Tuesday, September 2, 2008

LOMPAT OH LOMPAT

Terlebih dulu Wak nak ucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang telah memenangi pilihan raya kecil P.44 Permatang Pauh. Ini baru kemenangan ‘gentlemen’ . Ini baru kena caranya untuk mendapat mandat rakyat secara yang dibenarkan oleh undang-undang dan direstui oleh rakyat majoriti. Kita masuk gelanggang rasmi, berkempen secara rasmi dan dipilih secara rasmi oleh rakyat untuk mewakili mereka.

Di Permatang Pauh rakyat mahukan PKR mewakili mereka. Kita kena hormati kehendak rakyat. Tetapi di tempat lain adakah rakyat mahukan PKR mewakili mereka? Mungkin iya dan mungkin tidak. Dalam pilihan raya umum tahun 2008, rakyat telah memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan pusat dan memberi 5 negeri dan W.P Kuala Lumpur untuk pembangkang. Itu keputusan rakyat. Semua kena hormati. Rakyat telah beri 140 kerusi parlimen kepada BN dan 82 kerusi kepada pembangkang. Ini bukan angka rekaan.

Apa yang Wak nak cuba sampaikan di sini ialah berhubung dengan cadangan pembangkang untuk membentuk kerajaan pusat pada 16 September ini. Wak nampak ada sesuatu yang tak kena di sini.

Perkiraan Wak, untuk membentuk kerajaan pusat, pembangkang perlu mempunyai bilangan ahli yang mencukupi kerana kalau setakat 82 kerusi sahaja, maka ini ibarat mimpi di siang hari. Jadi untuk mendapat jumlah yang mencukupi, maka sudah tentu pembangkang akan cuba menarik ahli parlimen BN untuk menyertai mereka. Kalau benar ada ahli parlimen BN yang akan melompat menyertai pembangkang, maka wakil rakyat tersebut memang boleh berbuat demikian kerana tiada undang-undang yang melarang berbuat demikian.

Tetapi Wak nak ingatkan wakil rakyat tersebut. Masa dia bertanding dulu, adakah dia bertanding atas tiket individu atau parti? Kalau atas tiket individu, Wak tak kisah kerana pengundi memilih atas sifat dirinya. Yakni pengundi melihat individu yang bertanding bukan parti mana yang bertanding. Contoh yang paling senang ialah Ibrahim Ali. Orang tak akan kisah jika Ibrahim Ali masuk PKR, PAS atau BN kerana rakyat pangkah Ibrahim Ali.

Tetapi jika dia bertanding atas tiket parti, Wak rasa jika dia melompat kepada pembangkang, dia seorang pemimpin yang tak bermaruah dan pentingkan diri sendiri. Bagi dia pedulikan mandat rakyat yang diberikan atas nama parti. Itu bukan masalah dia. Baginya yang penting aku dapat menjayakan agenda peribadi aku. Bagi Wak orang jenis ini tidak layak digelar pemimpin. Rakyat memilihnya atas tiket parti bukan individu. Wak percaya ramai ahli parlimen BN menang kerana mereka mewakili parti. Jika mereka mewakili diri sendiri atau atas lambang kunci, payung, kapal terbang atau yang seangkatan dengannya, Wak percaya mungkin mereka akan hilang deposit.

Habis, jika mereka tahu akan perkara ini, mengapa mereka masih mahu teruskan niat mereka? Jika mereka menyeberang parti, ini bermakna mereka telah mengkhianati amanat rakyat. Oleh kerana mungkin ada habuan tertentu, mereka terus membelakangkan rakyat. Mereka lupa bahawa rakyatlah yang telah meletakkan mereka dikedudukan tersebut. Jadi mengapa mesti mengkhianati rakyat? Orang yang khianat ini sangat buruk, busuk dan tak bermaruah. Orang yang sebegini adalah jenis manusia yang tidak mempunyai prinsip hidup dan mempunyai akal yang tidak cetek. Dalam sesuatu peperangan, pengkhianat boleh dihukum mati. Tetapi dalam politik, rakyat kena tunggu 5 tahun untuk menghukum mereka.

Kalau wakil rakyat tersebut sudah benar-benar tidak selari dengan parti yang diwakilinya, Wak rasa mudah sahaja. Letak jawatan sebagai wakil rakyat dan serah balik mandat kepada rakyat. Biar rakyat buat keputusan sama ada nak melantik pembangkang atau BN untuk mewakili mereka. Ini lebih bermaruah dan telus. Bukankah Anwar sering kali melaungkan ketelusan dan integriti. Jangan cakap tak serupa bikin.

Wak cadangkan kepada pembangkang jika benar-benar nak tubuh kerajaan, kenalah sabar sikit. Sesungguhnya sabar itu sebahagian dari iman. Tunggulah pilihan raya ke 13. Dah tak lama lagi. Maka pada ketika itu serahlah kepada rakyat. Kalau rakyat mahukan pembangkang, maka pembangkang akan jadi pemerintah. Dan jika rakyat mahu BN terus memerintah, maka kita kena menghormati keputusan rakyat. Wak takut jika terlalu ghairah, bernafsu tinggi dan tak sabar untuk jadi pemerintah maka akan jadilah "yang dikendong keciciran, yang dikejar melepas".

No comments: