Tuesday, May 26, 2009

CHIN PENG - APA AGENDA GERAKAN?

Wak melihat ada sesuatu yang tak kena dengan salah satu komponen Barisan Nasional yakni GERAKAN. Baru-baru ini Datuk Dr Teng Hock Nan (Pengerusi Gerakan Pulau Pinang) menyarankan kepada kerajaan Malaysia agar membenarkan Chin Peng bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) balik ke Malaysia. Wak tak tahu apa niat sebenar Dr. Teng membuat kenyataan tersebut. Tapi yang pastinya, kenyataan beliau ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang hati sebahagian besar rakyat Malaysia terutama kepada anggota keluarga bekas perajurit yang terkorban angkara keganasan komunis.
Wak melihat Parti Gerakan sedang mengalami sindrom ‘kecamukan mental dan identiti’ dan permainan politik murahan demi mendapat sokongan dari masyarakat Cina. Wak tak tahu mengapa begitu cetek pemikiran seorang pemimpin yang mempunyai pendidikan tinggi. Dr. Teng nampaknya langsung tidak sensitif akan perasaan majoriti rakyat Malaysia. Mungkin Dr. Teng juga seorang yang buta sejarah. Beliau mungkin sudah lupa akan sejarah hitam yang ditinggalkan oleh Parti Komunis Malaya sehingga negara menjadi huru-hara dan ribuan rakyat telah terkorban angkara perbuatan komunis.

Jika alasan Dr Teng meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan, apakah Chin Peng pada satu masa dulu mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi? Apakah jasa besar Chin Peng selain melakukan kekejaman dan pembunuhan demi pembunuhan yang mengakibatkan ramai isteri yang menjadi balu, anak kecil menjadi yatim, manakala ibu kehilangan anak kerana perbuatan kejam dilakukan oleh komunis pimpinan Chin Peng.

Apakah Dr. Teng mahu seluruh rakyat Malaysia memaafkan Chin Peng? Mudah sungguh. Dr.Teng mungkin tidak memahami perasaan orang yang terlibat secara langsung dengan kekejaman komunis. Cuba Dr. Teng bayangkan jika ibu atau sedara maranya disiat-siat, diseksa, dibakar, di penggal kepala, terkena jerangkap samar hingga putus anggota badan, adakah semudah itu kita nak lupakan? Apakah itu kemanusiaan namanya?

Wak nak ingatkan Dr. Teng supaya jangan bermain dengan api. Jangan keruhkan lagi suasana negara yang kebelakangan ini terlalu banyak dilanda dengan pelbagai isu. Cukuplah. Jangan cetuskan provokasi.

No comments: