Tuesday, September 23, 2008

PUTAR BIN BELIT

Wak dah tak tahu apa nak jadi kat pembangkang di Malaysia. Dari satu hal ke satu hal nak dipolitiknya. Wak tak kisah jika perkara yang nak dipolitikkanya itu ada kaitan dengan rakyat secara langsung atau sesuatu yang benar. Tapi apa yang Wak lihat, terdapat ahli parlimen pembangkang dalam usaha untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan telah menabur pembohongan demi pembohongan. Terbaru melibatkan Teresa Kok.

Apa yang Wak nak bangkitkan ialah dalam sidang akhbar terbaru Teresa Kok menafikan bahawa beliau menyifatkan makanan yang diberikan kepadanya ketika ditahan ISA seperti makanan anjing. Wak hairan macam mana pula dah bertukar statement pula. Wak memang mengikuti dari hari pertama sidang akhbar yang dibuat oleh Teresa dan pada malam semalam TV3 sekali lagi ulang tayang kenyataan Teresa Kok. Sekali lagi Wak dengar Teresa berkata “ I can tell the food is worst. Maybe similar to dog food”. Wak nie bahasa Inggeris tak ler pandai sangat. Tapi setakat ayat di atas tu Wak masih boleh faham. Tapi dalam kenyataan terbaru Teresa Kok, beliau berkata ayat yang dilafazkan berbunyi “makanan tidak sedap, slightly better than dog food .” Dua ayat di atas mempunyai dua makna dan maksud yang jauh berbeza. Tapi pendengaran Wak belum pekak. Ayat yang dilafazkan oleh beliau adalah yang pertama.

Wak bukan anti-pembangkang. Tapi Wak amat benci sikap kepura-puraan mereka. Bukan setakat pembangkang. Kalau kerajaan buat benda yang sama pun Wak tentang juga. Tapi Wak lihat pembangkang sudah lari dari tugas asalnya. Tugas pembangkang yang dipilih oleh rakyat bukan untuk mencipta pembohongan. Cerita pembohongan 16 September belum reda lagi, satu lagi pembohongan dicipta oleh Teresa. Wak dah kata dulu, rakyat kalau sekali sekala dibohongi mungkin tak berapa terasa. Tapi bila acap kali dibohongi, mereka akan merasakan undi yang diberikan oleh mereka semasa pilihan raya lalu tak dihargai. Rakyat akan merasa muak dan bosan dengan permainan pembangkang.

Wak sendiri pun dah tawar hati dengan pembangkang. Wak tak nafikan yang Wak memang pernah undi pembangkang. Tapi Wak tak nampak keikhlasan dan kejujuran mereka dalam memperjuangkan isu rakyat. Undi yang Wak bagi digunakan hanya untuk menambahkan lagi keributan politik. Apa yang Wak nak ialah apabila Wak bagi undi kepada mereka, kerajaan akan lebih berhati-hati dan cekap dalam menjalankan amanah rakyat kerana fungsi pembangkang selaku watchdog dan check and balance. Wak juga mahu mereka berganding bahu dengan kerajaan untuk sama-sama membangunkan negara dengan memberi idea yang berkesan, sama-sama memikirkan bagaimana nak bantu rakyat miskin, bagaimana nak membasmi pengangguran, bagaimana nak mengeratkan perpaduan kaum dan lain-lain yang membina.

Tapi wak tak suruh mereka berbohong. Wak tak suruh mereka mengadakan demonstrasi jalanan. Wak tak suruh mereka memperburuk negara sendiri di luar negara. Wak juga tak suruh mereka merancang untuk mencuri Ahli Parlimen parti lain untuk menubuhkan kerajaan baru. Ini sudah tentu akan menimbulkan keributan politik yang akhirnya akan menjadikan politik negara tidak stabil. Dan kesannya sudah pasti akan dirasai oleh rakyat jelata. Wak sebagai rakyat mahukan kemakmuran dan kesejahteraan bukan keadaan ketidaktentuan dalam negara. Lihatlah apa yang berlaku kepada negara Pakistan apabila keadaan politik berkecamuk. Yang ramai mati dan mengalami kesengsaraan ialah rakyat. Fikir-fikirkan lah.

No comments: