Tuesday, July 1, 2008

Filem An War

An Art Of War. Wak sekarang nie sedang melihat wayang gambar kat dalam panggung. Ceritanya sungguh menarik. Kesinambungan cerita juga amat menarik. Pelakon-pelakonnya juga hebat-hebat belaka. Plot-plot cerita disusun begitu rapi, teliti dan kemas. Strategi pengarah dalam membentuk lakonan amat berkesan.

Bagi mereka yang tak tahan dek permainan emosi skrip yang disusun rapi ini pasti akan menghayati cerita ini dengan sepenuh jiwa dan raga. Seperti dalam cerita hindustan yang sering kita lihat, kita terbawa-bawa dengan jalan cerita An War sehingga kita juga akan turut simpati, marah, sayu, sedih, menangis dan meraung-raung apabila menyaksi cerita yang ditayangkan. Sehinggakan ada orang yang sanggup menyanjung tinggi pelakon-pelakon tersebut dan sanggup beri apa sahaja yang diminta oleh pelakon terkenal tersebut.

Peminat-peminat yang fanatik sanggup menyerah apa saja yang pelakon tersebut mahukan termasuk jiwa, raga dan sokongan. Itulah kesan lakonan yang berkesan. Wah...hebat sungguh filem tersebut. Macam cerita hindustan juga, dari Kuala Lumpur tiba-tiba dalam sekelip mata boleh berada di Turki. Ramai yang dikatakan cuba membunuh hero tersebut. Hero filem An War ini dilihat sangat pintar dan licik. Beliau diibaratkan sebagai penyelamat yang akan menyelamatkan bangsa dan negara.

Beliau terlalu sempurna dan tidak ada satupun kesalahan yang pernah dilakukannya. Begitulah hebatnya Filem yang berjudul An War. Bagi mereka yang rasional... itu hanyalah cerita yang mana jalan ceritanya ditulis oleh penulis skrip yang mendapat upah yang lumayan, lakonannya dibentuk oleh pengarah filem yang dibayar dengan bayaran yang tinggi, pengeluar filem tersebut yang digelar producer membiayai kos pembikinan yang dananya entah dari mana dia dapat.

Wak tak sabar nak melihat ending filem An War ini kerana walaupun Wak tahu semua ini adalah rekaan dan khayalan, namun seronok juga kerana ia dipenuhi dengan unsur-unsur suspen walaupun dari segi logiknya kadang-kadang ia langsung tak boleh diterima oleh akal. Bila manusia sedar dari khayalan dan illusi filem tersebut, barulah mereka akan berpijak dibumi yang nyata. Wak dah lama sedar lakonan tersebut kerana sebelum Filem An War ini Wak tonton, Wak dah tonton Filem berjodol Arsenik. Hanya jauhari juga yang mengenal manikam.

No comments: