Friday, July 25, 2008

BERSAMALAH KITA BERDOA

Fikiran Wak sedang bercelaru bila orang-orang Melayu yang menganut agama yang satu sedang berpolemik tercari-cari titik pertemuan untuk membincangkan masalah perpaduan dan penyatuan. Wak tak tahu bila agenda perpaduan umat Melayu dan Islam ini akan menjadi realiti. Tapi Wak nampak bahawa masing-masing masih berprasangka dan berhati-hati dalam hal ini. Politik oh politik. Itulah jadinya jika kepentingan politik kepartian diberi prioriti teratas dari kepentingan survival politik orang Melayu dan Islam.

Jika politik kepartian dijadikan asas pertemuan, sampai kiamat masalah tak akan selesai. Wak tak tahu apa akan terjadi jika keadaan berterusan berlaku. Walaupun Hj Hadi sudah nampak agak lembut, tapi Mursyidul PAS nampaknya agak berkeras. Mungkin beliau mempunyai sejarah tersendiri dengan UMNO. Walau apa-pun, jangan biarkan perasaan tidak puas hati atau dendam masa lalu dijadikan alas an untuk menggagal usaha ini.

Kehancuran umat Islam dan kuasa politik orang Melayu sudah ada bunga-bunganya. Jika kuasa politik sudah tidak ada, apakah agama Islam boleh dipertahankan? Lihatlah apa yang terjadi kepada Negara Sepanyol yang pada satu masa dulu gah dengan pemerintahan Islamnya. Apakah nasib Negara Islam Malaysia akan jadi macam Sepanyol? Hanya masa menentukan. Tak mustahil ini akan berlaku jika umat islam terus berpecah, berdendam, bertelagah dan tidak mahu bersatu.Barat dan Yahudi pasti akan bergembira melihat situasi politik orang Islam Malaysia sekarang. Mereka hanya menunggu masa untuk bertepuk tangan meraikan perpecahan dan kehancuran umat Islam di Malaysia.

Wak minta supaya pemimpin-pemimpin semua parti supaya mengutamakan suruhan Tuhan daripada mengutamakan agenda parti. Banyak ayat-ayat yang diturunkan menyuruh kita buat kebaikan dan elakkan unsur perpecahan serta ingat mengingati antara satu sama lain dalam hal membuat kebaikan.

Firman Allah swt,

“…dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah terhadapmu ketika kamu saling bermusuhan maka Dia satukan hati kamu lalu kamu menjadi saudara dengan nikmat-Nya, dan ingatlah ketika kamu berada di bibir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu daripadanya” (Ali 'Imran 102 - 103)

“…dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah dia, dan jangan kamu ikuti jalan-jalan (lainnya) sebab jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.”. (Al - An'am 153)[1]

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati su paya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."( Surah Al-A'sr)

Hudzaifah bin Al-Yaman radliyallahu 'anhu berkata : Hai para Qari (pembaca Al-Quran) bertaqwalah kepada Allah, dan telusurilah jalan orang-orang sebelum kamu, sebab demi Allah, seandainya kamu melampaui mereka [para Sahabat], sungguh kamu melampaui sangat jauh, dan jika kamu menyimpang ke kanan dan ke kiri maka sungguh kamu telah tersesat sejauh-jauhnya. (Al-Lalikai 1/90 no.119; Ibnu Wudldlah dan Al-Bida' wan Nahyu 'anha 17; As-Sunnah Ibnu Nashr 30).

Wak doakan semoga Tuhan membuka hati pemimpin-pemimpim UMNO dan PAS untuk berbincang secara ikhlas dan jujur dalam perkara ini. Lupakan persengketaan yang lalu. Lihatlah apa yang akan terjadi kepada umat Islam dan Negara Malaysia jika perpecahan terus berlaku. Dan akhirnya sekali lagi Wak doakan semoga Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kita yang lalu dan menerima segala amal kebajikan dan kebaikan yang kita lakukan ini. Amin.

No comments: