Thursday, April 23, 2009

DI ANTARA PENYOKONG PAS TEGAR DAN LEMBUT

Wak telah berkesempatan berbual dengan beberapa pemimpin, ahli serta penyokong PAS baru-baru ini. Pemimpin yang Wak maksudkan bukalah pemimpin tertinggi PAS. Wak nie siapa nak berbual dengan mereka. Jadi dapat berbual dengan pemimpin bawahan peringkat cawangan jadilah.

Melalui siri perbualan singkat, Wak dapat kesan bahawa dalam PAS, ada daripada mereka yang cukup tegar sifat dan sikapnya dan ada yang agak lembut dan mahukan sesuatu tindakan dilakukan untuk menyelamatkan bangsa Melayu.

Bagi pihak yang agak taksub dan keras, mereka berpegang kepada prinsip UMNO perlu dimatikan dan dikebumikan secepat mungkin. Bagi mereka UMNO terlalu banyak melakukan dosa sehingga tidak ada ruang langsung untuk mereka memaafkan UMNO. Mereka tidak mahu langsung bekerjasama dengan UMNO walaupun menerima hakikat bahawa majoriti ahli UMNO adalah Islam dan Melayu. Bagi Wak kumpulan ini rebus tak hempuk. Mereka sudah tidak mahu berkompromi dengan UMNO walaupun untuk tujuan menyelamatkan bangsa Melayu. Mereka hanya mahu berkompromi jika ahli UMNO meninggalkan UMNO dan masuk PAS. Mereka mengajak orang UMNO menyertai PAS dan membina kekuatan Melayu dan Islam dalam PAS. Ini bermakna PAS pegang kuasa dan bekas ahli UMNO ikut mereka.

Manakala bagi mereka yang berpendirian agak lembut, golongan ini sebenarnya masih berfikiran rasional berdasarkan suasana politik semasa yang berlaku di Malaysia. Mereka berpendapat apa pun pendapat yang diluahkan, jika orang Melayu lemah bermakna Islam juga akan lemah. Jika Melayu berpecah, kekuatan Islam semakin mengecil akhirnya akan memberi kesan terhadap orang Melayu Islam. Kumpulan ini mahukan PAS dan UMNO bersatu untuk menjamin survival orang Melayu dan Islam. Walaupun ideologi berbeza, namun bila sesuatu yang melibatkan kepentingan bersama, maka PAS dan UMNO perlu bersatu. Lihatlah orang Cina, bila sesuatu perkara yang berkaitan pendidikan misalnya, mereka akan bersatu melangkaui batas ideologi politik. Tetapi tidak bagi orang Melayu. Orang Melayu, bila berpolitik, api dendam nya 100 tahun belum tahu akan terpadam. Kumpulan ini amat-amat mengharapkan supaya pemimpin tertinggi kedua-dua parti Melayu terbesar di Malaysia dapat bertolak ansur demi generasi Islam akan datang.

Wak terusik dengan pendapat dua kumpulan ini. Dalam PAS ada yang mahu berkompromi dan ada yang berkerat rotan berpatah arang. Bagi yang keras dan tidak mahu berkompromi, agak sukar nak membuka hati yang sebati dan menebal ideologi ciptaan pemimpin tertentu dalam PAS. Pada Wak, hati mereka telah lama mati untuk melihat pertautan semula dengan membuat pelbagai andaian dan prasangka. Sukar sungguh nak membuka simpul yang diikat kuat dalam minda.

Pada Wak, walau apa pun yang terjadi antara PAS dan UMNO, satu hakikat yang perlu kita lihat dan renung ialah sampai bilakah episod ini akan berakhir. Kita mesti ada noktah. Ingatlah apa akan terjadi dalam masa 50 tahun lagi? Apakah kita nak mewariskan kemusnahan kepada generasi kita?. Apakah kita mahu melihat perpecahan orang Melayu Islam ini berkekalan hingga akhir zaman? Janganlah kita terlalu degil. Ingatlah masa depan anak dan cucu kita. Hadiah lah kepada mereka sebuah negara yang aman, umat Islam yang bersatu padu, ekonomi negara yang kukuh dan kehidupan yang sejahtera. Janganlah biarkan generasi kita mengemis di bumi sendiri. Belajarlah dari sejarah. Bukankah Islam dulu sangat kuat sehingga dapat menakluki dunia. Tapi kerana perpecahan dan tamak haloba kuasa, kita telah semakin terpinggir.

3 comments:

Razif Sekretariat said...

Assalamualaikum wbth.

Selamat bertemu kembali wak, saya dah baca tulisan wak kali ini dan ianya amat menarik. Tahniah.

Sebagai waksapu, Ikhlaskan hati wak cakap terus terang ikut firasat wak saya termasuk golongan yang mana?.

saudaramu dlm Islam

Razif Sekretariat said...

Salam,

bila free kita sembang dalam blog saya 'parlimen kotaraja'

WAK SAPU said...

Terima kasih Razif. Wak rasa... Razif masuk dalam golongan no 2. Pasal dari tulisan Razif...Razif pun mahukan penyatuan umat Islam secara menyeluruh. Itu juga yang saya mahu. Kita dah tak ada masa lagi nak bergaduh sesama sendiri. Kita kena fikir yang lebih besar...bagaimana nak bangunkan Islam dan nak pastikan Islam terus berkembang. Jom kita tubuh parti baru... kita ajak orang PAS dan UMNO bersatu dibawah parti tu. Presidennya ialah Razif. Saya jadi ahli biasa sudahlah.