Friday, October 17, 2008

DAULAT TUANKU

Wak berharap keseluruhan rakyat Malaysia menghormati dan mendaulatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai mana yang kita sama-sama mengetahui bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai peranan besar seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan Negara untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan semua kaum di Malaysia.

Wak percaya Raja-raja Melayu membangkitkan perkara ini semasa mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu ekoran perkembangan kebelakangan ini yang menyaksikan terdapat pihak-pihak tertentu berkecenderungan mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila isu-isu yang telah dipersetujui bersama semasa kita hendak mencapai kemerdekaan dahulu sudah tidak dihormati malah ada yang berani mencabar kontrak sosial tersebut, ini telah menimbulkan satu suasana yang boleh menimbulkan ketidakstabilan di dalam Negara dan perasaan tidak puas hati antara kaum. Jika perkara ini berterusan, Wak bimbang peristiwa seperti peristiwa 13 Mei akan berulang.

Wak percaya sebahagian besar generasi muda sudah tidak tahu akan sejarah pembentukan negara dan perkembangan sosiopolitik semasa proses pencapaian kemerdekaan negara serta mengapa peruntukan-peruntukan seperti hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, Agama Islam sebagai agama rasmi negara, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan lain-lain termaktub dalam perlembagaan negara. Ini semua adalah berprinsipkan kesaksamaan dan keadilan kepada semua rakyat. Keadilan bukan setakat kepada orang Melayu dan bumiputera tetapi kepada semua kaum seperti mana lain-lain kaum yang mendapat kewarganegaraan, yakni satu pengorbanan besar orang Melayu. Jadi mengapa perlu diungkit lagi???

Wak nak cadang kepada kumpulan yang sengaja membangkitkan perkara ini supaya bermuhasabah diri dan melihat senario secara lebih luas. Apakah mereka tidak bersyukur dengan apa yang mereka dapat sekarang ini? Kalau ditanya kepada semua kaum, semua tidak akan berpuas hati apa yang mereka dapat. Biasalah...kalau kita dapat satu kolam emas, kita mahukan satu lagi. Jika kita ada dua kolam emas, kita mahukan dua lagi. There is no ending.

Jadi, perkara yang sebaik yang boleh kita lakukan ialah berunding dan bertolak ansur. Utamakan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negara. Jika kita terus menerus bersikap sebegini, kita juga akan kerugian kerana jika negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum, ini boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara. Fikir-fikirkanlah wahai warga negara Malaysia. Marilah kita sama-sama menghayati nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Sultan dan Raja-raja Melayu.

AMPUN TUANKU
DAULAT TUANKU

No comments: