Thursday, October 9, 2008

PAS MAKIN RETAK

Di sebalik keghairahan dan kegilaan Pakatan Rakyat untuk ‘menakluki’ kerajaan Malaysia yang ternyata tidak menjadi kenyataan pada 16 September, kini mereka menghadapi pula masalah dalaman yang Wak anggap agak serius dan boleh memberi kesan kepada pakatan tersebut. PAS yang menjadi tunjang kekuatan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat kini sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang melibatkan pemimpin besar mereka.

Walaupun mereka cuba untuk menyembunyikan masalah yang dihadapi, tetapi ‘durian yang disimpan di dalam bonet kereta boleh dihidu baunya’ (peribahasa moden). Misalnya Azizi Abdullah, yang juga sasterawan terkenal telah mengkritik Nik Abdul Aziz secara terbuka dengan menyifatkan Nik Aziz "lebih tebal fanatiknya" terhadap penasihat PKR itu berbanding semangat mempertahankan dasar parti sendiri. Kenyataan ini dibuat ekoran kritikan Nik Aziz keras terhadap Mustapa Ali, Pesuruhjaya PAS Negri Terengganu ekoran kenyataan Mustapa Ali bahawa 16 September tak akan menjadi kenyataan Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihan raya parti itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Bila Nik Aziz ‘menghina’ dan ‘mengaibkan’ Pesuruhjaya PAS Terengganu secara terbuka dan terlalu keras, apa pula perasaan penyokong Cikgu Pa dan PAS Terengganu? Dan pelbagai soalan telah dikemukakan termasuk mengapa Nik Aziz terlalu fanatik kepada Anwar berbanding komitmen kepada perjuangan parti dalam merealisasikan penubuhan Negara Islam? Adakah Anwar memberi komitmen untuk merealisasikan penubuhan Negara Islam kerana setakat ini Anwar tidak pernah membuat kenyataan secara terbuka sokongan penubuhan sebuah Negara yang mempunyai perlembagaan Islam. Dan mengapa pula ada pihak dalam PAS yang mempertikaikan syarat "majoriti Melayu-Muslim" (3M) yang dikenakan oleh Pas kepada Pakatan Rakyat untuk mereka terus kekal di dalam Pakatan sekiranya Pakatan kepingin untuk menghampiri Putrajaya sebagai kerajaan baru Malaysia seperti mana yang diluahkan oleh Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor yang disiarkan dalam blognya.

Nampaknya PAS yang selama ini asyik mengkritik orang lain sudah mulai dikritik oleh ahli-ahli sendiri. Wak dah cakap bahawa pemimpin-pemimpin PAS jangan sesekali memperbodohkan ahli-ahlinya sendiri. Penyokong-penyokong PAS menyokong PAS kerana prinsip asas kepada perjuangan parti tersebut ialah ke arah pemerintahan Islam di Malaysia. Tetapi jika pemimpin yang memimpin PAS cuba memesongkan matlamat ini, mereka akan bangun memberontak dan akan melawan habis-habisan pemimpin tersebut.

Jadi bila Wak lihat Nik Aziz sudah terlalu memberi sokongan membuta tuli kepada Anwar yang ternyata hanya ingin mengambil kesempatan di atas kekuatan pengaruh PAS untuk menjayakan agenda peribadinya tanpa memberi komitmen untuk penubuhan Negara Islam, maka orang seperti Mustapa Ali bangun bersuara. Sebenarnya suara Mustafa adalah suara majoriti ahli PAS peringkat bawahan yang mahukan PAS kembali kepada prinsip sebenar perjuangan PAS, bukan bersekongkol dengan oportunis seperti Anwar yang tidak menyumbang kepada penubuhan Negara Islam. Mustapa Ali tidak akan berani bersuara jika ini bukan datangnya dari grassroot . Ini Nik Aziz tak faham. Bila ini berlaku ahli-ahli bawahan PAS merasa kecewa.

Sudah ada kedengara cakap-cakap bahawa Nik Aziz lebih sayangkan Anwar dari sayangkan PAS. Kalaulah ini benar, maka Wak dapat rasakan bahawa PAS kini sedang berhadapan dengan masalah yang besar dan berakhir dengan kehancuran jika tidak ditangani dengan berhati-hati. Kepada Nik Aziz, Wak nak nasihatkan supaya dengarlah suara ahli-ahli bawahan. Merekalah yang meletakkan PAS berada pada kedudukan sekarang. Jangan biarkan bengkak menjadi nanah. Dalam hal ini, Wak puji Abdullah Badawi yang ternyata berpijak dibumi nyata dan mendengar apa yang disuarakan di peringkat bawahan.

2 comments:

abdrahim kassim said...

Wak Sapu,

Nak Aziz bukan sayangkan Anwar tetapi dia sayangkan Islam.

Kenapa PAS perlu berunding dengan UMNO sedangkan PAS ada perjanjian dengan Pakatan Rakyat. Bukankah itu "khianat" namanya.

Kalau dalam peperangan golongan yang sedemikian kena perang habis-habisan.

Sebab itulah Nik Aziz serang Mustapha Ali secara terbuka. Dia mahu semua orang tahu bahawa tindakan yang dibuat oleh Mustapha Ali itu tidak betul dari segi Islam.

PAS boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja tidak kira UMNO, PKR, DAP, MCA atau MIC dan tidak bercangah dengan Islam tetapi mengkhianati perjanjian adalah satu kesalahan besar dalam Islam.

Dengan berbuat demikian ianya bukan sahaja memburukkan nama PAS tetapi Islam itu sendiri.

YB Raz Gothic said...

Hidup UMNO