Monday, August 31, 2009

ISA MASIH RELEVAN

Ekoran insiden mengarak kepala lembu ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam beberapa hari yang lalu, terdapat beberapa pihak dalam pembangkang dan juga blog pro pembangkang mahukan supaya pihak yang terlibat perarakan tersebut dikenakan ISA. Misalnya, pemimpin pembangkang merangkap Exco Selangor, Rodziah Ismail telah mengesyorkan supaya mereka ini dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Wak dah mula pening dengan tindakan pembangkang yang tidak konsisten. Kejap minta ISA dimansuhkan. Kejap mahu ISA dikekalkan. Kalau kena kat geng dia, ISA itu zalim. Tapi bila kena kat geng musuh dia, oh..ISA itu baik. Begitulah realitinya dunia politik.

Wak percaya, jika pembangkang dapat membentuk kerajaan pada 2004 atau 2008, ISA tidak akan dihapuskan. Negara kita masih memerlukan ISA. Kalau tidak kerana ISA, negara yang kita bina ini sudah lama hancur, terutama dalam isu-isu yang melibatkan perkauman. Hari ini dunia liberal Barat juga mengakui akan pentingnya undang-undang pencegahan dalam memelihara keselamatan. Sejarah telah menunjukkan bahawa ISA telah menyelamatkan negara kita beberapa kali dari api perkauman.

Cuba kita renung sekejap. Jika ISA sudah tiada, sudah tentu puak-puak tertentu akan bermaharajalela. Mereka tidak lagi takut untuk melakukan sesuatu yang lebih besar jenayahnya. Undang-undang pencegahan sudah tidak wujud lagi.

Wak selalu dengar pesan doktor. Kalau kita tidak mahu dijangkiti dengan sesuatu penyakit, kita kena mengambil tindakan pencegahan. Jangan sampai dah kena baru nak cegah. Pada masa itu tak ada apa yang boleh dibuat lagi.

Dalam konteks ‘penyakit’ negara, pun perlu kepada langkah pencegahan. Bagi mereka yang suka menimbul kekacauan atau mencetus konflik berpanjangan untuk mencapai cita-cita tertentu, maka mereka akan terus menerus akan cuba membangkitkan kekacauan demi kekacauan. Jika keadaan ini berterusan, maka ini akan mendatangkan bahaya kepada ekonomi, keselamatan dan kehidupan rakyat dan negara. Oleh itu perlu ada ubat untuk mencegah penyakit tersebut. Ubatnya pencegahannya ialah ISA.

AlMaunah contohnya. Jika tidak ada ISA, Wak tak tahu apa akan terjadi. Mungkin kita sekarang ini dah jadi macam Indonesia dengan siri pengeboman.

Sekarang dengan adanya ISA pun ada pihak sudah tunjuk ’samseng’ dengan berani melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan perlembagaan negara. Jika tidak ada ISA, sudah tentu sesuatu yang lebih dahsyat akan berlaku.

Jika tanpa ISA selepas ini, mungkin ada pula gerakan untuk mansuhkan Islam sebagai agama Persekutuan dan jadikan semua agama adalah agama negara atau pun gerakan mansuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada masa ini, barulah rakyat sedar betapa perlunya ISA.

Kita kena ingat bahawa ISA diwujudkan demi keamanan dan ketenteraman negara. ISA mampu menyekat ataupun mengelakkan sesuatu perkara yang boleh membahayakan rakyat dan negara.

Pada Wak mudah saja. Orang yang takut dengan akta ini adalah orang yang selalu menimbulkan masalah.

No comments: