Thursday, May 28, 2009

JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN JIKA ULAMA TIDAK DIHORMATI

Saban hari Wak membaca sama ada di blog-blog dan akhbar pembangkang yang menyiarkan cercaan mereka kepada ulama yang bernama Dato' Seri Dr Harussani Zakaria, yakni Mufti Negeri Perak. Wak sedih kerana puak-puak yang kononnya memperjuangkan agama Allah s.w.t. membuat tuduhan yang melampau dan jauh dari kebenaran terhadap seorang ulama yang disegani. Wak berpendapat puak-puak tersebut sudah semakin hilang pertimbangan dan membuat tuduhan yang menyamai fitnah.

Wak amat mengenali hati budi Tuan Guru Harussani. Beliau adalah seorang yang warak, lurus dan amat tenang peribadinya. Beliau tak kisah jika orang membencinya asalkan beliau membuat sesuatu yang benar dan mengikut hukum syarak. Wak masih ingat kritikannya terhadap UMNO yang agak keras satu ketika dahulu berhubung dengan beberapa isu. Pada masa itu, penyokong-penyokong PAS begitu memuji dan mengangkat Tok Guru Harussani begitu tinggi. Tapi bila perkara yang sama dibuat terhadap parti pembangkang berhubung dengan beberapa isu, maka beribu cacian dan makian dihamburkan kepada beliau.

Lebih menyedihkan ialah kata kesat dan fitnah seperti ‘anjing’, menuduh beliau menerima RM50 juta kerana membuat kenyataan menyebelahi pihak tertentu dilemparkan kepada beliau. Pada Wak, tindakan mencerca dan memaki seorang ulama tersohor ini adalah tindakan yang tidak beradab dan menyalahi akhlak seorang muslim.

Wak berpendapat adalah tidak betul jika puak-puak pembangkang ini melihat sesuatu isu dari kaca mata politik. Lihatlah dari kaca mata kebenaran dan hakikat sebenar dalam konteks agama. Wak bimbang, jika perkara ini dilihat dalam sudut politik, maka pertimbangan akhlak dan nilai-nilai yang telah diajar dalam Islam akan tersingkir. Para pembangkang melihat diri mereka terlalu ‘kudus’, sehinggakan segala pandangan dan pegangan yang tidak selari dengan pandangan dan pegangan mereka dianggap sebagai salah dan tidak benar. Dalam Islam, perbezaan pendapat itu diiktiraf dan ada adab-adab yang harus dipatuhi dalam berbeza pendapat, tetapi bukannya dengan penyebaran fitnah dan pembohongan semata-mata nak puaskan hati.

Kedudukan golongan ulama dalam Islam adalah tinggi dan mulia kerana disebut tentang kemuliaan mereka – yakni orang yang berilmu – dalam beberapa tempat di dalam kitab suci Al-Qur’an, malah dalam hadith Rasulullah s.a.w. mereka digelar sebagai “pewaris para nabi”. Justeru, bagi orang Islam yang berakhlak dengan akhlak seorang muslim yang sejati, sewajarnya mereka akan memuliakan dan menghormati para ulama. Itulah adab yang seharusnya ada pada diri orang Islam.

Apa yang Wak lihat ialah keadaan pemikiran dan kewarasan Pakatan Pembangkang terutama PAS semakin tidak karuan. Bahkan cakap-cakap mereka sudah memperlihatkan sikap ketidakwarasan walaupun yang bertaraf ulama dan profesional.Wak berharap kepada semua pemimpin dan penyokong PAS, berhentilah mencerca ulama. Jika PAS sendiri dah tak mampu menghormati ulama, siapa lagi yang akan berbuat demikian. Tunjukkanlah kepimpinan melalui teladan. Jangan salahkan orang lain jika ulama sudah tidak dihormati oleh masyarakat pada suatu hari nanti.

1 comment:

anonymous said...

Memang begitu lah bila sudah gila kuasa.

Lupa daratan lupa Allah.

Tunggu balasan Nya kelak.