Thursday, September 25, 2008

CAMELEON

Setelah malu besar kerana 16 September tidak menjadi kenyataan, Anwar kini telah mula mengubah rentak. Kini, Anwar berkata pihaknya akan "terus mengejar matlamat kami dengan berhati-hati" dan "tidak terpancing untuk bertindak tergesa-gesa" yang boleh membawa keadaan tidak stabil dan tidak menentu dalam negara.

Wak terkejut beruk dengan pengakuan Anwar. Kan baik kalau cakap begitu awal-awal lagi. Barulah keadaan politik negara tak huru hara. Tapi yang hairannya, mengapa kenyataan ini dibuat selepas 16 September. Bukan sebelumnya. Pada wak ini merupakan satu lagi strategi Anwar untuk menarik semula sokongan rakyat setelah percubaan mengambil alih kuasa kerajaan pusat gagal.Ini satu perangkap halus bertujuan untuk menarik semula sokongan rakyat terhadapnya.

Anwar kini memperlihatkan dirinya seakan-akan seorang pemimpin yang tenang, sabar dan baik. Itulah kebijaksanaan Anwar. Wataknya boleh berubah pada setiap masa. Kalau situasi sebegini, maka wataknya adalah begini. Beliau boleh menjelma dalam apa keadaan mengikut suasana semasa. Dan lakonannya begitu hidup sekali sehingga orang ramai mempercayainya.

Begitulah rentak dan permainan Penasihat Umum PKR. Wak dah tahu lama dah perkara ini. Sebab itu Wak tak pernah tertipu dengan lakonan Anwar. Sejak Wak lihat dua watak Anwar yakni satu watak dia sedang berkhutbah di Masjid dan satu watak lagi dia sedang menari dengan perempuan bukan muhrim, Wak dah dapat teka siapa itu Anwar. Satu saja kesimpulan yang Wak boleh buat. Jangan percaya pemimpin jenis ini.

POPULARITI PKR MENENGELAMI KEKUATAN PAS

Wak lihat sesuatu yang agak aneh berlaku dalam politik pembangkang kebelakangan ini. Umum mengetahui bahawa jika tidak kerana PAS, parti Keadilan tidak akan ke mana. Kemenangan Keadilan sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh ahli dan penyokong PAS. Ini terbukti semasa pilihan raya Permatang Pauh baru-baru ini. Wak lihat pemimpin utama, Pemuda dan Muslimah PAS bertungkus lumus berkempen siang malam untuk memastikan kemenangan Anwar. Begitu juga semasa pilihan raya umum Mac 2008. PAS sangat komited menyokong calon parti Keadilan.

Kalau diukur dari keahlian dan sokongan, jumlah penyokong ahli PAS terlalu besar berbanding dengan ahli keadilan. Lihat lah ranting PAS di seluruh Malaysia. Di mana-mana kampung, pasti ada ranting PAS. Tetapi cawangan Keadilan tidak ada disemua kampung. Dalam lain perkataan parti Keadilan menang besar baru-baru ini adalah kerana sumbangan sokongan yang besar dari PAS. Tanpa PAS, Keadilan awal-awal lagi sudah bungkus.

Tetapi Wak agak sedih kerana PKR yang dilanda sindrom mabuk kuasa tidak mahu menerima hakikat bahawa PAS adalah faktor utama kemenangan besar pembangkang. Wak dapat feedbacks dari sahabat Wak seorang penyokong fanatik PAS bahawa sepatutnya jawatan Perdana Menteri dimiliki oleh PAS jika gabungan pembangkang memerintah Malaysia. Walaupun jumlah kerusi parti Keadilan lebih banyak, namun ini tidak bererti Keadilan mempunyai kekuatan grassroot. Kekuatan grassroot sebenarnya datang dari penyokong PAS. Jika ahli-ahli PAS tidak memberi sokongan kepada Keadilan, jangankan nak dapat 31 kerusi, 10 kerusi pun belum tentu boleh menang. Keadilan kena mengakui hakikat bahawa faktor utama kemenangan mereka kerana faktor PAS.

Penyokong PAS membangkitkan perkara ini kerana beliau melihat parti Keadilan sekarang ini merasakan dirinya terlalu popular sehingga lupa siapakah yang menjadikan mereka popular dan mendapat kuasa. Populariti PKR nampaknya sudah menenggelamkan kekuatan PAS. PAS pula nampak seakan-akan tidak mempunyai kuasa dan terpaksa tunduk kepada PKR dalam membuat sesuatu keputusan dalam Pakatan Rakyat. Misalnya, PAS terpaksa berkorban dengan tidak banyak membangkitkan isu negara Islam dalam pilihan raya umum 2008 semata-mata nak jaga ahli-ahli dalam Pakatan Rakyat, walhal itulah prinsip dan perjuangan utama PAS.

Penyokong PAS ini juga sudah sangsi jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri, adakah beliau mampu merealisasikan kewujudan sebuah kerajaan Islam di Malaysia. Anwar dilihat lebih cenderung berkiblatkan kepada Barat kerana tindak tanduknya dilihat sentiasa mendapat sokongan Barat. Manakala DAP dilihat amat tidak selesa dengan prinsip yang diperjuangkan oleh PAS yakni mewujudkan sebuah negara Islam. Jadi adakah Anwar nak ambil hati DAP atau PAS? Agak mustahil Anwar nak bagi Keadilan atas prinsip yang jauh berbeza di antara PAS dan DAP. Lagipun Karpal Singh pernah mengeluarkan ayat langkah mayat saya dulu sebelum menubuhkan negara islam. Jadi adakah PAS yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat mampu merealisasikan perjuangan mereka?

Beliau mengakhiri luahan hatinya dengan nada kecewa dan berkata “ jika begini keadaannya, biarlah kerajaan yang ada sekarang ini terus memerintah”.

Tuesday, September 23, 2008

PUTAR BIN BELIT

Wak dah tak tahu apa nak jadi kat pembangkang di Malaysia. Dari satu hal ke satu hal nak dipolitiknya. Wak tak kisah jika perkara yang nak dipolitikkanya itu ada kaitan dengan rakyat secara langsung atau sesuatu yang benar. Tapi apa yang Wak lihat, terdapat ahli parlimen pembangkang dalam usaha untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan telah menabur pembohongan demi pembohongan. Terbaru melibatkan Teresa Kok.

Apa yang Wak nak bangkitkan ialah dalam sidang akhbar terbaru Teresa Kok menafikan bahawa beliau menyifatkan makanan yang diberikan kepadanya ketika ditahan ISA seperti makanan anjing. Wak hairan macam mana pula dah bertukar statement pula. Wak memang mengikuti dari hari pertama sidang akhbar yang dibuat oleh Teresa dan pada malam semalam TV3 sekali lagi ulang tayang kenyataan Teresa Kok. Sekali lagi Wak dengar Teresa berkata “ I can tell the food is worst. Maybe similar to dog food”. Wak nie bahasa Inggeris tak ler pandai sangat. Tapi setakat ayat di atas tu Wak masih boleh faham. Tapi dalam kenyataan terbaru Teresa Kok, beliau berkata ayat yang dilafazkan berbunyi “makanan tidak sedap, slightly better than dog food .” Dua ayat di atas mempunyai dua makna dan maksud yang jauh berbeza. Tapi pendengaran Wak belum pekak. Ayat yang dilafazkan oleh beliau adalah yang pertama.

Wak bukan anti-pembangkang. Tapi Wak amat benci sikap kepura-puraan mereka. Bukan setakat pembangkang. Kalau kerajaan buat benda yang sama pun Wak tentang juga. Tapi Wak lihat pembangkang sudah lari dari tugas asalnya. Tugas pembangkang yang dipilih oleh rakyat bukan untuk mencipta pembohongan. Cerita pembohongan 16 September belum reda lagi, satu lagi pembohongan dicipta oleh Teresa. Wak dah kata dulu, rakyat kalau sekali sekala dibohongi mungkin tak berapa terasa. Tapi bila acap kali dibohongi, mereka akan merasakan undi yang diberikan oleh mereka semasa pilihan raya lalu tak dihargai. Rakyat akan merasa muak dan bosan dengan permainan pembangkang.

Wak sendiri pun dah tawar hati dengan pembangkang. Wak tak nafikan yang Wak memang pernah undi pembangkang. Tapi Wak tak nampak keikhlasan dan kejujuran mereka dalam memperjuangkan isu rakyat. Undi yang Wak bagi digunakan hanya untuk menambahkan lagi keributan politik. Apa yang Wak nak ialah apabila Wak bagi undi kepada mereka, kerajaan akan lebih berhati-hati dan cekap dalam menjalankan amanah rakyat kerana fungsi pembangkang selaku watchdog dan check and balance. Wak juga mahu mereka berganding bahu dengan kerajaan untuk sama-sama membangunkan negara dengan memberi idea yang berkesan, sama-sama memikirkan bagaimana nak bantu rakyat miskin, bagaimana nak membasmi pengangguran, bagaimana nak mengeratkan perpaduan kaum dan lain-lain yang membina.

Tapi wak tak suruh mereka berbohong. Wak tak suruh mereka mengadakan demonstrasi jalanan. Wak tak suruh mereka memperburuk negara sendiri di luar negara. Wak juga tak suruh mereka merancang untuk mencuri Ahli Parlimen parti lain untuk menubuhkan kerajaan baru. Ini sudah tentu akan menimbulkan keributan politik yang akhirnya akan menjadikan politik negara tidak stabil. Dan kesannya sudah pasti akan dirasai oleh rakyat jelata. Wak sebagai rakyat mahukan kemakmuran dan kesejahteraan bukan keadaan ketidaktentuan dalam negara. Lihatlah apa yang berlaku kepada negara Pakistan apabila keadaan politik berkecamuk. Yang ramai mati dan mengalami kesengsaraan ialah rakyat. Fikir-fikirkan lah.

Friday, September 19, 2008

DALAM PAS BERCAKAP BENAR PUN TAK BOLEH

Wak lihat perkembangan dalam PAS dengan seribu satu persoalan. Wak sering dengar pemimpin-pemimpin PAS berhujah tentang demokrasi. Mereka menyifatkan demokrasi di Malaysia telah mati. Kebebasan suara sudah mati. Demokrasi Malaysia sudah musnah. Demokrasi Malaysia cacat. Dan seribu satu lagi cerita negatif mengenai demokrasi di Malaysia.

Minggu lalu Wak terbaca temu bual sebuah akhbar dengan Cik Gu Pa atau nama penuhnya Datuk Mustaffa Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu. Pada Wak pandangan Cikgu Pa ini amat baik dan tepat. Wak nampak Cikgu Pa berpijak dibumi yang nyata dan bukan dalam alam khayalan. Dan apa yang dikatakannya memang terbukti betul bahawa 16 September tidak akan menjadi realiti. Walaupun beliau merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu dan seorang pembangkang, namun pandangan yang dikemukakan sangat analitikal dan tidak bias berbanding dengan lain-lain pemimpin pembangkang.

Pada Wak sikap Cikgu Pa patut dipuji. Berani bercakap benar. Inilah ciri dan kualiti pembangkang yang dicari-cari. Kalau kerajaan buat silap, tegurlah dengan seikhlas hati. Wak percaya Kerajaan amat menghargai teguran yang dibuat secara baik, membina dan mempunyai keikhlasan. Tetapi jika teguran dibuat semata-mata nak mengambil kesempatan untuk nak menghasut rakyat membenci pemerintah, itu Wak tak dapat terima.

Tetapi lain pula jadinya bila Cik Gu Pa bercakap benar. Nik Aziz nampaknya melenting sakan. Beliau menyerang Cik Gu Pa habis-habisan dengan menyatakan itu lidah UMNO. Huru-hara. Ulamak besar dah marah kat ulama kecil kerana ulama kecil bercakap benar. Apa sudah jadi dengan PAS??? Bercakap benar pun tak boleh. Habis..bukankah Islam mengajar kita berkata sesuatu yang benar walaupun pahit. Wak dah bingung dan pening dengan sikap PAS. Tak kan kepentingan politik melebihi dari kepentingan agama.

Untuk berlaku adil, bersama ini wak lampirkan kenyataan dari Nik Aziz yang disiarkan di harakah tetapi diarah ditarik balik. Artikel ini diambil dari Agendadaily.com

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh: 11 Ramadhan 1429.

DEMOKRASI SONGSANG ANWAR

Wak tak faham dengan Anwar. La ni dia dok merapu cakap tentang demokrasi. Wak tak faham apa maksud atau definisi demokrasi bagi Anwar. Di setiap ucapannya, Anwar begitu lantang memperjuangkan demokrasi dan mengecop kerajaan sebagai tidak demokratik.

Tetapi yang Wak hairan, adakah pembentukan kerajaan melalui pintu belakang yang diperjuangkan oleh Anwar itu juga demokrasi namanya? Itu bukan demokrasi. Itu dia mau curi namanya. Nak curi orang BN untuk bentuk kerajaan. Kerajaan curi lah namanya. Kerajaan curi mana ada demokratiknya. Curi itu salah. Kerajaan macam ini biasanya tak akan mendapat keberkatan kerana perbuatan mencuri Ahli Parlimen tersangatlah hina, jelik dan tidak bertanggungjawab. Orang macam Anwar ini pada Wak tak layak jadi pemimpin kerana tak ada prinsip.

Kita kena sedar bahawa sistem demokrasi yang kita amalkan ini ialah untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Rakyat memilih pemimpin melalui pilihan raya. Bila rakyat sudah membuat pilihan, maka parti yang memperoleh majoriti akan membentuk kerajaan. Mereka akan merangka polisi dan mentadbir negara. Parti yang tidak mendapat majoriti tidak akan dipinggirkan begitu sahaja. Mereka juga diberi peluang untuk turut serta dalam proses membuat undang-undang, perbincangan mengenai dasar dan polisi negara melalui perbahasan di dewan dan lain-lain. Mereka bebas menegur, mengkritik, membahas dan memberi pendapat mengenai sesuatu isu.

Tetapi kebelakangan ini Wak nampak tujuan dan matlamat pembangkang setelah kehadiran Anwar hanyalah untuk menggulingkan kerajaan dan bukan menjalankan tugas sebenar mereka. Jika hari-hari pembangkang membuat percubaan menggulingkan kerajaan, bila pula mereka nak berkhidmat untuk rakyat? Bila masa pula mereka nak bawa permasalahan rakyat di parlimen? Bila pula mereka nak melayan dan menguruskan hal berkaitan rakyat? Masa terbuang begitu saja. Sepatutnya masa digunakan dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat kerana rakyat yang meletakkan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen.

Tindakan mereka ini sebenarnya menyusahkan rakyat. Bila dah hari-hari buat kacau, pelabur pun takut nak datang ke Malaysia. Dengan secara tak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi negara. Adakah ini yang Anwar mahukan??? Adakah Anwar berfikir jika ekonomi tak stabil maka rakyat akan bangun memberontak?? Kalau ini pendapat Anwar, Wak rasa Anwar ini adalah usaha mensabotaj ekonomi. Tak patriotik langsung. Kehidupan rakyat akan terganggu. Mengapa mahu rakyat dan negara menghadapi masalah?

Wak dah berulang kali cakap kat pembangkang, tunggulah pilihan raya ke 13 kalau nak ambil alih kerajaan. Kalau rakyat dah tak nak BN, PR akan memerintah. Rakyat majoriti dah beri mandat kepada BN pada pilihan raya 2008. Biar mereka mengurus negara dan pembangkang jadi check and balance. Wak tahu Anwar tak sabar nak tunggu tahun 2013 untuk pilihan raya umum. Beliau nak kuasa sekarang juga. Itulah tabiat anwar dari dulu hingga sekarang. Cuba lihat semasa beliau dalam UMNO, beliau naik begitu mendadak dengan menggunakan strategi yang tak profesional seperti mana yang dilakukannya kepada Tun Ghafar Baba semasa merebut jawatan Timbalan Presiden. Orang UMNO lebih tahu perkara ini.

Cubalah bawa bersabar wahai saudara Anwar. Bukankah sabar itu separuh dari iman? Kalau hati tak tenang dan sentiasa resah gelisah, bawa-bawalah baca Al-Quran secara lebih kerap lagi. Itulah ubat penenang jiwa. Dekatkan diri dengan Tuhan. Muhasabah diri. Minta ampun dari Tuhan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Mana ada bumi yang tak ditimpa hujan. Manusia pun ada buat silap dan salah antara sesama manusia dan Tuhan. Tak perlulah menyusahkan rakyat dengan tindakan menghuru-harakan keadaan politik negara.

Thursday, September 18, 2008

GENDANG KOSONG

Nampaknya para sarjana/cendiakawan dan pengkaji politik telah mula bersuara. Mereka kini sudah berani membuat kenyataan secara terbuka terhadap apa yang diuar-uarkan oleh Anwar untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September. Mereka kini menganggap Anwar tak lebih dari seorang badut politik yang mencari publisiti murahan dan menjadi bahan ketawa orangramai, gila kuasa, pakar dolak dalih, pengacau pentadbiran negara, tidak mempunyai perasaan malu, penipu besar dan banyak lagi.

Wak percaya sebahagian daripada mereka sudah tentu sedikit sebanyak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Anwar sebelum ini. Itulah sebabnya sebelum 16 September, ramai dari golongan ini tidak membuat sebarang komen dan mengambil sikap tunggu dan lihat. Akhirnya baru mereka sedar siapa sebenarnya Anwar. Gendang yang dipukul cukup menggerunkan lawan. Tapi bila nak berperang, peluru tak ada. Cuma yang ada peluru air liur dan peluru kapur sahaja.

Cakap bukan main besar seakan-akan dia 100% akan ditabal jadi Perdana Menteri pada 16 September. Tapi rupa-rupanya beliau hanya menjadi badut politik yang menjadi bahan ketawa orang ramai. Wak percaya para sarjana/cendiakawan dan pengkaji politik kini sudah tidak mengambil peduli lagi apa yang akan diperkatakan oleh Anwar selepas ini kerana serik ditipu dan dengan sikap cakap tak serupa bikin Anwar. Apapun Wak rasa 916 di bulan Ramadan ini mempunyai seribu satu hikmah.


DARI SEGAMBUT KE PUTRAJAYA
PERDANA MENTERI JAWATAN DICITA
SATU DUNIA SUDAH PERCAYA
ANWAR SUDAH BUKA CERITA

KUAT CAKAP LIDAH TERKELU
DARI BERANI JADI BACUL
16 SEPTEMBER SUDAH BERLALU
KERAJAAN ‘BARU’ MASIH TAK MUNCUL

31 MP HENDAK DISAPU
SAMPAI KE TAIWAN DIA TEROPONG
SEMUA ORANG DAH KENA TIPU
OLEH SI ANWAR KAKI KELENTONG

Wednesday, September 17, 2008

JANJI MANIS MU

Wak nak ingatkan kepada seluruh warga Malaysia agar tidak terlalu teruja dengan tawaran atau janji manis Anwar sekiranya beliau memerintah Malaysia. Wak percaya ramai yang dah mula berangan-angan untuk mendapat sesuatu yang lebih dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan sekarang.

Sebut pasal mimpi dan janji indah ini, Wak dah pernah terkena akibat terlalu mempercayai bahawa Wak akan menjadi kaya dengan membuat pelaburan dalam satu syarikat. Tapi pada waktu itu Wak tak fakir panjang kerana yang penting Wak dijanjikan dengan keuntungan yang banyak dengan pelaburan wang yang sedikit. Wak dah tak fikir panjang kerana terlalu bernafsu untuk menjadi cepat kaya.

Dipendekkan cerita, bulan pertama hingga bulan ketiga, Wak memang mendapat balik pulangan yang dipanggil dividen berganda. Wak melabur RM 30,000 dan dalam masa 3 bulan Wak dapat RM 9,000. Wak amat berbangga dan Wak terus berkempen kepada kawan-kawan Wak.

Tapi masuk sahaja bulan keempat, dividen berganda tersebut dah tak masuk dalam akaun Wak lagi. Wak hubungi syarikat pelaburan tersebut dan mereka memberi pelbagai alasan dan menyuruh Wak bersabar, Tapi bila dah masuk bulan ke lapan pun masih tak masuk dividen, Wak dah mula hilang akal. Wak pergi menyerang syarikat tersebut. Tapi malangnya syarikat masih wujud tapi orangnya dah tak ada. Semua dah hilang sampai hari ini Wak dah tak jumpa mereka. Akibatnya Wak dah rugi RM 21,000. Adusss….itulah akibat terlalu tamak dan bernafsu.

Wak bawa cerita ini untuk mengingatkan kepada semua supaya tidak jadi seperti apa yang Wak alami dalam konteks memperjudikan nasib rakyat dan Negara. Hari ini, Anwar nampaknya telah menabur pelbagai janji kepada rakyat berbilang kaum sekiranya beliau berkuasa. Kepada masyarakat Cina, beliau cakap macam ini, kepada masyarakat India beliau cakap macam itu. Maklumlah, lidah tak bertulang, mudah untuk berkata-kata.

Wak nampak, Anwar macam ada lampu ajaib, boleh selesai semua masalah rakyat. Apa yang kerajaan buat semuanya tak betul. Apakah beliau tak ingat sewaktu beliau jadi Timbalan Perdana Menteri, apakah beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada Baling yang mana beliau mengetuai demonstrasi di situ? Adakah tiada lagi rakyat miskin di Baling? Adakah semua rakyat Baling terbela semas beliau menjadi TPM dulu? Waktu jadi pemimpin pelajar, ucapan berapi-api kat Baling, tapi setelah berkuasa, berapa kali beliau pergi ke Baling dan memastikan tiada lagi orang baling yang miskin?

Mengapa beliau tidak mengisytiharkan pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak pada waktu jadi TPM dan Menteri Kewangan? Mengapa baru sekarang? Mengapa beliau tak hapuskan ISA semasa menjadi TPM? Mengapa hanya sekarang membangkitkan isu itu? Nampaknya Zaid Ibrahim lebih berprinsip dan lebih bermaruah dari Anwar kerana berani letak jawatan kerana tak bersetuju dengan ISA. Berani kah Anwar bersuara mengenai ISA waktu itu dan meletak jawatan jika pandangannya tak diterima oleh Kerajaan? Tak payah kasi jawapan kerana semua boleh menjangkakan jawapan tersebut. Dan juga mengapa baru sekarang Anwar bercakap tentang suara rakyat di sekat, kebebasan akhbar disekat dan demokrasi dicabuli? Mengapa tidak membuat sesuatu semasa berkuasa dulu?

Itulah wajah Anwar sebenar. Sebenarnya banyak lagi yang Wak boleh cakap tentang Anwar tetapi biarlah dulu. Cuma Wak nak ingatkan warga Malaysia supaya jangan terlalu mempercayai segala janji-janji Anwar. Bukti terdekat pembohongan janji Anwar ialah pembentukan kerajaan baru pada 16 September. Kalaulah yang itu pun dah nampak tak dapat ditunaikan, maka yang lain-lain tu tak tahulah.

Wak teringat Nalakaruppan kata Anwar janji akan memberi kepada beliau kerusi Ijok semasa pilihan raya kecil dulu. Tapi akhirnya kerusi tersebut diberi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. Mengamuk ler si Nalakaruppan tu kerana Anwar tak tunaikan janji. Jenis inikah pemimpin yang akan kita nobatkan sebagai Perdana Menteri??? Tepuk dada tanya selera.