Tuesday, October 7, 2008

PM PAKATAN RAKYAT – TAK SEMESTINYA ANWAR

Pada pagi ini, Wak masuk Harakah Online untuk melihat apa cerita menarik untuk santapan pagi. Wak tertarik dengan berita utama yang bertajuk 16 September : Strategi Anwar tersasar?

Bila Wak baca dari ayat pertama hingga ayat terakhir, Wak dah dapat rasakan satu mesej penting yang hendak disampaikan oleh akhbar rasmi PAS itu. Walaupun cara olahan penulisan dibuat begitu rapi dan berhati-hati, tapi bagi mereka yang arif akan dapat mengesan inti pati serta mesej secara halus ialah mempersoalkan adakah Anwar semestinya jadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. Di sini Wak petik beberapa perenggan artikel tajuk tersebut bagi menguatkan hujah yang Wak maksudkan dalam penulisan tersebut.

NAMUN MENILAI SEMULA TITIK BENGIT '16 SEPTEMBER'YANG KINI MENANTI '16 OKTOBER' ADA YANG MELIHAT SEKIRANYA PAKATAN RAKYAT MENERAJUI MALAYSIA INI, PERSOALANNYA SAMADA DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI) SEORANG YANG LAYAK MENJADI PERDANA MENTERI ATAU SEBALIKNYA?

ADA YANG SINIS MENYATAKAN ADAKAH USAHA MEMBENTUK KERAJAAN ITU SEOLAH-OLAH HANYA MAMPU DILAKUKAN ANWAR BERSEORANGAN TANPA SOKONGAN TIGA PEMIMPIN PARTI DALAM PAKATAN RAKYAT.

TIDAK SALAH SEKIRANYA DALAM MEWAR-WARKAN ANGIN PERUBAHAN INI, ANWAR SEPATUTNYA SUDAH MENANAMKAN KEYAKINAN KEPADA RAKYAT, PENYOKONG DAN AHLI PAKATAN RAKYAT BAHAWA SEKIRANYA APA-APA BERLAKU PADA DIRINYA PAKATAN RAKYAT MEMPUNYAI RAMAI PEMIMPIN UNTUK MENERUSKAN AGENDA PERUBAHAN

MALAH PAKATAN RAKYAT MEMPUNYAI RAMAI PEMIMPIN YANG BERKALIBER, PROFESSIONAL DAN BERPENGALAMAN UNTUK DILANTIK MENJADI PERDANA MENTERI BAIK DARI KEADILAN, PAS, DAP ATAU MUNGKIN DARI MEREKA YANG AKAN MELOMPAT PARTI.

Wak dapat baca rentak sesetengah pemimpin dan penyokong PAS yang tidak berapa bersetuju untuk menobatkan Anwar sebagai PM sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. Mereka tahu jika Anwar jadi PM, hasrat mereka untuk merealisasikan penubuhan negara Islam tidak akan berjaya kerana Anwar tidak akan berbuat demikian. PAS pun sedar bahawa parti Keadilan hanya menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan untuk mereka mendapat kuasa. Di Selangor contohnya, PAS dan Keadilan serta DAP sudah nampak tidak selari dalam beberapa dasar dan nampaknya PAS terpaksa tunduk kepada Keadilan dan DAP. Dalam banyak hal, PAS hanya jadi Pak Turut sahaja. Begitu juga yang berlaku di Perak yang sebahagian besar penganalisis politik melihat Menteri Besar hanya sebagai boneka sahaja.

Pada Wak, impian Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia hanyalah angan-angan Labu Labi sahaja. Walaupun jika ditakdirkan mereka akan memerintah Malaysia suatu hari nanti, Wak boleh jangkakan pemerintahan mereka tidak akan bertahan lama. Ini kerana dalam politik, ideologi adalah nombor satu. Jika ideologi sesuatu parti tidak dapat dipertahankan, maka hancurlah sesebuah parti. PAS mendapat sokongan dari rakyat kerana ideologi negara Islamnya. DAP mendapat sokongan kerana ideologi sekularnya. Di sini air dan minyak tak akan dapat disatukan walau apa pendekatan digunakan.

Jika PAS meneruskan hasrat untuk bekerjasama dengan DAP dan menggugurkan ideologi pembentukan negara Islamnya, maka PAS akan kehilangan sokongan rakyat. Begitu juga jika DAP mahu menjalin kerjasama dengan PAS dan memberi laluan kepada PAS merealisasikan penubuhan negara Islam, maka DAP akan kehilangan sokongan dari masyarakat Cina. Walaupun Keadilan cuba jadi orang tengah, tapi tak akan berjaya kerana ideologi Keadilan tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan dan sekular sebagai pegangan. Pada Wak, jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, politik negara semakin huru-hara dan rakyat akan semakin tertekan. Ini akan memberi kesan terhadap kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Walaupun Wak tak berapa suka dengan apa yang berlaku dalam UMNO, MCA dan GERAKAN pada masa sekarang, tapi Wak masih yakin bahawa BN masih relevan untuk memerintah Malaysia berasaskan kepada kaedah permuafakatan kaum dan ideologi yang tidak ekstrem serta dapat diterima bersama. Walaupun nampak BN berada dalam keadaan kelam kabut, namun akhirnya akan tercapai juga satu persefahaman yang akan menguatkan lagi pakatan yang dibina selama lebih dari 50 tahun itu. Ini adalah ujian yang melanda dan hikmah dari ujian tersebut ialah akan memberi keyakinan dan sokongan yang lebih mantap kepada parti ini.

No comments: