Friday, June 12, 2009

KARPAL SINGH TIDAK BERPIJAK DI BUMI NYATA

Wak tak tahu sama ada Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh sudah fikir masak-masak sebelum mengeluarkan kenyataan yangi meminta Pas menilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang berikutan hasrat parti itu untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan UMNO.

Nampaknya Karpal seakan-akan sudah hilang kesabaran dengan kenyataan kerajaan perpaduan yang diutarakan oleh Hj. Hadi Awang. Karpal juga cuba memperkecilkan keupayaan dan kekuatan parti PAS dengan menyatakan bahawa “Pas sepatutnya sedar bahawa ia bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang kerana hanya mempunyai 24 kerusi di Parlimen berbanding dengan 28 kerusi yang dipegang DAP dan 31 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR)”.

Wak nak ingatkan Karpal Singh, jangan terlalu angkuh. Karpal mungkin dah lupa bahawa kemenangan Pakatan Rakyat baru-baru ini di beberapa negeri banyak disumbangkan oleh kekuatan jentera PAS. Tanpa sokongan PAS, apakah mungkin Pakatan Rakyat boleh menakluki Kedah, Kelantan, Perak dan P.Pinang dalam pilihan raya umum yang lalu?

Walaupun PAS menang 24 kerusi, namun kerusi-kerusi yang dimenangi oleh DAP dan PKR adalah atas ihsan pengundi dan penyokong PAS. Kalau tidak kerana penyokong PAS, Pakatan Rakyat tidak ke mana. PKR langsung tidak mempunyai kekuatan grassroot. Semua kemenangan PKR adalah atas pengaruh PAS. Kalau tak percaya, dalam pilihan raya umum akan datang, cubalah lawan 3 penjuru antara BN, PAS dan PKR di semua kawasan pilihan raya yang majoriti Melayu. Sudah pasti PKR akan hanyut. Apa maksudnya?

Begitu juga di kawasan yang ditandingi DAP. Terdapat kawasan yang 50-50 antara Melayu dan bukan Melayu yang mana kawasan tersebut dimenangi oleh DAP. Jika PAS tidak membantu DAP, dah lama DAP hanyut. Cuba buka balik keputusan pilihan raya sebelum kewujudan Pakatan Rakyat. Hanya Kelantan dan Terengganu sahaja yang mampu dikuasai oleh pembangkang. Tetapi setelah termeterai perjanjian yang tidak diinstitusi sehingga wujudnya Pakatan Rakyat, maka Kedah, Perak, P.Pinang dan Wilayah Persekutuan K.Lumpur dapat ditawan.

Ini bermakna pengaruh dan kekuatan PAS amat besar. Jika tidak kerana PAS, usah fikirlah DAP akan menang besar dalam pilihan raya yang lalu. Maka, apa perlunya Karpal Singh mahu memperkecil dan mengeluarkan kenyataan yang agak kasar terhadap PAS?

Pada Wak, sudah tiba masanya PAS bangun untuk mempertahankan maruah dan kredibiliti yang kebelakangan ini diperkecilkan oleh DAP dan PKR. Balik lah kepada landasan awal yang memperjuangkan ke jalan Allah s.w.t. Jangan lah terikut-ikut sangat dengan rentak politik DAP dan PKR. Apakah PAS dah tidak boleh berdikari lagi? Sampai bila PAS nak mengikut telunjuk DAP dan PKR?

Saturday, June 6, 2009

TAHNIAH HJ HADI – IDEA KERAJAAN PERPADUAN

WAK INGIN MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA TOK GURU HAJI HADI YANG TELAH BERANI SECARA TERUS TERANG MEMPERTAHANKAN IDEA ATAU GAGASAN KERAJAAN PERPADUAN YANG MENJADI TOPIK AGAK PANAS DALAM MUKTAMAR PAS.

SEPERTI PEMIMPIN-PEMIMPIN BESAR YANG LAIN, HJ HADI DILIHAT MEMPUNYAI PEMIKIRAN YANG PROFESIONAL DAN BERPIJAK DIBUMI YANG NYATA. WALAUPUN ADA BEBERAPA PERKARA YANG WAK TAK BERAPA SETUJU DENGAN HJ HADI, TAPI DALAM HAL INI WAK SOKONG 150%. WAK DAH KATA DARI AWAL-AWAL LAGI. JIKA PERKARA KEBAIKAN, WAK AKAN SOKONG. TAK KISAH SIAPA ATAU MANA PARTI POLITIK PUN.

WAK AMAT BERSETUJU DENGAN KERAJAAN PERPADUAN ANJURAN HJ HADI KERANA INI SAHAJA KAEDAH DAN CARANYA YANG MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH NEGARA DAN MASALAH PERPADUAN ORANG MELAYU DAN UMAT ISLAM DINEGARA INI. WAK MELIHAT GAGASAN INI BOLEH MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA SEMUA PIHAK.

RAKYAT SUDAH MUAK DAN BOSAN DENGAN PELBAGAI KERENAH DAN PERMAINAN POLITIK YTANG MELANDA NEGARA. DAH PENING KEPALA. DAH LETIH. ITULAH ANTARA KELUHAN RAKYAT. SEKARANG RAMAI YANG MAHUKAN SUPAYA NEGARA KEMBALI SEPERTI DULUKALA - AMAN, DAMAI DAN SEJAHTERA.

TAPI WAK TAK TAHU SAMPAI BILA IDEA KERAJAAN PERPADUAN INI DAPAT DILAKSANAKAN. HUSAM ( KRONI ANWAR) NAMPAKNYA AKAN LAWAN HABIS-HABISAN IDEA INI. MENGAPA? KERANA JIKA KERAJAAN PERPADUAN INI DIBENTUK, ANWAR TAK MUNGKIN JADI PERDANA MENTERI. NAMPAKNYA KEPENTINGAN PERIBADI MELEBIHI SEGALA-GALANYA. ORANG SEPERTI INILAH YANG HARUS KITA TOLAK.

Tuesday, June 2, 2009

Jangan Takut Gempar Anwar

Cerita bagaimana Anwar cuba mengumpan Anifah dengan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti mana yang didedahkan oleh Anifah telah mengundang saman RM100 juta. Anwar nampak sungguh marah kepada Anifah yang menurutnya mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Wak tak tahu apa perkara sebenar berlaku. Apakah Anifah atau Anwar di pihak yang betul. Tetapi pada firasat Wak, tujuan Anwar menyaman RM100 juta hanyalah semata-mata retorik politik sahaja bagi menunjukkan dirinya bersih. Beliau cuba menggambarkan dirinya bersih dan tak pernah melakukan sesuatu yang tak selari dengan undang-undang negara. Apakah Anwar seorang yang terlalu ‘kudus’ dan tak pernah melakukan sebarang kesalahan dan tak pernah berbohong?

Wak masih ingat lagi bagai mana Anwar menguar-uarkan bahawa pada 16 September, kerajaan baru akan dibentuk apabila 30 orang Ahli Parlimen BN akan melompat ke Pakatan Rakyat (mungkin termasuk Anifah). Darihal kalau ikut Ahli-ahli Parlimen dari BN, mereka masih setia dengan BN. Pada 15 September, Anwar masih tetap konfiden dan membuat kenyataan bahawa keesokannya akan ada kerajaan baru.

Semua orang percaya.

Tapi bila 16 September muncul, habuk pun tak ada. Tidak ada kerajaan baru. Tidak ada Perdana Menteri Baru. Tidak ada kabinet baru. Tidak ada apa-apa berlaku. Yang ada hanya satu penipuan dahsyat yang dilakukan oleh Brother Anwar bin Ibrahim.

Pada peringkat awal, semua percaya cakap-cakap Anwar. Tapi selepas 16 September, semua tahu Anwar seorang pembohong besar.

Oleh itu, dalam kes Anwar saman Anifah, Wak percaya Anifah sedikit pun tak rasa takut. Mungkin saman ini hanya taktik gempar Anwar sahaja. Mereka kenal satu sama lain bukan setakat sehari dua. Masing-masing mengetahui rahsia antara satu sama lain.
Cuma Anwar ini bijak sikit. Bila dia saman Anifah, maka persepsi orangramai melihat seakan-akan Anwar seorang yang berani kerana benar.
Tapi kita kena ingat, kes saman di mahkamah bukan dalam masa sehari dua ini. Mungkin dalam masa 4 atau 6 tahun lagi. Kalau kes ini berjalan cepat, pastinya Anwar akan gelabah juga rasanya. Wak nampak Anifah begitu relax dan tenang seakan-akan tidak sedikit pun takut dengan saman RM100 juta tersebut. Anifah tahu apa yang Anwar cuba buat. Dan yang pastinya, Anifah tahu di mana kelemahan Anwar.

Apa pun, sama-samalah kita tunggu.

Thursday, May 28, 2009

JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN JIKA ULAMA TIDAK DIHORMATI

Saban hari Wak membaca sama ada di blog-blog dan akhbar pembangkang yang menyiarkan cercaan mereka kepada ulama yang bernama Dato' Seri Dr Harussani Zakaria, yakni Mufti Negeri Perak. Wak sedih kerana puak-puak yang kononnya memperjuangkan agama Allah s.w.t. membuat tuduhan yang melampau dan jauh dari kebenaran terhadap seorang ulama yang disegani. Wak berpendapat puak-puak tersebut sudah semakin hilang pertimbangan dan membuat tuduhan yang menyamai fitnah.

Wak amat mengenali hati budi Tuan Guru Harussani. Beliau adalah seorang yang warak, lurus dan amat tenang peribadinya. Beliau tak kisah jika orang membencinya asalkan beliau membuat sesuatu yang benar dan mengikut hukum syarak. Wak masih ingat kritikannya terhadap UMNO yang agak keras satu ketika dahulu berhubung dengan beberapa isu. Pada masa itu, penyokong-penyokong PAS begitu memuji dan mengangkat Tok Guru Harussani begitu tinggi. Tapi bila perkara yang sama dibuat terhadap parti pembangkang berhubung dengan beberapa isu, maka beribu cacian dan makian dihamburkan kepada beliau.

Lebih menyedihkan ialah kata kesat dan fitnah seperti ‘anjing’, menuduh beliau menerima RM50 juta kerana membuat kenyataan menyebelahi pihak tertentu dilemparkan kepada beliau. Pada Wak, tindakan mencerca dan memaki seorang ulama tersohor ini adalah tindakan yang tidak beradab dan menyalahi akhlak seorang muslim.

Wak berpendapat adalah tidak betul jika puak-puak pembangkang ini melihat sesuatu isu dari kaca mata politik. Lihatlah dari kaca mata kebenaran dan hakikat sebenar dalam konteks agama. Wak bimbang, jika perkara ini dilihat dalam sudut politik, maka pertimbangan akhlak dan nilai-nilai yang telah diajar dalam Islam akan tersingkir. Para pembangkang melihat diri mereka terlalu ‘kudus’, sehinggakan segala pandangan dan pegangan yang tidak selari dengan pandangan dan pegangan mereka dianggap sebagai salah dan tidak benar. Dalam Islam, perbezaan pendapat itu diiktiraf dan ada adab-adab yang harus dipatuhi dalam berbeza pendapat, tetapi bukannya dengan penyebaran fitnah dan pembohongan semata-mata nak puaskan hati.

Kedudukan golongan ulama dalam Islam adalah tinggi dan mulia kerana disebut tentang kemuliaan mereka – yakni orang yang berilmu – dalam beberapa tempat di dalam kitab suci Al-Qur’an, malah dalam hadith Rasulullah s.a.w. mereka digelar sebagai “pewaris para nabi”. Justeru, bagi orang Islam yang berakhlak dengan akhlak seorang muslim yang sejati, sewajarnya mereka akan memuliakan dan menghormati para ulama. Itulah adab yang seharusnya ada pada diri orang Islam.

Apa yang Wak lihat ialah keadaan pemikiran dan kewarasan Pakatan Pembangkang terutama PAS semakin tidak karuan. Bahkan cakap-cakap mereka sudah memperlihatkan sikap ketidakwarasan walaupun yang bertaraf ulama dan profesional.Wak berharap kepada semua pemimpin dan penyokong PAS, berhentilah mencerca ulama. Jika PAS sendiri dah tak mampu menghormati ulama, siapa lagi yang akan berbuat demikian. Tunjukkanlah kepimpinan melalui teladan. Jangan salahkan orang lain jika ulama sudah tidak dihormati oleh masyarakat pada suatu hari nanti.

Tuesday, May 26, 2009

CHIN PENG - APA AGENDA GERAKAN?

Wak melihat ada sesuatu yang tak kena dengan salah satu komponen Barisan Nasional yakni GERAKAN. Baru-baru ini Datuk Dr Teng Hock Nan (Pengerusi Gerakan Pulau Pinang) menyarankan kepada kerajaan Malaysia agar membenarkan Chin Peng bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) balik ke Malaysia. Wak tak tahu apa niat sebenar Dr. Teng membuat kenyataan tersebut. Tapi yang pastinya, kenyataan beliau ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang hati sebahagian besar rakyat Malaysia terutama kepada anggota keluarga bekas perajurit yang terkorban angkara keganasan komunis.
Wak melihat Parti Gerakan sedang mengalami sindrom ‘kecamukan mental dan identiti’ dan permainan politik murahan demi mendapat sokongan dari masyarakat Cina. Wak tak tahu mengapa begitu cetek pemikiran seorang pemimpin yang mempunyai pendidikan tinggi. Dr. Teng nampaknya langsung tidak sensitif akan perasaan majoriti rakyat Malaysia. Mungkin Dr. Teng juga seorang yang buta sejarah. Beliau mungkin sudah lupa akan sejarah hitam yang ditinggalkan oleh Parti Komunis Malaya sehingga negara menjadi huru-hara dan ribuan rakyat telah terkorban angkara perbuatan komunis.

Jika alasan Dr Teng meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan, apakah Chin Peng pada satu masa dulu mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi? Apakah jasa besar Chin Peng selain melakukan kekejaman dan pembunuhan demi pembunuhan yang mengakibatkan ramai isteri yang menjadi balu, anak kecil menjadi yatim, manakala ibu kehilangan anak kerana perbuatan kejam dilakukan oleh komunis pimpinan Chin Peng.

Apakah Dr. Teng mahu seluruh rakyat Malaysia memaafkan Chin Peng? Mudah sungguh. Dr.Teng mungkin tidak memahami perasaan orang yang terlibat secara langsung dengan kekejaman komunis. Cuba Dr. Teng bayangkan jika ibu atau sedara maranya disiat-siat, diseksa, dibakar, di penggal kepala, terkena jerangkap samar hingga putus anggota badan, adakah semudah itu kita nak lupakan? Apakah itu kemanusiaan namanya?

Wak nak ingatkan Dr. Teng supaya jangan bermain dengan api. Jangan keruhkan lagi suasana negara yang kebelakangan ini terlalu banyak dilanda dengan pelbagai isu. Cukuplah. Jangan cetuskan provokasi.

Wednesday, May 13, 2009

PAS – JANGAN PISANG BERBUAH DUA KALI

Wak melihat betapa PAS kini berada dalam keadaan tertekan akibat dari percaturan kuasa dua kumpulan. Umumnya sudah mengetahui bahawa dua kumpulan ini adalah terdiri dari pro muqabalah dan satu lagi kumpulan Erdogan – kumpulan yang ingin mengubah wajah PAS.

Apa yang Wak nampak ialah PAS kini berada di ambang perpecahan dan tidak mustahil sesuatu yang dahsyat akan berlaku yang akan mengakhiri apa yang diperjuangkan oleh PAS selama ini. Sudah ada usaha pihak ‘profesional’ dalam PAS untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dengan mengetepikan golongan ulama yang menjadi teras kekuatan PAS selama ini.

Dulu, PAS berada dalam keadaan yang amat stabil dan mantap. Tetapi di saat PAS sudah hampir ke puncak kuasa, perkara buruk yang amat tidak diingini berlaku akibat percaturan pihak tertentu. Akibatnya, berlaku perpecahan dalam PAS. Mengapa perkara ini berlaku di saat PAS sudah hampir berkuasa?

Jawapannya…lihatlah apa yang berlaku kepada UMNO. Mengapa UMNO hancur? Siapakah yang mendalangi kehancuran UMNO? Siapakah yang bercita-cita besar untuk mendapatkan kuasa secara tidak sabar? Siapakah yang bermain politik songsang sehingga UMNO lemah dan hampir kehilangan kuasa? Tidakkah orang itu ialah Anwar bin Ibrahim.

Kumpulan ex-ABIM ini dulunya masuk UMNO bukanlah kerana tertarik kepada perjuangan atau ideologi UMNO tetapi mereka masuk UMNO kerana di situlah terletaknya lubuk kuasa. Dalam lain perkataan, UMNO hanyalah batu loncatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka tidak menyertai PAS kerana mereka tahu agak sukar mendapat kuasa melalui PAS dalam masa terdekat. Mereka tidak mempunyai kesabaran untuk menunggu lebih lama untuk mendapatkan kuasa. Maka strategi menyertai UMNO adalah langkah yang paling tepat untuk mendapatkan kuasa dengan lebih cepat dan pantas. Memang perancangan elok tetapi pengakhiran belum tentu elok. Sejarah telah menceritakan segala-galanya.

Dalam hal ini, PAS perlu pelajari dari apa yang berlaku kepada UMNO. Sekarang ini, manusia yang begitu gila kuasa sedang mempergunakan PAS untuk mencapai cita-cita politiknya selepas gagal untuk menjadi Perdana Menteri dalam parti UMNO. PAS hanya alat untuknya. PAS hanya batu loncatan untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri. PAS tidak lebih dari penghampar permaidani kepada Anwar untuk merentas ke takhta Perdana Menteri.

Itulah sebab apabila PKR ditubuhkan, tidak semua orang kuat Anwar masuk PKR. Mereka telah mengatur strategi yang begitu licik. Sebahagian masuk PKR, sebahagian masuk PAS dan sebahagian kekal dalam UMNO. Anwar masih perlukan orangnya berada dalam UMNO untuk tujuan tertentu. Begitu juga orang kuatnya seperti Kamaruddin Jaafar yang kini sangat berpengaruh dalam PAS. Nampaknya suara Anwar sudah menjadi suara keramat dalam PAS melalui Kamaruddin Jaafar.

Percayalah cakap Wak. PAS akan hancur seperti mana yang berlaku kepada UMNO. Anwar sedang merangka strategi supaya orang kuatnya akan dapat menguasai PAS. Dengan ini, PAS akan terpaksa ikut telunjuk Anwar.
Dalam kalangan PAS, memang mereka menyedari perkara ini. Tapi apakan daya. Mereka terpaksa ikut kerana pengaruh Anwar dalam PAS terlalu kuat. Golongan ulama yang menjadi teras kekuatan PAS selama ini sudah semakin lemah akibat permainan puak-puak ini.
Akhirnya…PAS akan menerima nasib yang sama dengan UMNO; perpecahan demi perpecahan.
Wak percaya beberapa pihak dalam PAS sudah pun menyedari akan perkara ini. Mereka juga sedang merancang strategi untuk menyekat kumpulan pro Erdogan. Kita sama-sama tunggu apa pengakhiran episod ini.

WAK – Ke mana sahaja Anwar pergi, pasti berlaku keributan. ‘Kuasa didahului, Negara Diketepi,’.

Friday, May 8, 2009

RAKYAT MELIHAT APA YANG AHLI YANG BERHORMAT LAKUKAN

1) Rakyat melihat gelagat kebudak-budakan Ahli-ahli Yang Berhormat.

2) Rakyat melihat Ahli-Ahli Yang Berhormat lebih mementingkan kuasa dari memperjuang kepentingan rakyat.

3) Rakyat melihat sebilangan Ahli-ahli Yang Berhormat tidak menghormati institusi Dewan dan bertindak samseng dan ganas seperti berdiri di atas meja, menjerit-jerit, membuat cemuhan, tolak menolak dan lain-lain.

4) Rakyat melihat Speaker terpaksa diusung keluar dewan. Yang biasa diusung ialah orang mati, diusung ke kubur.
5) Rakyat melihat sesuatu yang melucu dan meloyakan berlaku dalam sejarah politik Perak.

6) Rakyat melihat segelintir Ahli-ahli yang Berhormat sudah tidak menghormati Raja. Raja Dr. Nazrin terpaksa menunggu selama enam jam untuk merasmikan persidangan.

7) Rakyat melihat akan betapa dahsyatnya tahap hawa nafsu politik Ahli-ahli Yang Berhormat.

8) Rakyat melihat apa yang berlaku di DUN Perak hampir sama seperti berlaku di parlimen Taiwan.

9) Rakyat melihat sebahagian Ahli-ahli DUN Perak sudah hilang pertimbangan akal.

10) Rakyat melihat aksi sarkas di DUN Perak.

11) Rakyat melihat Ahli-ahli Yang Berhormat nekad ‘ apa nak jadi, jadilah’.

Wak sapu: Bahaya…bahaya….bahaya….