Tuesday, March 3, 2009

KEMARUK KUASA – BERSIDANG DI BAWAH POKOK

Wak dah tak tahu apa dah jadi kepada politik Malaysia. Adakah ahli-ahli politik di Malaysia masih waras atau dah semi-gila. Wak terpaksa berkata dengan perkataan yang agak pedih dan kasar kerana Wak dah tak tahan tengok gelagat mereka yang dah jadi macam budak-budak main pondok-pondok. Masa main pondok-pondok, semua orang nak jadi raja. Bila dah berebut nak jadi raja, maka berkelahi dan berlaku cubit mencubit dan akhirnya salah seorang akan menangis dan balik rumah.

Kisah budak-budak main pondok-pondok dah menular kepada ahli politik pula. Sekarang mereka main pokok-pokok pula. Tak boleh bersidang dalam DUN, mereka bersidang di bawah pokok pula. Maka kedengaranlah ayat sebegini “Maka, dibawah pokok yang mulia ini, kami menyatakan undi percaya kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin - diluluskan dengan sebulat suara. Disaksikan oleh pokok Ketapang dan pokok Mengkudi, maka Usul kedua - membubarkan DUN - diluluskan dengan sebulat suara” Semua pokok-pokok mengangguk dahan dan berkata yes…yes…yes…

Hai…apa dah nak jadi wahai Malaysiaku. Tak malu kah kita kepada dunia luar? Tak malukah kita kepada pemerhati-pemerhati asing? Tak malukah kita kepada rakyat kita sendiri? Tidak adakah lagi maruah dan tatasusila kita sebagai bangsa Malaysia? Dewan Perundangan kita hanya bertaraf di bawah pokok? Hari ini undang-undang boleh diluluskan di bawah pokok. Esok di bawah jambatan. Lusa di kedai kopi. Dan akhirnya undang-undang boleh dibuat di kedai pajak gadai dan pasar minggu. Begitulah murahnya maruah, kredibiliti dan mentaliti ahli-ahli politik Malaysia.

Kepada rakyat Malaysia, Wak minta supaya dapat berfikir secara waras. Apakah kepada mereka kita nak serah kuasa untuk mentadbir Negara? Apakah kepada mereka kita nak suruh buat dasar-dasar penting Negara? Jika setakat menghadapi cabaran sebegini pun dah nampak sangat kebodohan, apakah kita nak mengharap sesuatu yang istimewa dalam pemerintahan mereka? Kalau persidangan dibuat di bawah pokok, maka hasilnya juga adalah ibarat daun-daun kering yang jatuh melayang-layang dan akhirnya menjadi sampah dan dipijak-pijak oleh rakyat.

Pada Wak, mereka langsung tidak mempunyai kredibiliti. Dan amat memalukan.

No comments: