Tuesday, September 29, 2009

PAKATAN RAKYAT TERIMA DIVIDEN SAHAM YANG DILABUR

Wak ketawa besar bila melihat kira-kira 70 orang penternak mengadakan bantahan dengan membawa 30 lori bersama muatan lembu, kerbau dan kambing ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam baru-baru ini.
Demonstrasi tersebut dilakukan kerana penternak yang terlibat dalam tragedi ladang ternakan dihempap runtuhan sampah mendakwa kerajaan negeri Selangor dan majlis tempatan tidak membantu selepas kejadian runtuh di tempat buangan sampah haram yang telah mengorbankan ternakan mereka.
Penternak tersebut juga amat kecewa kerana tidak ada wakil rakyat atau Exco Pertanian turun ke tempat kejadian bagi melihat tempat tragedi itu dan menghulurkan bantuan kepada penternak yang ditimpa musibah. Mereka juga turut mendesak Exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab terhadap bidang pertanian, Yaakob Sapari supaya meletak jawatan.

Wak ketawa besar bukan kerana penternak membawa lembu dalam lori pergi ke SUK tetapi kerana kerajaan kerajaan Pakatan Rakyat yang selama ini selalu mengajak rakyat untuk melakukan demonstrasi kini sudah terjerat dengan apa yang mereka lakukan selama ini. Umum mengetahui bahawa Pakatan Rakyat adalah juara demonstrasi. Sikit-sikit demonstrasi. Tujuan pakatan Rakyat mengajak rakyat untuk keluar ke jalanan untuk berdemonstrasi adalah untuk menyemai perasaan benci rakyat kepada kerajaan BN. Mudah sahaja analoginya. Kalau rakyat dah benci kepada Kerajaan BN, maka mudahlah Pakatan Rakyat mendapat kuasa.

Apa yang dilakukan oleh Pakatan rakyat memanglah berbaloi. Selangor, Perak, Kedah dan W.Persekutuan Kuala Lumpur telah dikuasai oleh mereka. Maka bersorak riuh rendahlah Pakatan Rakyat. Maka mereka meneruskan agenda mengajak rakyat untuk berdemonstrasi dengan harapan akan dapat menawan satu Malaysia (bukan 1Malaysia) dan menerajui kerajaan pusat.

Tetapi langit tak selalu cerah. Senjata jika tidak bijak bermain akan memakan diri sendiri. Kini apa yang mereka canangkan sudah menjadi sebati dengan kehidupan rakyat.
Rakyat diajar jika tak puas hati, maka kita kena berdemonstrasi. Maka penternak-penternak pun berdemonstrasi kerana tak puas hati. Tercungap-cungap juga kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu ini. Esok lusa ada lagi isu… demonstrasi lagi dan lagi dan lagi.

Begitulah akibatnya jika rakyat diasuh dan dididik dengan cara yang tak betul akhirnya akan berbalik kepada diri sendiri. Jika pemimpin dah ajar benda yang tak betul, maka rakyat pun terikut jadi tak betul sama.
Hari ini kerajaan pakatan Rakyat baru tahu bukan mudah untuk menguruskan dan mentadbir negara. Cakap cukup mudah tapi nak melaksanakan bukan seperti bercakap yang menggunakan modal air liur. Kalau dulunya cakap semua apa yang kerajaan BN buat tak betul. Hari ini bila dah memerintah baru tahu. Bila dah kena batang hidung sendiri baru tersentak.

Hari ini orang ramai sudah mula mempermainkan dan mempersendakan kerajaan Selangor. Kerajaan negeri Selangor kini di cap sebagai kerajaan lembu kerana kebelakangan ini sebahagian besar isu yang melanda Selangor adalah berkaitan dengan lembu. Lembu sudah jadi macam badi kepada kerajaan Selangor.
Wak masih ingat masa mula-mula Khalid Ibrahim jadi MB, isu lembu dikaitkan dengan dakwaan beliau menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri Selangor membekal lembu korban ke kawasan parlimen Bandar Tun Razak. Kemudian pada bulan Ogos baru-baru ini, sekali lagi lembu jadi isu apabilai kira-kira 200 penduduk Seksyen 23 Shah Alam mengarak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah gara-gara membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan majoriti Melayu.

Kini 75 ahli Persatuan Penternak berarak dan berkumpul mengadakan demonstrasi di depan pintu masuk utama SUK membawa lembu. Lepas ini apa lagi? Tungguuuuu…..