan kedua-dua tokoh pendebat kita malam ini. Di atas pentas itu, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia dan di sebelah beliau ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Dua orang tokoh yang menjadi wakil pendebat ialah di sebelah kanan saya, Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia dan Presiden Persatuan Universiti Malaysia dan di sebelah kiri saya, bagi pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saudara Zulkifli Sulong dari Akhbar Siasah.

Saya mulakan debat AgendaDaily bertajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’ dengan mempersilakan Dato’ Seri Anwar untuk membuat opening statement selama 4 minit. Dipersilakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Terima kasih Datuk Johan dan AgendaDaily atas kesempatan ini. Dan penghargaan khusus kepada Dato’ Ahmad Shabery kerana memberikan ruang yang julung-julung kali diadakan.

Saya menerima pelawaan ini dengan senang hati untuk membuka wacana yang bebas dan segar. Walaupun pada peringkat awal saya memilih untuk berdebat dengan Perdana Menteri atau Timbalan, tetapi saya terima baik kerana saya nak menggunakan kesempatan ini untuk menjelaskan, kalau kesempatan Pakatan Rakyat memerintah hari ini, esok harga minyak tetap turun.

Saya cadangkan, berdasarkan perkiraan kekuatan makro ekonomi negara kita, pertumbuhan dan potensinya, penyusunan dan pengurusan pemerintahan yang lebih cekap dan bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan jumlah yang kita fikirkan untuk diturunkan dalam kadar segera sebagai langkah awal ialah 50 sen.

Maknanya mulai esok seandainya kita memerintah malam ini, harga minyak ialah RM2.20. Saya pertahankan hujah ini kerana beban rakyat itu sudah tidak terkawal. Petani, nelayan, pekerja, peniaga peringkat menengah dan atasan itu mengalami satu keperitan yang luar biasa. Ini jarang sekali berlaku dalam sejarah Negara kita.

Kenaikan mendadak yang cukup membebankan orang-orang yang majoritinya Melayu lebih banyak menerima kesan. Semua perbicaraan tentang menyelamatkan orang Melayu dan membela nasib orang Melayu itu hanya omongan. Tetapi kenyataannya keperitan itu menimpa orang Melayu, termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bagaimana boleh dapat saya kumpulkan RM5 bilion ini? Saya akan jelaskan dan memperincikan berikutnya. Iaitu TNB sekarang umpamanya mempunyai standby capacity yang berlebihan. Reserve 40%, di antara paling tinggi di dunia. Siapa yang untung? IPP – Jana Kuasa Bebas. Untungnya sudah berbilion ringgit, ada lagi kapasiti yang begitu besar.

Mengapa kita harus berikan? PETRONAS rugi, TNB rugi… yang untung IPP. Dan kapasiti 40% itu saya usulkan untuk dikurangkan standby capacity itu kepada 20%. Dengan mengurangkan kapasiti itu sahaja kita telah mendapat RM2 bilion. Jadi kita kena cari RM3 bilion lagi. PETRONAS hari ini dalam financial announcement menyebut jumlah keuntungan yang besar bagi tahun 2008 yang baru selesai diumumkan hampir RM100 bilion.

Jangan kita bicara soal naik harga minyak. Naik harga minyak di pasaran dunia bermakna pendapatan dan dana Kerajaan bertambah .... meningkat besar. Jadi kalau kita mempunyai keuntungan begitu besar, sebahagiannya untuk PETRONAS dan saya tidak ganggu PETRONAS kerana PETRONAS mempunyai rekod yang cemerlang dan pengurusannya membanggakan. Masalahnya ialah manakala campur tangan politik, pengurusan politik yang sangat lemah membebankan negara.

Jadi oleh yang demikian, saya mengusulkan sebagai langkah awal kita turunkan 50 sen mulai esok. Walaupun sekarang Barisan Nasional memerintah, bermakna ini tidak mungkin. Tetapi kita turunkan 50 sen esok, Insya Allah dan saya akan jelaskan dalam masa yang diberikan nanti bagaimana kita boleh cari RM3 bilion. RM3 bilion ini untuk dana meringankan beban rakyat itu tidak terlalu besar.

Kerugian dan tanggungan PERWAJA sahaja RM13 bilion yang boleh ditampung oleh Kerajaan. Mengapakah harus kita menjadikan isu terlalu besar apabila RM3 bilion itu ingin diagihkan kepada rakyat jelata.

PERANTARA: Terima kasih Dato’ Seri Anwar. Saya mempersilakan YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Assalamualaikum w.b.t. Saya menerima jemputan AgendaDaily untuk berdebat malam ini atas kesedaran bahawa adalah tanggung jawab saya sebagai orang yang dipilih oleh rakyat dan juga seorang Menteri yang dipilih melalui proses yang sah. Dan saya bertanggung jawab untuk menyatakan bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan, inilah cara yang terbaik untuk masa depan negara kita dan masa depan rakyat. Bukan pendekatan populis yang sering dilakukan dalam banyak negara yang tidak semestinya negara itu berakhir dengan keadaan ekonomi yang lebih baik kepada masyarakatnya.

Perlu saya jelaskan di sini bahawa kalaulah dikatakan pada hari ini 50 sen hendak diturunkan, sebenarnya ucapan ini saya dah dengar sebelum pilihan raya yang lepas. Jadi bermakna dia mesti bercakap pada harga sebelum pilihan raya iaitu pada harga RM1.92.

Tentangannya ialah menentang kadar kenaikan harga yang baru-baru ini. Kalau kita teruskan pada harga RM1.92, ini bermakna subsidi yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan ialah sebanyak RM50 bilion. Dan ini bermakna banyak program-program pembangunan, soal sekolah, soal rakyat, soal jalan, soal orang di FELDA, soal orang di kampung tidak dapat dilaksanakan hanya untuk menampung cara hidup yang berterusan yang ada pada hari ini.

Perlu saya jelaskan juga bahawa, kita perlu tahu bahawa kenaikan harga minyak sekarang ini bukanlah kerana kita. Kita mesti sedari hakikat bahawa kita berhadapan dengan krisis minyak seluruh dunia. Harga minyak naik bukan Kerajaan yang salah tetapi ini adalah kerana keadaan kenaikan harga minyak dunia disebabkan perang di Iraq, kemungkinan serangan di Iran, tentang permintaan China dan India yang semakin besar dan faktor-faktor lain yang dirasakan di seluruh dunia.

Dalam sejarah Negara kita, harga minyak dunia ataupun krisis minyak ini bukan kali yang pertama. Kali yang pertama ialah dalam tahun 1973 dan 1974. Pada waktu itu selepas perang Yunkipur atau Perang Ramadhan pada ketika itu, di mana orang-orang Arab – negara-negara Arab berpakat untuk mengenakan tindakan embargo minyak kepada negara-negara yang menyokong Israel pada waktu itu. Pada masa yang sama ia memberhentikan atau mengurangkan pengeluaran minyaknya.

Waktu itu juga, seluruh dunia menghadapi masalah inflasi yang teruk. Harga minyak naik mendadak 400% daripada 10 dolar setong hingga 40 dolar setong dalam masa 6 bulan. Memberikan kesan inflasi yang cukup teruk termasuk dalam Negara kita pada waktu itu. Tetapi saya ingat pada waktu itulah pentingnya, tahun 1974 ialah zaman Tun Razak.

Tun Razak menubuhkan PETRONAS pada waktu itu. Menubuhkan PETRONAS dalam keadaan yang tertekan kerana dunia luar menekan kita jangan ambil hak yang telah diberikan kepada SHELL pada waktu itu. SHELL telah diberikan oleh British sebelum meninggalkan negara kita. Kita tubuh PETRONAS pada waktu itu dan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Sebab itulah pada waktu itu seluruh rakyat bersatu menyokong Tun Razak. Pada waktu itu polls khas menyokong Tun Razak. Pada waktu itu juga banyak parti-parti lain menyokong Tun Razak. Saya ingat pada waktu itu Saudara Anwar memilih untuk memalukan Tun Razak, berarak di jalan raya mengajak mahasiswa dan sebagainya.

Seperti dulu dan seperti hari ini, rakyat memang sempit tetapi saya melihat sama seperti dulu, Saudara Anwar suka mengambil kesempatan daripada kesempitan rakyat. Sebab itulah kita katakan bahawa, memberikan minyak yang murah bukan penyelesaiannya. Banyak negara ....... terima kasih.

PERANTARA: Terima kasih Dato Seri dan terima kasih Dato’. Kita masuk kepada pusingan yang kedua. Ini merupakan soalan saya yang saya tujukan kepada kedua-dua tokoh ini. Soalan saya ialah, pada masa ini PETRONAS hanya menguasai kira-kira 40% pasaran runcit petroleum. Sekiranya subsidi yang besar diberikan, maknanya Kerajaan juga harus menanggung subsidi untuk beberapa syarikat minyak raksasa yang ada di negara ini termasuk EXXON Mobil dan SHELL. Apa komen pendebat? Saya mulakan dengan Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Kita mesti mengakui bahawa kaedah subsidi adalah kaedah yang tidak boleh bertahan lama. Banyak subsidi ertinya kita mesti mengakui akan memberi kesan pertumbuhan ekonomi yang sebenarnya.

Kalau kita terus memberi subsidi yang banyak, kita akan mewujudkan satu keadaan bahawa wang Negara yang sepatutnya dilaburkan untuk kepentingan rakyat, untuk sekolah, untuk hospital dan sebagainya terpaksa digunakan hanya untuk menampung subsidi minyak yang sebahagiannya akan digunakan oleh orang-orang yang sudah kaya, yang sudah mempunyai kenderaan yang besar termasuk orang-orang dari luar negara. S

ebab itulah kita katakan di sini bahawa kalau kita terus memberi subsidi sebagaimana yang disebutkan tadi, ada syarikat-syarikat seperti EXXON Mobil, seperti SHELL dan sebagainya yang turut mendapat faedah daripada wang rakyat. Dalam soal ini, kenapa tidak kita berikan wang tersebut terus kepada rakyat dan ini yang dibuat oleh kebanyakan negara-negara maju yang lain.

Kalau disebutkan tadi kerana pengurusan yang tidak cekap, kerana ada rasuah dan sebagainya. Kita tanya Norway, Finland, tanya negara-negara maju yang lain yang dikatakan paling kurang rasuah, mereka juga tidak subsidi dan mereka telah menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik dan Malaysia juga harus menuju ke arah itu.

PERANTARA : Dato’ Seri Anwar.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Debat ini masalah minyak, bukan Anwar dan Shabery. Oleh yang demikian, saya tidak memilih untuk menyentuh beliau walaupun beliau tokoh Semangat 46 dahulu. Itu tak apa.

Soalnya saudara, kita nak banding dengan Norway, pendapatan per kapita Norway 10 kali lebih daripada Malaysia. Kita bicara soal harga minyak ini, keperitan rakyat, petani, nelayan dan pekerja yang miskin. Jadi kalau kita nak bandingkan dengan kedudukan negara industri yang capai tahap yang baik, ini agak sukar. Nisbah dan basis perbandingan itu meleset sama sekali.

Saudara, soal minyak, soal bantuan, meredakan keperitan rakyat ini tanggung jawab mana-mana pemerintah. Lebih ramai orang miskin, lebih rakyat terpinggir, baik Melayu atau bumiputera Sabah, Sarawak atau segelintir Cina dan masyarakat India di estet, itu tanggung jawab kita. Soalnya, menaikkan kadar minyak dengan mendadak begini, cukup membebankan. Dan kalau pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sampai hari ini tidak sedar, saya fikir masa depan parti itu tidak begitu cemerlang lagi. Orang tidak akan yakin.

Saudara, ini realitinya. Saudara tahu, berapa ramai jumlah pengangguran? Itu akan saya sentuh. Sebab itu prinsip subsidi, bila nak tolong orang miskin, subsidi. Bagaimana tentang prasarana infrastruktur, berpuluh bilion ringgit yang disediakan untuk pedagang-pedagang untuk industri? Untuk pelabuhan? Bukankah itu bentuk subsidi?

Prasarana disediakan dengan jumlah yang besar, kita sebut insentif. Tolong rakyat miskin dengan subsidi minyak kita panggil subsidi. Jumlah nak tampung kerugian PERWAJA saya sebut tadi, dan MAS dan pelbagai bail-out , kita sebut bail-out, bantuan menyelamatkan ekonomi. Nak bantu nelayan, petani dan Melayu miskin namanya subsidi. Dan subsidi itu namanya cukup negatif dan busuk sekali. Saya tidak setuju.

Saya anggap tanggung jawab kita dalam mana-mana negara. Kita ada dana. Keuntungan PETRONAS, tak sentuh bahan sektor yang diperoleh daripada PETRONAS, itu perlu untuk pelaburan dan sebagainya. Ini soal dana yang besar yang diperoleh oleh Kerajaan. Memang betul untuk sekolah, tapi kalau kita ambil berbilion dari rakyat kemudian kita tingkatkan bangunkan sekolah, tanggung jawab dan boleh kita sentuh dalam round kedua. Insya Allah.

PERANTARA: Baik, terima kasih Dato’ Seri Anwar. Demikian saudara penonton sekalian, berakhirnya segmen pertama debat AgendaDaily ini. Kita akan bertemu lagi selepas pesanan iklan ringkas ini. Jangan ke mana-mana

PERANTARA: Saudara penonton yang saya hormati sekalian, kita sedang mengikuti Debat AgendaDaily mempertemukan YB Dato’ Shabery Cheek dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membawa judul ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Kita sampai pada pusingan ketiga sekarang, saya mempersilakan wakil Dato’ Ahmad Shabery bertanyakan soalan kepada Dato’ Seri Anwar. Silakan Tan Sri.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Terima kasih Pengerusi. Sebelum saya mengemukakan soalan yang terbuka, saya ingin terlebih dahulu mendapatkan komitmen yang diucapkan oleh Dato’ Seri tadi, iaitu premis kepada cadangan apabila memerintah hari ini besok harga minyak akan turun 50 sen, bukan kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak, ya atau tidak?

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM:
Ya, Malaysia ialah negara pengeksport minyak.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Kerana Malaysia negara pengeksport minyak, itu sebabnya cadangan ini dikemukakan?

DATO’ SERI ANWAR: Ya.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Jadi apabila cadangan ini dikemukakan sedangkan dalam hujah telah menyentuh perkara-perkara lain yang bukan berkaitan dengan minyak iaitu yang berkaitan dengan IPP dan sebagainya. Jadi saya merasai .....

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: IPP itu ada hubungan minyak dengan gas.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KARDI: Premis itu sudah bercampur-campur, jadi saya suka menyebut beberapa angka iaitu hasil ataupun revenue daripada minyak. Mengikut laporan tahunan yang telah diumumkan ialah RM223 bilion.

Dan daripada RM223 bilion ini yang merupakan hasil daripada minyak yang dikorek daripada Malaysia ialah 26% iaitu RM56 bilion, sedangkan PETRONAS telah mengembalikan wang sebanyak RM63 bilion, bermakna melebihi daripada duit minyak yang diperoleh daripada urus niaga minyak Malaysia sebanyak RM5 bilion lebih.

Jadi dengan demikian, seolah-olah apabila wang ini dilaburkan semula untuk perkembangan ekonomi, dan apabila Dato’ Seri memerintah hari ini, besok akan menurunkan harga minyak, Seolah-olah Dato’ Seri seumpama seorang anak yang telah kematian bapa akan membahagi-bahagikan harta ini yang telah dikumpulkan hasil keringat orang terdahulu, untuk mendapatkan keseronokan di kalangan kawan-kawan bahawa Dato’ Seri adalah pemimpin yang baik.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Terima kasih atas ucapan pengulas. Saya fikir dia nak tanya soalan. Tapi mungkin kaunseling punya pengaruh.

Basic, pengetahuan basic bila kita sebut industri petroleum itu, termasuk minyak dan gas. Patut dapat taklimat awal. Tapi kalau yang disebut oleh PETRONAS ini, keuntungan besar dari pelaburan PETRONAS dan PETRONAS ini walaupun termasuk dalam di antara 100 syarikat minyak terbaik, tapi dari segi keuntungan termasuk di antara yang ke 10 terbaik.

Dan keuntungan ini ialah kerana operasi kebanyakannya itu dalam negara dan sebahagian kecil di luar. Dan dalam polisi kita tentunya kita menggalakkan PETRONAS untuk terus melabur sebahagian pendapatannya. Sebab itu kita tidak menyentuh dana yang diperoleh oleh PETRONAS. Kita nak menyentuh dana yang dipulangkan kepada Kerajaan kerana PETRONAS ini milik dan khazanah Negara. Berhak untuk rakyat, anak ni maknanya anak kita semua, itu hak mereka.

Jadi sebenarnya soal nak menyatakan pendekatan populis atau tidak, ya. Kita dalam pemerintahan ini nak jaga siapa? Nak jaga tauke besar dan kroni? Atau nak jaga rakyat? Kita jaga semua. Jadi oleh yang demikian, saya tekankan jumlah yang kita sebutkan 50 sen itu bukan jumlah yang keterlaluan. 50 sen turun, langkah awal.

Memang Dato’ Shabery, dia menyentuh ... memang saya janji lebih, memang itu saya sebut itu langkah awal. Sebab apa saya nak menyebut langkah awal, sebab kekacauan, kemusnahan ekonomi, kerosakan akibat kenaikan mendadak keterlaluan, kerana naik begitu mendadak keterlaluan, tidak ada yang sokong, yang sokong hanya Ahli Parlimen Barisan Nasional. Kerana naik keterlaluan, kita terpaksa menurunkan ikut peringkat. Saya mengambil satu pendekatan bertanggung jawab, kalau benar populis saya umumkan saja, kita turunkan RM1 atau RM1.50, apa salahnya. Tetapi saya terpaksa mempertahankan dengan hujah dengan angka RM2 bilion selamat dari...... saya sambung kemudian.

PERANTARA: Saya mempersilakan Saudara Zulkifli Sulong untuk bertanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

SAUDARA ZULKIFLI SULONG: Assalamualaikum Dato’ Ahmad Shabery. Pada tahun 2006 lalu, Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen. Hasilnya Kerajaan telah dapat jimat kira-kira RM4.3 bilion dahulu. Kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam. Mengikut jawapan di Parlimen baru-baru ini, Kerajaan baru belanjakan RM834.72 juta sahaja, untuk prasarana pengangkutan awam sejak dari tarikh itu.

Kenapa perkara ini berlaku? Kerana dengan kenaikan ini pula, Kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion yang kita jimatkan dahulu itu sukar untuk dibelanjakan, sehingga kini tidak dapat nampak hasilnya tentang pengangkutan awam yang dijanjikan. Apakah yang akan berlaku dengan penjimatan yang agak besar yang akan kita hapuskan?

DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Terima kasih Saudara Zul. Sebenarnya Saudara mungkin tidak ikut perkembangan harga minyak agaknya. Pada waktu itu 70 dolar, sekarang 140 dolar. Senanglah nak cakap turun, siapa pun boleh, kalau tak memerintah. Saya duduk pembangkang mudah hendak cakap. Bagi free pun boleh.

Tetapi kita mesti bertanggung jawab dalam soal ini. Kita tengok dalam dunia sekarang ini pun, pertamanya kita perhatikan, dalam dunia sekarang ini, semua negara yang murah harga minyaknya, Venezuela paling murah, 10 sen sahaja. Saya baru ke sana minggu lepas. Tetapi inflasinya berapa? 30%, yang terburuk dalam negara Latin Amerika. Iran inflasinya yang ke 8 terburuk dalam dunia sekarang. Itu negara yang murah.

Kerana dalam masa yang sama kita kena ingat, bahawa harga minyak bukan sekadar menyebabkan harga minyak sahaja naik, tetapi bukan sahaja harga barang, tetapi termasuk krisis makanan.

Sekarang ini kalau kita tengok, negara kita mampu untuk mengatasi krisis makanan sekarang ini malahan kalau kita tengok beras kita lebih murah daripada beras Thailand. Ini antara bukti kemampuan kita mengatasi makanan. Sebab itulah kita katakan bahawa ianya hanya dapat diimbangi dengan cara sistem subsidi yang betul dan kita tidak perlu berarak di jalan raya.

Alhamdulillahlah kita dapat bersama hari ini, tidak berarak di jalan raya atau pun buat konsert yang tidak senonoh seperti baru-baru ini. Kita dapat berbincang dengan yang baik dalam keadaan sekarang ini.

PERANTARA: Sekarang saya akan minta supaya Saudara Zul menanyakan soalan kepada Dato’ Seri Anwar, silakan.

SAUDARA ZULKIFLI SULONG: Dato’ Seri, bercakap soal minyak ini, ia adalah harta masa depan kita. Seingat saya semasa Dato’ Seri menjadi Menteri Kewangan dahulu, Dato’ Seri pernah menubuhkan Tabung Warisan. Dan apa sebenarnya dalam pemikiran Dato’ Seri ketika itu, jika kita kaitkan dengan isu minyak yang juga harta rakyat masa depan sekarang ini?

PERANTARA : Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Dua Kumpulan Wang Amanah yang penting ialah Kumpulan Amanah Pencen dan Negara yang melibatkan kepentingan heritage. Kerana pada masa itu kita ada belanjawan lebihan, tidak macam sekarang deposit teruk. Masa itu kalau belanjawan lebihan, kita kumpulkan supaya kita simpan sebahagian daripada dana yang diberikan PETRONAS dan lebihan itu untuk masa depan Negara.

Malangnya, perkara itu tidak dikembangkan dan dana simpanan itu masih di peringkat yang dianggap agak kecil. Tetapi dalam isu minyak ini, kita tidak boleh kaitkan semata-mata dengan harga global. Kalau kita sebut Venezuela, Iran, benar inflasinya agak naik sedikit, tapi kalau kita kira inflasi yang disebut oleh Kerajaan.

Cuba pergi kedai beli ikan ke, bawang ke, ayam ke, ianya tidak naik 3%. Angka terakhir yang disebut oleh Gabenor Bank Negara 6% lebih. Semua bank sebut lebih 8%. Maknanya kebijakan ekonomi yang diumumkan menyebabkan inflasi melonjak tinggi kerana kenaikan itu pada tahap yang singkat terlalu tinggi menyebabkan kesan sampingan harga barang meningkat.

Jadi keprihatinan Pak Menteri meniaga barang di inflasi itu bercanggah dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan. Naik minyak mendadak, inflasi tidak akan naik. Itu teori ekonomi siapa yang mengajar begitu?

Kenaikan yang mendadak, kenaikan barang termasuk minyak bila mendadak begitu akan membawa kesan yang parah. Kita sebut harga minyak global, memang benar. Harga minyak global meningkat tinggi tetapi setiap 1 dolar Amerika naik dengan pengeluaran minyak di Malaysia, kita peroleh RM360 juta.

Jadi naik harga minyak itu pulangan besar kepada kita. Ini hendak merunsingkan orang kampung, harga minyak global naik, di London, di Paris, di China, di India naik. Kita pengeluar minyak, memang naik berbanding 10 tahun lalu, tetapi tidak boleh bebankan rakyat dan yang saya nak tekankan sekarang ini, kenaikan begini menyebabkan ekonomi kian meleset.

PERANTARA: Saya mempersilakan Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi untuk menanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

TAN SRI DATUK DR NORDIN KORDI: Tadi saya telah menanyakan komitmen Dato’ Seri Anwar tentang adakah premis kepada penurunan harga minyak 50 sen itu kerana Malaysia adalah pengeluaran minyak. Selepas kita bacakan data bahawa sumbangan minyak dalam negara hanya 26%. Saya melihat bahawa isu yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Anwar bukan isu minyak lagi tetapi memilih minyak sebagai sasaran untuk dikurangkan kepada 50 sen.

Tetapi mengapa tidak misalnya oleh kerana ia bukan semata-mata isu minyak bercakap mengenai pengurangan cukai seperti mana Kerajaan telah tidak mengenakan cukai kepada mereka berpendapatan di bawah RM2,000, mengapa tidak misalnya memberi bantuan sewa rumah kepada mereka yang miskin tinggal di bandar, tetapi mengapa memilih minyak, mengapa agaknya Dato’ Seri Anwar tidak berjanji untuk mengurangkan inflasi seperti katanya 80% kepada 30%. Jadi soalan saya kepada Dato’ Shabery ialah mengapa agaknya Dato’ Seri memilih minyak sebagai sasaran janji kepada rakyat apabila memerintah esok. Terima kasih.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Saya rasa soalan ditanya kepada saya kerana merasakan banyak premis yang salah tadi. Kita bercakap tentang kita ini sebagai negara pengeluar minyak. Saya hendak tanya, kita ini negara pengeluar minyak nombor berapa dalam dunia? nombor 1 hingga 20? Kita nombor berapa?

Tidak masuk pun. nombor 21 pun tidak. Kita kecil, jangan bandingkan dengan Arab Saudi, jangan bandingkan dengan Venezuela, jangan bandingkan dengan Iran, jangan banding dengan tempat lain. Kita kecil sangat, itu pun minyak kita telah diambil 100 tahun lamanya dan kita telah sampai ke peringkat penghujung. Kita masih nett exporter tetapi nett exporter yang kecil. Kita kena tahu dalam soal ini.

Dan kemudiannya dari segi keuntungan daripada minyak kita tidak benar tadi, sebenarnya hanya 26% daripada keuntungan yang disebabkan oleh PETRONAS hari ini, 26% hasil daripada minyak dalam negeri yang lain itu adalah pelaburan. Kalau kita kata tahun 2015 nanti waktu kita sudah tidak ada minyak, apakah waktu itu kita telah menjadi nett importer pada waktu tersebut. Apakah pada waktu itu kita baru hendak mengikut harga dunia, kalau orang hendak jual minyak pada kita waktu itu.

Kalau tidak jual bagaimana? Sebab itulah tanggung jawab PETRONAS dengan keuntungan yang ada walau sudah banyak diberikan kepada negara sepatutnya cari minyak di luar negara dan terima kasih di bawah Dato’ Seri Mahathir misalnya, sampai ke 33 buah negara yang dia terokai, PETRONAS kita sehingga kita menjadi salah sebuah negara yang mempunyai sebuah syarikat minyak antara yang ternama dalam dunia sekarang ini. Sebab itulah kita rasakan jangan menyebabkan PETRONAS menjadi lebih miskin dalam soal ini. Kita mestilah realistik, minyak kita bukanlah minyak yang banyak sangat, mungkin minyak urut, minyak atar tidak tahulah dalam soal ini.

PERANTARA: Terima kasih, kita akan pergi kepada soalan cepumas. Saya akan minta Dato’ Seri Anwar menanyakan satu soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery dan kemudian Dato’ Ahmad Shabery akan menanyakan satu soalan kepada Dato’ Seri Anwar. Saya mulakan dengan Dato’ Seri Anwar menanyakan soalan kepada Dato’ Ahmad Shabery.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM : Saudara Shabery, siapa yang bandingkan Malaysia dengan Venuezela dan Iran? Harganya 10 sen, 15 sen, 16 sen? Soalnya, kita bandingkan Malaysia sebagai negara pengeksport minyak, dan kita telah bagi perkiraan bahawa kenaikan yang mendadak itu membebankan rakyat dan menyebabkan kemerosotan, kemelesetan ekonomi negara.

Jadi kalau ini diketahui, mengapa Kerajaan setelah berjanji untuk tidak menaikkan minyak sebelum pilihan raya, dalam tempoh beberapa bulan sahaja telah memungkiri janji, mengkhianati janji dan menaikkan harga minyak yang membebankan rakyat dan mengatakan kita ambil dari dana PETRONAS? Siapa yang kata kita ambil dari dana PETRONAS? Saya kata kita jimatkan belanja, kita betulkan perjanjian kita dengan IPP dan kapasiti lebihan dan kita ambil dari dana Kerajaan yang bocor begitu banyak termasuk rasuah yang disebut Morgan Standly kehilangan RM300 bilion dan RM10 bilion.

Jadi saudara, saya cuma hendak sebutkan begitu, mengapa gunakan media termasuk media rasmi sebagai amanah memutar belitkan kenyataan kita? Kenyataan kita ialah mengapa kenaikan yang begitu mendadak dan membebankan? Dan mengapa kita tidak boleh mengurus sumber khazanah yang kita miliki untuk meringankan bebanan rakyat dan memajukan pertumbuhan ekonomi dengan meyakinkan?

PERANTARA: Terima kasih, saya minta Dato’ Ahmad Shabery jawab.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Saya kira ini sekali lagi ucapan yang populis sifatnya. Seolah-olah menafikan bahawa segala-galanya dikaitkan bahawa punca kenaikan harga minyak kita ini kerana tidak ada penjimatan dan soal rasuah dan sebagainya.

Ini boleh kita terima sekiranya kenaikan harga minyak negara kita adalah sesuatu yang terpencil daripada negara lain. Seolah-olahnya Saudara Anwar menafikan bahawa seluruh dunia berhadapan dengan soal harga minyak yang tinggi sekarang ini, seolah-olah dikatakan bahawa minyak mahal di Malaysia sahaja.

Ini sama saya katakan seperti dalam tahun 1974 dahulu, Saudara menggerakkan MASSA, menggerakkan mahasiswa mengatakan orang kaya raya, orang miskin papa kedana. Sedaplah kita bercakap waktu itu, bercakap tentang orang Baling pada waktu itu. Tetapi pada waktu yang sama kita rasakan bahawa

Saudara Anwar waktu berada dalam Kerajaan, tidak selesai pun tentang soal orang di Baling. Bercakap mudah dalam soal ini, sebab itulah sebahagian daripada masalah yang kita ada, soal IPP ialah semasa zaman Saudara Anwar berada dalam Kerajaan. Susah kita hendak ubah kontrak-kontrak yang ada sekarang ini kerana antara kontrak itu dipertahankan semasa Saudara Anwar berada dalam Kerajaan.

Saudara Anwar kata media suka memutar belitkan. Saya rasakan sekarang ini tidak pernah berlaku kalau Saudara Anwar berada dalam Kerajaan diberi peluang yang begini kepada seorang pemimpin pembangkang. Saya rasakan bahawa kalau mengikut cara Saudara Anwar sewaktu menyelesaikan masalah krisis kewangan tahun 1997, memilih cara yang digemari oleh IMF.

Pada waktu itu yang menjerut rakyat dan tidak pernah pun di cakap kita membuat tentang kepentingan rakyat, kadar bunga yang dinaikkan dengan cara yang cukup tinggi pada waktu itu, NPL dipanggil daripada enam bulan kepada tiga bulan, ramai peniaga kecil SME dan sebagainya bankrap disebabkan oleh Saudara Anwar.

Kita bercakap mudah bila kita di luar, tetapi hakikat yang sebenarnya tidak semudah dapat kita hayati dalam keadaan yang sebenarnya dalam negara kita pada hari ini. Tetapi percayalah sebagaimana yang saya katakan tadi, dalam kesusahan yang ada sekarang rakyat cukup makan.

Kalau disebutkan tentang soal kebocoran dan sebagainya, kita cubalah lihat, Saudara Anwar cubalah lihat bandingkan statistik yang ada sekarang ini, semua negara-negara yang dianggap murah minyaknya juga mengalami keadaan inflasi yang tinggi kecuali boleh dibuktikan satu negara yang memberikan subsidi yang tinggi, inflasinya tidak berlaku, tunjuk dan buktikan, Iran, Venezuela, Saudi Arabia, Qatar semua ini negara-negara minyaknya tetapi inflasinya adalah jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Sebab itulah saya katakan bahawa jangan kita sempitkan pemikiran kita dalam mengelirukan rakyat semua.

PERANTARA: Sekarang, saya mempersilakan Dato’ Ahmad Shabery mengajukan soalan kepada Dato’ Seri Anwar.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Soalan saya mudah sahaja. Kalau kita mengajar rakyat kita dengan harga yang murah walaupun pada hakikatnya harga minyak antarabangsa adalah tinggi, tahun 2015 kita akan menjadi nett importer. Mungkin beberapa tahun lagi kita tidak akan ada minyak lagi. Apakah subsidi begini akan diteruskan? Atau pada waktu itu baru nak naik mendadak serta merta daripada apa yang ada sekarang?


PERANTARA: Silakan Dato’ Seri Anwar.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Ya, terima kasih. Sekurang-kurangnya, soalan itu tadi kembali kepada mauduk. Yang lain itu, soal demonstrasi 1974 belum habis demam pun lagi.

Saudara, siapa yang bagi angka kata ada deflation? Ada kehausan sumber minyak pada 2015? Cuba kalau baca betul-betul laporan PETRONAS. Disebut, mengikut perkiraan sekarang, seandainya 10 tahun dari sekarang tidak ada sama sekali telaga minyak yang baru, maka ..., bacalah bagi habis. Maknanya, kapasiti tidak terencat.

20 tahun yang lalu atau 30 tahun yang lalu, kapasiti kita berakhir pada 2005. Keadaan itu berkembang. Baiknya PETRONAS ini, kerana dia tidak hanya memilih untuk cari gali dalam negara. Dia pilih luar negara untuk mencari sumber yang lain. Sebab itu, saya pertahankan PETRONAS.

Yang saya kritik ialah Kerajaan Barisan Nasional. Dia ada beza. Jadi, kalau Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Parlimen pun tak faham, problem kita. Soalnya, sekarang, kita bincang minyak. Tapi, pengurusan Kerajaan, kebocoran. Saya boleh bagi contoh, bukan saya bagi perkara yang tidak bertanggungjawab. Betul, IPP itu diluluskan di zaman saya menjadi Menteri Kewangan. Tapi, saudara harus honest to the truth.

Jangan bohong. Saudara boleh semak rekod. Semak surat Tan Sri Ani Arof, Pengerusi TNB. Dia pertahankan keputusan Kementerian Kewangan, dia bercanggah dengan EPU dan keputusan Perdana Menteri pada ketika itu.

Saya mempersilakan Saudara semak balik. Kita tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan. Itu sebabnya, mengapa Tan Sri Ani Arof meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi TNB. Betul. Tetapi, tak mengapalah. Dato’ Shabery kata Anwar salah. Tetapi, tahun 1990. Dan kamu buat apa tahun 2008 ini? Sekarang ini, dalam keadaan permulaan perjanjian IPP, rizab kapasiti 10, 15 tahun dulu, sekarang, kita teliti balik.

Untung IPP ini berbilion dan PETRONAS itu kerugian, termasuk TNB kerana beban perjanjian IPP. Sebab itu harus diteliti semula. Saya menganggarkan, kalau diteliti semula selain RM2 bilion rizab kapasiti kita boleh jimatkan RM1 bilion lagi. Dari kadar RM3 bilion, kita hanya perlu RM2 bilion.

Tengok, bagaimana Kerajaan uruskan pembelian diesel. Diesel yang bocor, penyeludupan, dan penyelewengan, berapa? RM700 juta setahun. Kemudian, Kerajaan tubuh syarikat kroni, Teras Kimia, RM117 juta. Sudahlah rugi RM700 juta, ambil syarikat geng dia, bantu pula RM100 juta. Rakyat? Jadi, ini sebab Saudara, saya minta dengan baik, ikhlas, betulkan ini. Kalau kita dapat jimatkan yang ini, setiap proses satu persatu, kita boleh jimatkan. Ini disebut tiris dan bocor. Sekiranya ini dapat dilakukan, kita lihat ini dari segi kerangka ekonomi makro keseluruhannya.

Saudara boleh bangkitkan, umpamanya, ini pendekatan naik minyak mendadak, cadangan siapa? Ini preskripsi IMF World Bank. Dan beri satu contoh. Jangan guna ini sebagai istilah politik biasa. Saya sedia tepat, soal krisis ekonomi 1997, 1998 dengan pakar ekonomi lain pun tak apa. Tetapi, dengan syarat, bagi ruang. Bahawa adalah satu fitnah besar seperti fitnah berterusan terhadap saya bahawa kita tunduk kepada prinsip IMF.

Saudara, tidak mengapa. Soalnya sekarang, kita beri satu kebocoran yang saya sebutkan tadi. PETRONAS umumkan, ada dividen khas selain daripada beberapa bilion tadi ni, dividen khas tahun ini kepada Kerajaan sebanyak RM6 bilion. Tak bolehkah saya ambil RM1 bilion untuk tampung, supaya kos minyak turun 50 sen?

Apa, bagi Ahli-ahli Yang Berhormat, berat sangat ke? Allah, bagaimanakah, takut bayangkan Kerajaan nak bagi RM1 bilion. RM1 bilion, untuk redakan masalah ini. Saudara percayalah, dua bulan, tiga bulan sekarang. Ini bukan soal penangan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat satu wadah. Ini soal, rakyat. Kalau kita nak teruskan kebijakan ekonomi, sekarang ini, apa yang akan berlaku ialah kemelesetan, pengangguran yang sekarang setengah juta akan mencecah hampir 1 juta orang. Ini beban kepada rakyat.


PERANTARA: Terima kasih, Dato’ Seri. Saudara penonton yang saya hormati sekalian. Demikian tadi berakhirnya segmen yang kedua dalam perbincangan kita pada malam ini. Kita akan bertemu lagi selepas pesanan iklan ini. Jangan ke mana-mana.


PERANTARA: Saudara penonton yang saya hormati sekalian, saudara sedang mengikuti Debat AgendaDaily. Dua pendebat yang di undang ialah YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Judul perdebatan kita pada hari ialah ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Kita sampai kepada pusingan yang kedua terakhir. Saya akan mengemukakan soalan ini, pertama kepada Dato’ Seri Anwar dan kemudian akan dijawab oleh Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Soalan saya ialah, Dato’ Seri, rasanya tidak perlulah jadi Perdana Menteri untuk membantu meringankan beban rakyat. Kenapa tidak sumbangkan idea bernas untuk tujuan itu pada masa ini. Tanpa perlu, misalnya cakap-cakap mengenai menukar Kerajaan. Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Ini yang sebab saya ikut serta ni. Saya bukan Perdana Menteri, bahkan nasib saya satu dua hari ini, belum tentu ke mana. Tetapi saya memilih untuk hadir kerana saya rasa, Kerajaan juga, kawan-kawan saya dalam UMNO dan Barisan Nasional harus beri peluang untuk dengar.

Ini bukan satu soal yang partisan hanya khusus untuk Pakatan Rakyat. Kalau cadangan ini diterima dan dilaksanakan, kita akan menyokong tindakan mereka. Tetapi soalnya sekarang ialah apakah ada kesediaan pemimpin-pemimpin Kerajaan dengar dan cuba melaksanakan.

Saudara Johan, Profesor Arif, MIER, umpamanya menyebut, Februari 2006 naik 30 sen, inflasi bulan berikutnya 4.8%. Sekarang naik mendadak, belum sempat satu bulan, naiknya 8%. Jadi jangan sibuk perhati di Iran dan Venezuela, kita pun sudah menuju cepat ke arah itu. Bezanya dia harga minyak rendah, inflasi tinggi.

Kita, harga minyak tinggi, inflasi lagi tinggi. Ini bukan boleh sudah dikatakan populis atau tidak, saya bimbang kerana, kalau kita tidak membawa arah baru dalam pengurusan ekonomi negara, lebih baik, lebih mendekati prinsip ekonomi pasaran, lebih meyakinkan dengan pengurusan yang cekap, lebih bersih kepada daripada kebocoran, ketirisan dan rasuah. Lebih menghormati rule of law dan negara hukum. Ini semua akan menjejaskan.

Kita tewas dengan persaingan kita, dengan banyak negara. Jangan banding dengan Somalia dan Zimbabwe. Bandingkan dengan negara-negara yang dulu kita setara. Singapura, Taiwan, Korea Selatan dan negara di ASEAN sendiri. Mengapa kita tewas? Dari segi pelaburan asing, dari segi daya saing. Ini semua ada kesan bila kita ambil apa-apa kebijakan ekonomi.

Saya masih yakin, Malaysia dengan kekuatan yang ada, sumber, termasuk kekuatan dari minyak dari petroleum, itu mempunyai potensi yang besar. Dengan syarat pengurusan Kerajaan itu cekap dan bersih dan sedia mendengar dan mengorak cepat untuk bersaing dengan negara-negara lain.

PERANTARA: Terima kasih Dato’ Seri. Silakan Dato’.

DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Ya. Kalau tadi IPP dia salahkan Dr Mahathir, tapi selepas itu saya pernah mendengar Saudara Anwar cakap, Dr Mahathir pemimpin yang paling hebat. Pernah dia kata, kalau boleh dipintal awan di langit, akan ku pintal dengan nama Dr Mahathir dan Siti Hasmah pada waktu itu.

Ada orang kalau dia tak setuju, dia letak jawatan pada waktu itu. Tapi kalau saya katakan populisnya begini. Kalau sebelum pilihan raya, dia katakan bahawa, kalau memerintah sebelum pilihan raya nak turun bawah daripada RM1.92. Sepatutnya tidak timbul sekarang ini nak bercakap di bawah 50 sen sahaja daripada harga yang ada sekarang.

Kita mesti kembali pada asas. Ucapan ini dibuat berasaskan kepada ucapan sebelum pilihan raya. Sebelum pilihan raya. Kalau langkah awal, langkah seterusnya semakin murah semakin murah, di waktu harga minyak semakin mahal semakin mahal. Apakah kita bercakap harga minyak di Malaysia semakin murah semakin murah ertinya kita akan membebankan Negara dengan subsidi yang lebih tinggi dan ini sama sekali bertentangan dengan mana-mana prinsip ekonomi yang sihat.

Kalau kita tidak mengikut prinsip ekonomi yang sihat, kita akan menyebabkan Negara kita akan terus dibebankan dengan beban baru. Adakah kita hendak berhutang selepas ini? Dan kalau kita berhutang, dengan siapa kita hendak berhutang?

Kalau tidak dengan peminjam-peminjam atau ‘ah long-ah long’ antarabangsa. Sebab itulah kalau dikatakan tentang menggunakan wang PETRONAS, misalnya. Tahu tidak, daripada apa yang Kerajaan dapat sekarang ini, sebenarnya daripada keuntungan PETRONAS Berhad. Jangan kita cakap tentang PETRONAS Group atau Kumpulan PETRONAS yang termasuk Cari Gali, PETRONAS Dagang dan sebagainya yang melibatkan saham-saham orang lain.

Daripada keuntungan PETRONAS itu, sebenarnya yang telah diberi kepada Kerajaan ialah sebanyak 91% telah diberikan. Apa lagi yang hendak kita ambil dari PETRONAS selepas ini? Dan kita kena ingat bahawa PETRONAS kuat dan maju sekarang ini dan selama ini, kerana siapa? Kalau tidak kerana Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.

Apakah kita hendak nafikan kehebatan yang dibuat oleh PETRONAS selama ini adalah kerana dorongan yang diberikan oleh Kerajaan. Kita tidak bebankan PETRONAS, kita benarkan PETRONAS untuk melabur kembali dan kita tidak mengambil segala-galanya yang ada pada PETRONAS.

Kalau dikatakan penyalahgunaan kuasa, selalu saya beritahu tadi, ianya kalau kita terpisah daripada negara-negara lain hanya negara kita saja yang minyaknya naik, boleh kita katakan demikian. Tetapi kita menerima realiti dan hakikat, masalah ini adalah masalah global yang tidak boleh kita lari.

PERANTARA: Kita sampai kepada pusingan akhir, saya mempersilakan Dato’ Seri Anwar untuk membuat penggulungan. Kita ada waktu yang cukup terbatas, kira-kira satu setengah minit. Silakan.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM: Terima kasih. Di antara negara pengeksport minyak, harga minyak di Malaysia keterlaluan tinggi. Itu faktanya. Tidak saya mahu bandingkan dengan Venezuela. Itu yang pertama.

Kedua, harga minyak memang tidak menentu. Tetapi berapa ramai kajian dan pakar minyak menyebut sudah ada break point. Atau besar kemungkinan harga minyak itu menetap dan mula menurun.

Ketiga, kita mengemukakan cadangan ini, gagasan ini dengan penuh tanggung jawab. Kerana kita mahu ekonomi kita kukuh, kerana saya yakin di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum tentu sampai bila, kalau diteruskan dengan dasar yang ada sekarang, dalam tempoh dua bulan atau tiga bulan lagi, kedudukan ekonomi kita akan jauh lebih parah daripada kedudukan yang parah sebelumnya. Ini kenyataannya. Saudara tidak setuju, tidak apa.

Tapi saya minta teliti dengan baik dan objektif. Sebab itu saya komited, Insya Allah, kita dalam Pakatan Rakyat akan terus menjelaskan kepada rakyat dan saya sebab itu, saya tidak mahu hak saya dinafikan dan untuk meneruskan agenda ini walaupun Saudara Shabery memilih untuk menyerang secara peribadi, saya tidak mahu jawab. Kerana ini bukan ruangnya. Kerana ruang dia di RTM masih banyak lagi.

Dan saya tidak mempunyai ruang selepas ini. Tetapi percaya, fitnah ke, khianat ke, ada batasnya. Saya diberikan sebaik ada pilihan, Insya Allah saya akan bertanding dalam pilihan raya dalam masa sesingkat yang mungkin.

PERANTARA: Saya minta Dato’ Ahmad Shabery.

YB DATO’ AHMAD SHABERY CHEEK: Percayalah. Kalau kita perhatikan bahawa, Saudara Anwar tidak berubah seperti dulu. Dalam sejarah yang banyak memberi sumbangan kepada Negara untuk membina PETRONAS daripada apa yang ada sekarang, sebaik-baiknya kepada satu syarikat yang mencapai tahap yang begitu tinggi sekali.

Kalau dahulu, orang yang membina PETRONAS seperti Tun Razak, sudah ditentang. Tun Mahathir yang mengembangkan PETRONAS sampai ke peringkat dunia, ditentang juga. Kita selalu sebutkan bahawa pada waktu sekarang Pak Lah tidak mengambil lebih daripada apa yang sepatutnya. Maka tidak ada sebab untuk kita menentang.

Dan apakah kita nak sekarang ini, dalam keadaan sekarang ini, kita terus hendak mainkan sentimen-sentimen mengajak orang ke jalan raya sebagaimana yang dibuat dalam tahun 1974 dahulu, akan menyelesaikan masalah kita. Dan kita ingat, kalau ingin kita terus menyebabkan menekankan supaya wang yang banyak diambil daripada PETRONAS misalnya, untuk membantu mensubsidi negara kita, maka kita akan katakan bahawa kita membenarkan ia menjadi semakin miskin dan mungkin kita hendak membenarkan orang lain akan mengambil PETRONAS satu masa nanti.

Percayalah dalam soal ini, kita lihatlah dalam negara-negara lain, Malaysia adalah negara yang terbaik. Growth atau pertumbuhan kita kekal ke angka 6% setahun lebih baik daripada banyak negara yang ada di sekitar sini. Saya percaya, bahawa perdebatan sebegini rupa adalah bukti keterbukaan Kerajaan kita yang ada sekarang yang tidak mungkin diperoleh sewaktu Saudara Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, satu ketika dahulu.

PERANTARA: Terima kasih Dato’ Ahmad Shabery. Demikian tadi saudara penonton yang saya hormati sekalian, berakhirnya Debat AgendaDaily dengan membawa tajuk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan yang bersedia berdebat dengan isu ini. Kepada kedua-dua wakil pendebat Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi dan Saudara Zulkifli Sulong, saya ucapkan terima kasih. Semoga kita mendapat manfaat dengan pertemuan ini. Saya akhiri dengan Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat malam.

Monday, July 14, 2008

ANWAR - AKU SIMPATI PADAMU

Anwar....

Aku tahu setiap detik dan saat
kau dalam keresahan
kau dalam kepanasan
kau dalam kerisauan

Anwar.....

Aku tahu
Kau kini sedang menari-nari
Di atas debuan kaca
Tepi terusan api

Anwar.....

Aku tahu yang kau tahu
Apa yang kau lakukan
Aku tahu yang kau tahu
Apa yang melayang di fikiranmu

Anwar....

Tak perlulah kau takut dan gentar
Dengan apa yang mendatang
Anggaplah ianya kebaikan untukmu
Sementara bernafas di bumi nyata

Anwar....

Bukankah kau digelar pendekar jihad
Juga panglima peperangan
Yang sering menyentap jiwa rakyat
Atas nama perjuangan suci

Anwar.....

Kau gemar mencabar
Kau gemar menguji
Lantas meninggalkan ribut kencang
Kerna itu permainanmu

Anwar.....

Duniamu tiba-tiba gelap
Ayunanmu tiba-tiba lesu
Lagakmu tersentak
Lukamu kini membuak

Anwar....

Dimanakah silapmu
Sehingga laluanmu semakin berliku
Di manakah alpamu
Sehingga jalanmu kini bertatih

Anwar.....

Langkahmu kini semakin songsang
Degup jantungmu makin longlai
Tampak dirimu semakin susut
Langsung tak bermaya

Anwar.....

Gelombang kali ini sukar diramal
Datangnya tanpa diundang
Kebenaran dan kebatilan akan terjelma
Kocakan isyarat sudah hampir

Anwar......

Ku harap kau tabah
Menghadapi terjahan keris
Tamingsari kini tiada padamu
Kini menunggu utusan takdir

Anwar......

Walau apapun
Aku tetap bersimpati padamu
Kerana kau manusia biasa
Yang terjebak dalam banyak angkara

Saturday, July 12, 2008

JANGAN TAK BONGKAR

Wak terasa begitu suspen dan seram seram sejuk bila bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd bersumpah akan lawan lawan habis-habisan dan membongkar apa yang diketahuinya mengenai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ia akan mengaibkan anak-anak dan keluarga Anwar jika beliau dikaitkan dengan dakwaan konspirasi politik untuk menjatuhkan mantan timbalan perdana menteri itu menerusi tuduhan liwat.

Wow....satu lagi episod baru akan tercetus tidak lama lagi. Wak kata Wak terasa seram-seram sejuk bukan apa. Mesti ada cerita yang belum ditayang di pawagam lagi ni. Maknanya cerita tentang Anwar dan keluarganya masih banyak lagi yang belum diketahui oleh orang ramai. Ayat "walaupun ia akan mengaibkan anak-anak dan keluarga Anwar" membuat Wak termenung panjang memikir apa bendanya sehingga ayat tersebut terkeluar dimulut bekas orang kuat Anwar. Ada cerita best dan hot ke atau ada scandal lain ke..atau.. ada kes liwat lain ke..atau yang sewaktu dengannya. Sama-samalah kita tunggu keluar dari mulut Ezam sendiri. Wak pun tak berani komen lebih-lebih kerana Wak tak tahu rahsia apa yang ada pada Ezam.

Selaku orang kanan Anwar satu ketika dulu, Wak amat yakin Ezam amat tahu siapa Anwar dan keluarganya. Cuma dulu tak bolehlah nak hentam boss sendiri dan terpaksa berkata yes boss macam yang dilakukan oleh Azmin sekarang. Sekarang setelah keluar dari PKR kerana tak tahan kerana ada sesuatu yang tak kena kat sana, maka Ezam bebas untuk mengkritik dan membuka rahsia besar ex boss dia. Sama-sama lah kita tunggu.

Wak cadangkan kepada Ezam, tak payahlah tunggu lama-lama untuk keluarkan rahsia tersebut. Negara kita sekarang ini makin celaru dan nak jadi huru hara kerana tuduhan Anwar yang berbagai-bagai kepada pemimpin-pemimpin negara yang berbau fitnah seperti dikaitkan Altatunya dengan Najib. Najib dah pun bersumpah bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan Altantuya. Maknanya Anwar adalah seorang pemfitnah kerana dalam ceramah-ceramahnya beliau selalu kaitkan cerita Altantuya dengan Najib. Jadinya...jangan tunggu lama-lama untuk dedahkan rahsia Anwar. Biar rakyat tahu siapa itu Anwar. Jangan tak bongkar Ezam.

Thursday, July 10, 2008

DEBAT SHABERY VS ANWAR

Wak secara peribadi tak mengenali Shabery Cheek. Dia pun tak kenal Wak. Tapi Wak sangat minat kat Menteri Penerangan nie. Apa yang Wak minat terhadap beliau nie kerana beliau mempunyai kelainan sedikit daripada lain-lain ahli politik.

Wak lihat dia nie mempunyai perwatakan yang tenang, cara dia cakap tu tidak terlalu lantang tetapi penuh dengan fakta dan cara dia menyusun ayat cukup power sehingga sesiapa yang dengar dia berceramah tak akan tutup mata dan telinga punya. Satu lagi yang Wak kagum ialah dia tidak sombong. Walaupun berstatus Menteri penuh, namun ini tidak sedikitpun menukar stailnya bila berinteraksi dengan sesiapa. Wak angkat topi kat Shabery kerana masih tidak berubah walaupun sudah berada di atas.

Paling akhir yang Wak sangat kagum dan sanjung tinggi kepadanya ialah apabila beliau sanggup berhadapan untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim mengenai tajuk ' Hari ini membentuk kerajaan,esok turun harga minyak '. Wak mula-mula tu terkejut juga bila ada menteri yang berani mengambil risiko untuk berdebat dengan seorang terkenal dengan sikap dan cakap 'berbelitnya'. Tapi Wak yakin, Shabery bukanlah orang baru dalam dunia pidato ini. Wak percaya Shabery akan menggunakan skillnya untuk menelanjangi tipu muslihat politik Anwar terutama berkaitan dengan tajuk ini.

Wak sebenarnya amat kagum dengan prinsip yang dipegang oleh Shabery. Cara beliau mempertahan dasar dan tindakan kerajaan amat konsisten. Kenyataannya "Saya adalah Menteri Penerangan yang bertanggungjawab untuk pertahankan dan jelaskan dasar kerajaan, saya bukan Menteri yang nak jaga airtime ,drama,artis atau konsert sahaja" cukup untuk kita menilai siapa Shabery Cheek sebenarnya.

Wak juga hairan mengapa masih terdapat sesetengah pemimpin UMNO mahu debat ini dibatalkan. Apakah mereka tidak yakin kepada bekas pensyarah di Falkulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan juga seorang mantan zamil penyelidikan (fello) di Institut Kajian Asia Tenggara Singapura (ISEAS) ini?

Apa kekurangan Shebery berbanding Anwar. Semasa di Universiti Malaya, beliau adalah seorang yang sangat aktif dalam persatuan gerakan mahasiswa dan dikenali sebagai seorang aktivis mahasiswa yang lantang dan pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Setelah tamat pengajian di Universiti Malaya, beliau turut memimpin pelbagai badan bukan kerajaan. Selain dari memiliki ijazah dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, beliau juga telah memperoleh Ijazah Sarjana Sains Politik daripada University of Leeds, England. Beliau juga pernah menuntut diperingkat Diploma Lanjutan dalam bidang hubungan antarabangsa di Uppsala University, Sweden.

Jadi apa yang hendak dibimbangkan? Wak percaya bahawa Shabery berpegang kuat kepada pepatah Melayu BERANI KERANA BENAR. Wak yakin Shabery sudah mempunyai senjata dan fakta yang kuat untuk berhadapan dengan Anwar. Debat yang akan dilangsungkan pada 15 Mei ini akan menjawab dengan jelas dan tepat momokan pembangkang selama ini untuk menurunkan harga minyak sekiranya mereka memerintah. Rakyat boleh menilai sendiri fakta sebenar dan fakta 'berbelit' semasa debat nanti. Wak berharap selepas ini lebih ramai menteri akan berani tampil untuk berdebat secara live dengan pembangkang untuk menyampaikan maklumat secara langsung kepada rakyat.

Jika rakyat faham yang selama ini kerajaan memang betul-betul berada dilandasan sebenar, dalam pilihan raya akan datang tidak mustahil Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah, Pulau Pinang termasuk Kelantan akan kembali kepada kerajaan BN.

Wednesday, July 9, 2008

Takut Takut Berani, Berani Berani Takut

Wak tak tau apa dah jadi kat Anwar kebelakangan ini. Wak nampak semacam aje Anwar nie. Masa mula-mula dia larikan diri kerana didakwa menerima ancaman dibunuh, dia pergi menyebunyikan diri di kedutaan Turki. Nampak caranya takut sungguh Anwar pada ketika itu. Alasan...diancam dibunuh. Hehehehe... Wak ketawa sorang diri bila pemimpin hebat bagi jawapan yang sebegitu. Wak nak tau juga siapa dan bagaimana ancaman itu dibuat. Pasal citer sebegini biasanya akan dibuat laporan kepada polis bukan bersembunyi kat kediaman kedutaan Turki.

Lepas tu Wan Azizah pula meraung-raung minta jaminan kerajaan pastikan keselamatan Anwar terjamin. Pak Lah kata negara kita memang aman dan damai. Tak ada apa-apa yang nak ditakutkan.

Dalam kepala Wak satu sahaja yang wak terfikir. Kalau tak salah nak takut apa? Takkan takut kat Saiful kot???? Saiful pun tak lari ke mana-mana kedutaan. Dia hanya buat repot kat balai polis aje.

Wak hairan sebagai seorang yang hebat dan ceramah berdentam dentum, tetiba jadi macam tikus dikejar helang. Lari lintang pukang. Selagi laju dia berlari, selagi laju bayang-bayangnya mengekor. Takut sangat nampaknya. Selalunya kalau Anwar bercakap, nampaknya beliau berpewatakan sebagai orang yang kuatttt, beraniiii, hebatttt... gagahhhh...cekalllll.....tabahhh...
Nah, inilah kehebatan Anwar sebenarnya.

Kalaulah seorang pemimpin hebat berkelakuan macam nie, takut dan tidak berani berhadapan dengan cabaran, lari sana sini tak tentu arah, tak payah jadi pemimpin lah. Ramai pemimpin di dunia sedikitpun tak hirau ancaman dibunuh kerana mereka pemimpin yang mementing rakyat lebih dari diri sendiri. Kalau betul tak bersalah, ambil lagi sembilan orang lawyer...buktikan di mahkamah. Tak perlu lari sana lari sini.

Sebagai pemimpin kita kena jaga maruah. Jangan rakyat lihat kita nie gelabah tak tentu arah. Jangan alih perhatian kepada benda lain. Tumpukan kes sebenar. Persoalannya ialah Saiful dakwa Anwar meliwatnya. Anwar kata dia difitnah dan benda itu tak pernah berlaku. Jadinya apa yang nak dikecoh-kecoh? Perkara ini mudah saja. Anwar hanya perlu jawab 'kita akan berjumpa di mahkamah'. Habis cerita.

Tak perlu bawa cerita yang berbelit-belit yang membuat tuduhan kepada orang lain pula. Semua tahu strategi alih perhatian memang dah lama dipraktikkan oleh Anwar. Dia selalu mengambil kesempatan kaitkan perkara lain yang tiada kaitan dalam kes yang diperkatakan.

Sekarang nie Anwar dah mulai berani balik. Berbagai alasan dia kasi untuk menagih simpati. Dia dah mula buat road show. Dia dah mula ceramah di merata tempat. Nak pulih keyakinan rakyat yang sebahagian besar melihat gelagatnya seperti orang pengecut yang melarikan diri bersembunyi. Jika Kapten yang mengetuai pasukan lari ketika diserang musuh, prebet pun tak akan hormat padanya lagi. Jika pemimpin lari ketika dalam situasi yang genting, rakyat akan hilang keyakinan kepadanya.

Tuesday, July 8, 2008

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

"Saya tidak mahu mengatakan bahawa kuasa Pakatan Rakyat di Kedah berada di hujung tanduk. Namun beberapa isu penting melibatkan rakyat perlu diperhalusi dan diselesaikan.Pertama, jentera kerajaan negeri Kedah termasuk kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih berbulan madu. Cubaan rakyat menghubungi wakil rakyat termasuk exco kerajaan negeri melalui telefon umpamanya kerapkali gagal. Samalah jika dikatakan mewarisi perangai tidak bertanggungjawab pemimpin UMNO dan BN dulu. Bilik pejabat exco di Wisma Darul Aman ditinggalkan tanpa penghuni. Panggilan telefon pejabat tidak terjawab.Saya telah mencubanya sendiri beberapa kali. Mahu disebutkan nama exco berkenaan ? Sungguhpun harga petroleum bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, penduduk Charok Nau, penduduk Wang Tepus, penduduk Sungai Ular dan kawasan pedalaman kurang pasti tentang itu. Apa yang mereka mahu ialah, harga barang makanan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.Rakyat dikampung kurang mendapat berita terkini. Ceramah-ceramah menemui rakyat seperti diadakan sebelum pilihanraya boleh dikatakan sudah lapan puluh peratus berkurangan. Mungkin kerana keadaan dianggap ‘selesa’.Kakitangan pejabat MB seperti Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Pegawai Khas dan lain-lain pegawai masih belum bangun untuk mendekati rakyat. Sudahlah tempat meletak kereta tersangat kurang, tindakan Majlis Bandaraya Alor Star merantai dan mengangkut motosikal kelori-lori mereka sangat merunsingkan pengguna. Bukan setakat itu, parit dan longkang masih tersumbat di sana-sini. Sampah berselerak di hadapan rumah-rumah. MBAS ditakuk lama. Apa cerita dengan Taulan Rasul Exco Kerajaan Tempatan ?Mahu rakyat mengikuti langkah Hj Mahfuz Omar – melonggok sampah di hadapan MBAS ?Alasan banyak penyelewengan kerajaan dahulu tidak dapat diterima.Kenapa tidak diambil tindakan? Rakyat mengharapkan perubahan. Jika tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya manifesto pilihanraya, lakukanlah sesuatu untuk memperbetulkan apa yang menjadi rungutan orang ramai."

Petikan di atas Wak ambil dari http://kedahlanie.blogspot.com/ sebuah laman blog yang menjadi umum mengetahui penyokong kuat kepada parti PAS di Kedah. Wak tertarik dengan komen yang dikemukakan kerana kini jelas penyokong kuat parti pembangkang sudah berpijak dibumi nyata dan sudah menerima satu hakikat yang pada satu ketika dahulu sukar mereka terima.

Sebahagian besar penyokong PAS terlalu taksub kepada pemimpin mereka sehinggakan mereka sering menganggap semua yang orang lain buat tak betul. Hanya pemimpin mereka sahaja yang betul. Sekarang baru mereka tahu, apabila mengurus atau mentadbir sesebuah negeri bukan semudah ceramah di padang atau di stadium. Kalau nak cakap kosong, budak darjah 4 pun boleh bercakap. Tapi bila dah diberi mandat atau amanah untuk menunaikan segala apa yang dicakap, petikan di atas jadi buktinya. Wak tak nak kata apa-apa. Wak serahkan kepada pembaca untuk menilainya. Cuma apa yang Wak harapkan kepada semua pembaca, don't judge a book by its cover. Kalau cover cantik isi kosong buat apa? Kalau setakat dengar ceramah pilihanraya yang berdentum-dentum, pasti semua akan menyokong. Dan itulah yang berlaku di Kedah. Tetapi selepas pilihanraya, apa yang mereka berikan kepada rakyat?. Sekali lagi Wak minta pembaca lihat petikan diatas. Itulah hadiah ikhlas Pakatan Rakyat kepada rakyat di Kedah.

Friday, July 4, 2008

JEREBU UDARA, JEREBU POLITIK

Wak dah mulai naik pening dengan perkembangan mutakhir politik negara. Wak dah nampak macam nak jadi haru biru dah. Mana-mana Wak pergi, semua orang bercakap benda yang sama. Wak dah naik bosan dan rasa kalau boleh Wak nak lari pergi di tempat yang Wak boleh hidup udara segar dan menenangkan kepala otak Wak. Sebut pasal udara segar, Wak teringat semasa Wak keje kat Sabah dulu, jerebu bukan main kuat. Wak dah tak tahan dengan asap yang diimpot secara percuma dari Kalimantan Indonesia menusuk hidung dan tekak Wak. Wak ambil cuti seminggu balik Kedah. Ingatkan boleh lari dari asap bengit tu, tapi rupanya jerebu turut melanda Kedah. Tapi tak sehebat kat Sabah.

Rupa-rupanya baru Wak insaf. Jika dulu Wak tak berapa hiraukan udara segar kerana Wak beranggapan bahawa itu satu perkara biasa, namun bila berlaku sesuatu musibah atau kesusahan, barulah kita sedar bahawa betapa pentingnya udara segar untuk meneruskan kelangsungan aktiviti harian. Bila Wak balik semula ke Sabah, udara pada ketika sudah kembali seperti biasa. Wak menadah tangan kesyukuran kerana Wak dah boleh menghirup udara yang segar. Wak bebetul menghayati kesegaran udara tersebut dan dah boleh menilai betapa pentingnya udara bersih kepada Wak. Itu sebab bila Wak nampak orang membuat pembakaran terbuka, Wak terus melenting kerana mereka masih tak serik-serik menyiksa alam semulajadi dan menyiksa sesama manusia.

Tapi sekarang kita tidak menghadapi masalah jerebu udara. Tapi kita kini sedang menghadapi jerebu politik. Inipun amat bahaya sekali. Wak sangat susah hati bila berlaku peperangan politik yang dah nampak semakin serius berlaku. Wak nie bukan apa, Wak bimbang jika ini berterusan, apa akan jadi kepada rakyat dan negara ini? Bila dah politik tak stabil, siapa yang nak datang melawat kat Malaysia. Bila publisiti buruk diberikan terhadap Malaysia, siapa yang nak datang melabur ke Malaysia? Apabila tumpuan keterlaluan diberi terhadap politik, sudah pasti produktiviti negara akan menurun kerana asyik nak menyelesaikan masalah politik.

Semua orang tahu apa puncanya. Wak tanak ulang perkara yang memeningkan kepala Wak. Apa yang Wak harapkan ialah kita rakyat Malaysia tak payah dok beri perhatian terhadap pertandingan gajah lawan gajah. Kita teruskan aktiviti harian seperti biasa. Biarlah masalah politik mereka selesaikan sendiri. Kalau kita ikut serta terlibat, nak berdemonstrasi, nak menyokong pemimpin tertentu, nak tunjuk handal dengan membuat sesuatu yang menyalahi undang-undang, maka kita sedang memusnahkan tanah air kita sendiri. Jangan kita bakar kampong kita sendiri. Kalau berlaku huru hara, siapa yang susah? Kalau berlaku kekacauan, nak cari susu untuk anak pun tak dapat. Mahukah kita melihat anak-anak kita menangis kelaparan kerana angkara kita sendiri? Fikirlah panjang-panjang. Macam yang Wak kata tadi, udara yang segar jika kita tidak menghargainya, maka akibatnya akan berbalik kepada kita. Janganlah akibat pergaduhan sesama kita akhirnya negara tergadai. Jangan biarkan negara kita dijajah sekali lagi.

Thursday, July 3, 2008

Dari Warak ke Mungkar

Hari ini Wak terus terang cakap. Wak nak sapu Anwar. Wak dah mula teramat meluat dengan gelagat orang yang Wak pernah sanjung tak lama dulu. Wak pernah bertengkar dengan kawan-kawan Wak semasa berlaku kegawatan politik pada tahun 1997/1998 dulu. Wak pada ketika itu amat menyanjungi Anwar kerana penonjolan Anwar sebagai seorang yang bercirikan islamik dan watak yang dihiasi dengan kewarakan, bersih, amal maaruf dan nahi mungkar. Wak amat memerlukan pemimpin sebegini kerana hanya orang yang mempunyai ketakwaan kepada Allah yang boleh mengemudi negara ini dengan baik. Itulah yang Wak terlalu taksub dengan Anwar.

Kawan-kawan Wak cakap, Wak ini terlalu mudah percaya kepada watak luaran Anwar yang mereka dapat kesan awal-awal lagi sebagai seorang hipokrit dan banyak melakukan pembohongan. Wak masih tak percaya pada ketika itu kerana Wak anggap manusia sebaik Anwar tak akan melakukan perkara yang dicegah oleh agama. Wak berpendapat mana mungkin orang yang membaca kutbah di masjid, mengimamkan sembahyang di masjid, pernah menerajui pertubuhan islam yang terkenal iaitu ABIM, orang yang ramai sahabat negara di Arab, orang yang apabila berpidato berapi-api mempertahankan islam dan orang yang apabila bercakap mesti ada selang seli dengan ayat-ayat suci boleh melakukan perkara yang tak baik.

Sanjungan Wak terhadap Anwar tetiba menjunam macam kapalterbang terhempas ke laut apabila melihat Anwar menari dengan seorang perempuan cina apabila kawan Wak paksa Wak tengok satu VCD. Wak memang kenal wajah Anwar. Wak memang tahu memang itu Anwar. Wak cam sangat idola Wak. Itu bukan gambar palsu. Itu gambar Anwar bin Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sedang berdangdut kopi dengan seorang perempuan yang bukan Dr. Wan Azizah.

Wak berigtifar panjang. Wak macam nak nangis. Wak dah jadi keliru. Wak dah jadi bingung. Wak sedih sangat. Wak dah tak tahu nak buat apa-apa lagi. Barulah Wak tahu mengapa kawan-kawan Wak cakap Anwar hipokrit. Mulai dari saat itu, Wak dah buangkan dalam fikiran dan sanubari wak bahawa Anwar bukanlah seorang yang seperti yang Wak sangka. Ringkasnya Wak buat kesimpulan bahawa Anwar bukan seorang muslim yang baik. Seorang muslim yang baik tak akan melakukan perkara sebegitu. Seorang pemimpin adalah menjadi teladan yang terbaik kepada pengikutnya. Adakah Anwar boleh jadi ikutan kepada orang-orang Islam? Kalau perkara sebeginipun iman dah melayang, apatah lagi perkara yang lebih besar?

Wednesday, July 2, 2008

Dah Terang Lagi Bersuluh

Wak hairan apasal Amerika tiba-tiba memberi amaran kepada kerajaan Malaysia berhubung siasatan keatas seorang individu yang didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral keatas seorang pemuda Malaysia (baca sekali lagi..Pemuda Malaysia, bukan Pemuda Amerika). Kejadian yang berlaku di Malaysia itu...baca sekali lagi di Malaysia (bukan di Amerika) nampaknya menarik perhatian kuasa besar itu yang menganggap mungkin wujud pendakwaan yang didorong politik.

Wak hairan dalam beribu-ribu kes penyiasatan seperti ini diseluruh dunia, kenapa kes yang dihadapi oleh individu ini menjadi top PRIORITY sehingga jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey dengan BIADAP membuat kenyataan berunsur amaran kepada kerajaan Malaysia. Wak kagum dengan Perdana Menteri kita yang membidas balik Amerika kerana cuba campur tangan dalam urusan negara. Wahai Amerika.. lebih baik anda jaga negara anda sendiri. Kami tahu mengurus negara kami sendiri. Tak payah nak bagitahu apa kami perlu buat. Polisi, pentadbiran dan kepimpinan negara anda sendiripun penuh dengan kejijikan dan kebobrokkan.

Lihatlah apa yang berlaku kepada pemimpin agung anda Clinton dan Monica Lewinsky? Budaya dan agama kami tidak dapat menerima semua ini. Individu yang anda sedang pertahankan sekarang ini dalam penyiasatan polis. Kalau ada kes, biarkan mahkamah yang memutuskan. Amerika tidak ada HAK untuk memberi arahan atau menunjuk ajar negara kami dan menentukan salah atau tidak individu tersebut. Negara kami adalah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Kami mempunyai sistem yang lengkap. Tak payah dok menyibuk dan menganggap kami seperti tak tahu memerintah negara kami sendiri. Anda yang patut risau dengan keadaan negara anda yang semakin lama semakin menuju kehancuran.

Cuma satu soalan sahaja yang ingin Wak tanya. Apa hubungan individu tersebut dengan negara anda?????? Soalan ini saya kemukakan kerana negara anda nampaknya begitu beria-ia sangat mempertahankan beliau.

Tuesday, July 1, 2008

Filem An War

An Art Of War. Wak sekarang nie sedang melihat wayang gambar kat dalam panggung. Ceritanya sungguh menarik. Kesinambungan cerita juga amat menarik. Pelakon-pelakonnya juga hebat-hebat belaka. Plot-plot cerita disusun begitu rapi, teliti dan kemas. Strategi pengarah dalam membentuk lakonan amat berkesan.

Bagi mereka yang tak tahan dek permainan emosi skrip yang disusun rapi ini pasti akan menghayati cerita ini dengan sepenuh jiwa dan raga. Seperti dalam cerita hindustan yang sering kita lihat, kita terbawa-bawa dengan jalan cerita An War sehingga kita juga akan turut simpati, marah, sayu, sedih, menangis dan meraung-raung apabila menyaksi cerita yang ditayangkan. Sehinggakan ada orang yang sanggup menyanjung tinggi pelakon-pelakon tersebut dan sanggup beri apa sahaja yang diminta oleh pelakon terkenal tersebut.

Peminat-peminat yang fanatik sanggup menyerah apa saja yang pelakon tersebut mahukan termasuk jiwa, raga dan sokongan. Itulah kesan lakonan yang berkesan. Wah...hebat sungguh filem tersebut. Macam cerita hindustan juga, dari Kuala Lumpur tiba-tiba dalam sekelip mata boleh berada di Turki. Ramai yang dikatakan cuba membunuh hero tersebut. Hero filem An War ini dilihat sangat pintar dan licik. Beliau diibaratkan sebagai penyelamat yang akan menyelamatkan bangsa dan negara.

Beliau terlalu sempurna dan tidak ada satupun kesalahan yang pernah dilakukannya. Begitulah hebatnya Filem yang berjudul An War. Bagi mereka yang rasional... itu hanyalah cerita yang mana jalan ceritanya ditulis oleh penulis skrip yang mendapat upah yang lumayan, lakonannya dibentuk oleh pengarah filem yang dibayar dengan bayaran yang tinggi, pengeluar filem tersebut yang digelar producer membiayai kos pembikinan yang dananya entah dari mana dia dapat.

Wak tak sabar nak melihat ending filem An War ini kerana walaupun Wak tahu semua ini adalah rekaan dan khayalan, namun seronok juga kerana ia dipenuhi dengan unsur-unsur suspen walaupun dari segi logiknya kadang-kadang ia langsung tak boleh diterima oleh akal. Bila manusia sedar dari khayalan dan illusi filem tersebut, barulah mereka akan berpijak dibumi yang nyata. Wak dah lama sedar lakonan tersebut kerana sebelum Filem An War ini Wak tonton, Wak dah tonton Filem berjodol Arsenik. Hanya jauhari juga yang mengenal manikam.

ZAID OH ZAID

Wak geleng kepala bila Menteri yang jaga Undang-Undang enggan mendedahkan jumlah pampasan yang diterima oleh bekas-bekas hakim yang dipecat atau waris-waris mereka. Alasan beliau amat mudah yakni bagi menghormati permintaan hakim-hakim atau waris-waris mereka.

Tapi yang Wak hairan ialah mengapa yang lain-lain kes nampaknya Zaid begitu terus terang dan cekap mendedahkan satu demi satu tanpa berselindungan dan mewar-warkan atas nama ketelusan kerajaan? Tapi bila nak umum berapa yang bekas hakim dapat terus tak telus nak umumkan. Zaid harus faham bahawa wang yang dibayar kepada bekas-bekas hakim adalah wang rakyat, bukan wang poket Zaid.

Bila melibatkan wang rakyat, pastinya rakyat nak tahu berapa jumlahnya. Mudah saja. Kalau Zaid tidak mahu umumkan sendiri, Wak cadangkan supaya Zaid tuliskan di sekeping kertas dan suruh budak-budak darjah enam untuk menyebut angka tersebut. Mudah kan. Selagi Zaid main 'aci lut' selagi itu rakyat terus mempersoalkan integriti beliau. Wak hairan apakah angka yang diberi mencecah jutaan sehingga Zaid takut mendedahkan kepada pembayar cukai dan juga golongan petani, nelayan, pekebun kecil, yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Wak rasa Zaid kena berhadapan dengan rakyat, bukan buat kenyataan mudah dan anggap sudah selesai. Kalau tak sanggup berterus terang dan bertanggungjawab, lebih baik letak jawatan dan serahkan jawatan tersebut kepada orang yang lebih bertanggungjawab.

Wak puji Menteri Penerangan Datuk Sheberry Cheek yang nampaknya sanggup berhadapan dengan sesiapa sahaja untuk menerangkan apa-apa sahaja yang rakyat nak tahu termasuk sanggup berhadapan dengan gergasi pembangkang Anwar Ibrahim untuk berdebat atas tajuk 'Hari ini membentuk kerajaan,esok turun harga minyak ' secara live di televisyen pada malam 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka,KL. . Inilah telus dan bertanggungjawab namanya. Ini baru pemimpin sejati.

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum. Terlebih dahulu Wak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi melayari blog Wak. Wak menamakan blog ini sebagai Wak Sapu kerana Wak memang dikenali dalam kalangan kawan-kawan Wak dengan sikap terus terang dan tak memilih bulu dalam komen-komen yang Wak utarakan. Wak tak kisah apa orang nak kata kepada Wak. Asalkan apa yang Wak rasa betul, Wak akan cakap. Tak kisahlah parti kerajaan ke, parti pembangkang ke, parti tupperware ke.. kalau mereka berada dalam situasi benar dan betul...Wak akan sokong. Jika mereka tidak betul, tidak bertanggungjawab, menyeleweng dan seangkatan dengannya, Wak akan SAPU mereka habis-habisan. Itulah pendirian Wak. Itulah sebabnya dalam kalangan kawan-kawan Wak, bila mereka sembang dengan Wak, pasti ada masanya mereka akan rasa sejuk dan ada masanya terasa amat panas. Wak tak kisah tentang reaksi mereka. Wak menulis bukan nak membodek pemimpin atau sesiapa. Wak tak pandai bodek-bodek. Yang Wak tahu ialah Wak akan sapu siapa saja yang melakukan perkara-perkara yang tak betul. Wak akan puji habis-habisan jika mereka melakukan perkara kebaikan. Dan Wak juga tak keberatan untuk sesiapa saja nak SAPU Wak kerana mungkin apa yang Wak utarakan itu tak betul. Pada masa itu, semua orang boleh bedal Wak cukup-cukup supaya Wak menyedari kesilapan Wak. Wak tak kisah. Kalau Wak berani memukul, Wak mesti berani pula dipukul. Wak tak kisah. Janji kebenaran akan terpancar.