Thursday, September 25, 2008

POPULARITI PKR MENENGELAMI KEKUATAN PAS

Wak lihat sesuatu yang agak aneh berlaku dalam politik pembangkang kebelakangan ini. Umum mengetahui bahawa jika tidak kerana PAS, parti Keadilan tidak akan ke mana. Kemenangan Keadilan sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh ahli dan penyokong PAS. Ini terbukti semasa pilihan raya Permatang Pauh baru-baru ini. Wak lihat pemimpin utama, Pemuda dan Muslimah PAS bertungkus lumus berkempen siang malam untuk memastikan kemenangan Anwar. Begitu juga semasa pilihan raya umum Mac 2008. PAS sangat komited menyokong calon parti Keadilan.

Kalau diukur dari keahlian dan sokongan, jumlah penyokong ahli PAS terlalu besar berbanding dengan ahli keadilan. Lihat lah ranting PAS di seluruh Malaysia. Di mana-mana kampung, pasti ada ranting PAS. Tetapi cawangan Keadilan tidak ada disemua kampung. Dalam lain perkataan parti Keadilan menang besar baru-baru ini adalah kerana sumbangan sokongan yang besar dari PAS. Tanpa PAS, Keadilan awal-awal lagi sudah bungkus.

Tetapi Wak agak sedih kerana PKR yang dilanda sindrom mabuk kuasa tidak mahu menerima hakikat bahawa PAS adalah faktor utama kemenangan besar pembangkang. Wak dapat feedbacks dari sahabat Wak seorang penyokong fanatik PAS bahawa sepatutnya jawatan Perdana Menteri dimiliki oleh PAS jika gabungan pembangkang memerintah Malaysia. Walaupun jumlah kerusi parti Keadilan lebih banyak, namun ini tidak bererti Keadilan mempunyai kekuatan grassroot. Kekuatan grassroot sebenarnya datang dari penyokong PAS. Jika ahli-ahli PAS tidak memberi sokongan kepada Keadilan, jangankan nak dapat 31 kerusi, 10 kerusi pun belum tentu boleh menang. Keadilan kena mengakui hakikat bahawa faktor utama kemenangan mereka kerana faktor PAS.

Penyokong PAS membangkitkan perkara ini kerana beliau melihat parti Keadilan sekarang ini merasakan dirinya terlalu popular sehingga lupa siapakah yang menjadikan mereka popular dan mendapat kuasa. Populariti PKR nampaknya sudah menenggelamkan kekuatan PAS. PAS pula nampak seakan-akan tidak mempunyai kuasa dan terpaksa tunduk kepada PKR dalam membuat sesuatu keputusan dalam Pakatan Rakyat. Misalnya, PAS terpaksa berkorban dengan tidak banyak membangkitkan isu negara Islam dalam pilihan raya umum 2008 semata-mata nak jaga ahli-ahli dalam Pakatan Rakyat, walhal itulah prinsip dan perjuangan utama PAS.

Penyokong PAS ini juga sudah sangsi jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri, adakah beliau mampu merealisasikan kewujudan sebuah kerajaan Islam di Malaysia. Anwar dilihat lebih cenderung berkiblatkan kepada Barat kerana tindak tanduknya dilihat sentiasa mendapat sokongan Barat. Manakala DAP dilihat amat tidak selesa dengan prinsip yang diperjuangkan oleh PAS yakni mewujudkan sebuah negara Islam. Jadi adakah Anwar nak ambil hati DAP atau PAS? Agak mustahil Anwar nak bagi Keadilan atas prinsip yang jauh berbeza di antara PAS dan DAP. Lagipun Karpal Singh pernah mengeluarkan ayat langkah mayat saya dulu sebelum menubuhkan negara islam. Jadi adakah PAS yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat mampu merealisasikan perjuangan mereka?

Beliau mengakhiri luahan hatinya dengan nada kecewa dan berkata “ jika begini keadaannya, biarlah kerajaan yang ada sekarang ini terus memerintah”.

No comments: