Thursday, April 23, 2009

DI ANTARA PENYOKONG PAS TEGAR DAN LEMBUT

Wak telah berkesempatan berbual dengan beberapa pemimpin, ahli serta penyokong PAS baru-baru ini. Pemimpin yang Wak maksudkan bukalah pemimpin tertinggi PAS. Wak nie siapa nak berbual dengan mereka. Jadi dapat berbual dengan pemimpin bawahan peringkat cawangan jadilah.

Melalui siri perbualan singkat, Wak dapat kesan bahawa dalam PAS, ada daripada mereka yang cukup tegar sifat dan sikapnya dan ada yang agak lembut dan mahukan sesuatu tindakan dilakukan untuk menyelamatkan bangsa Melayu.

Bagi pihak yang agak taksub dan keras, mereka berpegang kepada prinsip UMNO perlu dimatikan dan dikebumikan secepat mungkin. Bagi mereka UMNO terlalu banyak melakukan dosa sehingga tidak ada ruang langsung untuk mereka memaafkan UMNO. Mereka tidak mahu langsung bekerjasama dengan UMNO walaupun menerima hakikat bahawa majoriti ahli UMNO adalah Islam dan Melayu. Bagi Wak kumpulan ini rebus tak hempuk. Mereka sudah tidak mahu berkompromi dengan UMNO walaupun untuk tujuan menyelamatkan bangsa Melayu. Mereka hanya mahu berkompromi jika ahli UMNO meninggalkan UMNO dan masuk PAS. Mereka mengajak orang UMNO menyertai PAS dan membina kekuatan Melayu dan Islam dalam PAS. Ini bermakna PAS pegang kuasa dan bekas ahli UMNO ikut mereka.

Manakala bagi mereka yang berpendirian agak lembut, golongan ini sebenarnya masih berfikiran rasional berdasarkan suasana politik semasa yang berlaku di Malaysia. Mereka berpendapat apa pun pendapat yang diluahkan, jika orang Melayu lemah bermakna Islam juga akan lemah. Jika Melayu berpecah, kekuatan Islam semakin mengecil akhirnya akan memberi kesan terhadap orang Melayu Islam. Kumpulan ini mahukan PAS dan UMNO bersatu untuk menjamin survival orang Melayu dan Islam. Walaupun ideologi berbeza, namun bila sesuatu yang melibatkan kepentingan bersama, maka PAS dan UMNO perlu bersatu. Lihatlah orang Cina, bila sesuatu perkara yang berkaitan pendidikan misalnya, mereka akan bersatu melangkaui batas ideologi politik. Tetapi tidak bagi orang Melayu. Orang Melayu, bila berpolitik, api dendam nya 100 tahun belum tahu akan terpadam. Kumpulan ini amat-amat mengharapkan supaya pemimpin tertinggi kedua-dua parti Melayu terbesar di Malaysia dapat bertolak ansur demi generasi Islam akan datang.

Wak terusik dengan pendapat dua kumpulan ini. Dalam PAS ada yang mahu berkompromi dan ada yang berkerat rotan berpatah arang. Bagi yang keras dan tidak mahu berkompromi, agak sukar nak membuka hati yang sebati dan menebal ideologi ciptaan pemimpin tertentu dalam PAS. Pada Wak, hati mereka telah lama mati untuk melihat pertautan semula dengan membuat pelbagai andaian dan prasangka. Sukar sungguh nak membuka simpul yang diikat kuat dalam minda.

Pada Wak, walau apa pun yang terjadi antara PAS dan UMNO, satu hakikat yang perlu kita lihat dan renung ialah sampai bilakah episod ini akan berakhir. Kita mesti ada noktah. Ingatlah apa akan terjadi dalam masa 50 tahun lagi? Apakah kita nak mewariskan kemusnahan kepada generasi kita?. Apakah kita mahu melihat perpecahan orang Melayu Islam ini berkekalan hingga akhir zaman? Janganlah kita terlalu degil. Ingatlah masa depan anak dan cucu kita. Hadiah lah kepada mereka sebuah negara yang aman, umat Islam yang bersatu padu, ekonomi negara yang kukuh dan kehidupan yang sejahtera. Janganlah biarkan generasi kita mengemis di bumi sendiri. Belajarlah dari sejarah. Bukankah Islam dulu sangat kuat sehingga dapat menakluki dunia. Tapi kerana perpecahan dan tamak haloba kuasa, kita telah semakin terpinggir.

Thursday, April 16, 2009

Apa Pun Isu Elizebeth Wong – Bukit Lanjan Tetap Milik Pakatan Rakyat

Wak percaya dalam pilihan raya umum akan datang, Bukit Lanjan pasti kekal milik Pakatan Rakyat. Rakyat kini nampaknya dah tak kisah akan isu moral. Rakyat dah tak melihat bahawa melakukan hubungan sex sebelum kahwin sebagai sesuatu yang melanggar peraturan agama atau nilai dalam sesuatu masyarakat.
Kalau dulu jika nak jadi Wakil Rakyat mesti tunjuk teladan yang baik, sesuai dengan taraf pemimpin. Pemimpin seharusnya menunjukkan teladan yang baik. Kalau teladan buruk ditunjuk, maka orang dah tak panggil pemimpin lagi. Mereka layak digelar penyangak atau perosak masyarakat.

Kita dah nak ikut cara dan gaya negara Barat berpolitik. Agama atau moral sudah tidak diambil pusing lagi. Itulah sebab, di Barat seorang bekas pelakon filem porno, model majalah lucah, terlibat dalam isu moral atau gay boleh dilantik sebagai pemimpin. Ia diterima. Tahniah kepada sesetengah pengundi yang masih mahu menerima Elizebeth sebagai pemimpin walaupun ada yang melihat sendiri aksi-aksi ghairahnya yang Wak sendiri pun tak sanggup lihat.

Wak juga nak ucapkan tahniah kepada PAS yang nampaknya beria-ia mempertahankan Eli. Masa Eli buat persidangan akhbar, Muslimat PAS kelihatan menyokong Eli dengan sepenuh hati. Apakah PAS juga dah masuk dalam mereka yang menerima perbuatan yang amat bertentangan dengan pegangan agama Islam dan seterusnya dah terbuka hati menerima budaya politik Barat?
Walaupun Eli bukan beragama Islam, tetapi PAS kena nasihat Eli bahawa apa yang Eli lakukan itu tidak baik kerana akan memberi kesan terhadap banyak perkara. Adakah Muslimat PAS tidak melihat apa yang Eli lakukan adalah salah sebagai seorang pemimpin yang boleh menjurus kepada ikutan muda mudi sekarang. Kalau ibu borek, anak akan rintik.

Kalau pemimpin dah tunjuk teladan sebegitu, apa salahnya rakyat buat sama? Eli adalah pemimpin bagi semua kaum, sepatutnya menjaga tingkahlakunya. Jangan hanya mengikut nafsu. Pemimpin menjadi milik rakyat. Jadi kena buat baik dalam semua aspek. Jika tidak mampu, lebih baik jangan jadi pemimpin. Baik letak jawatan sahaja supaya tidak dipertikai.

Terdapat dakwaan bahawa yang mengambil gambar Eli ialah Helmi, seorang Islam. Apakah pendirian PAS jika benar Helmi yang terlibat sama? Apakah PAS hanya akan berdiam diri kerana nak jaga hati rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat atau mengesyorkan Helmi didakwa mengikut kaedah Islam. Bukankah PAS yang amat komited dalam merealisasikan hukum Hudud di negara kita.

Kepada PAS, Wak nak ingatkan..Berpolitik ada sempadannya. Jika ia sudah lari dari batas agama, maka PAS wajib menentangnya. Amal maaruf, nahi munkar. Berkatalah sesuatu yang benar walaupun pahit. Jangan korbankan agama kerana politik.
Jangan melakukan sesuatu yang boleh membawa akibat buruk di belakang hari nanti. Sayangilah agama kita dan masyarakat kita. Jangan sokong sesuatu yang buruk.

Saturday, April 11, 2009

TAHNIAH NAJIB TAK LANTIK KHAIRY

Wak nak ucapkan tahniah kepada Najib kerana keberanian luar biasa dengan tidak melantik Khairy menganggotai kabinet. Pada Wak jika Najib masih ditahap takutkan Khairy seperti dulu (sebenarnya bukan takut, tapi menghormati pak mertua Khairy) maka UMNO akan semakin hancur.

Ramai dari kawan-kawan Wak lega kerana Khairy tak tersenarai. Dulu menang Ketua Pemuda pun dah ada unsur-unsur rasuah. Kalau pegang menteri kabinet, ntahlah apa akan berlaku. Ini isu yang selalu dimainkan oleh pembangkang...rasuah. Dan inilah salah satu sebab mengapa rakyat semakin hari semakin menolak BN.

Kepada menteri-menteri dan semua barisan baru yang dilantik, bekerjalah dengan satu matlamat...amal makruf dan nahi mungkar. Lupakan kepentingan diri. Utamakan rakyat. Ingatlah...rakyatlah yang memberi undi kepada kita.

Jika pemimpin BN sudah tidah dapat berkhidmat kepada rakyat secara jujur dan penuh integriti, maka bersedialah untuk jadi pembangkang di Parlimen. Mungin Pakatan PAS/PKR/DAP akan menjadi kerajaan.

Andainya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, harapan Wak cuma satu sahaja. Biarlah PAS yang pegang jawatan Perdana Menteri, kerana kekuatan sebenar diperingkat akar umbi ialah parti PAS. Rugilah jika PAS kasi kat PKR atau DAP. Tapi...apapun..jangan sesekali kasi Anwar jadi PM. Rosak negara nanti.

Sunday, April 5, 2009

ANWAR BOHONG LAGI….

Dalam ruangan wak semalam, Wak dah jangkakan yang Anwar akan meneruskan gimik serta mainan politiknya bahawa satu pengumuman penting mengenai Najib akan dibuat dengan harapan puluhan ribu akan keluar untuk mendengar. Maka beribu-ribu orang keluar untuk mendengar berita buruk mengenai ‘Najib’.

Tetapi, ramai yang pulang hampa kerana tiada berita Najib dikeluarkan oleh Anwar. Anwar membuat alasan lagi. Kali ini alasan yang diberi oleh Anwar ialah “Kita sudah bincang semalam dan kita jangka.. kalau kita buat pengumuman itu malam ini, risikonya besar. Sebab itu saya mahu pada 7 haribulan, kita menang di Bukit Selambau, menang di Bukit Gantang dan menang di Batang Ai, dan saya akan buat pengumuman itu”.

Hahahaha….rakyat masih tak serik dengan kelentong Anwar. Cubalah kita fikir secara logik dan rasional. Jika ada berita besar yang boleh menjejaskan politik Najib, mengapa nak umumkan selepas pilihan raya kecil. Inilah masanya, yakni sebelum pilihanraya supaya pengundi menolak BN. Kalau selepas pilihanraya, dah tak beerti lagi.

Anwar oh Anwar. Kalau nak buat strategi kelentong pilihanraya tu, buatlah secara profesional. Rakyat dah makin matang dan bijak. Sekali boleh dibohong. Dua kali mungkin boleh lagi. Tapi masuk kali ketiga, rakyat dah muak dan tak ambil peduli lagi. Janganlah memperbodohkan rakyat sepertimana dalam kes 16 September.

Friday, April 3, 2009

KEJUTAN NAJIB BUAT ANWAR

Anwar kononnya akan membuat kenyataan yang mengejutkan mengenai Najib besok. Kononnya juga kejutan ini akan memberi kesan terhadap kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri.

Belum pun Anwar buat kejutan, Najib terlebih dahulu buat kejutan.

1) Seramai 13 tahanan ISA termasuk pemimpin Hindraf dibebas serta merta.
2) Suara Keadilan dan Harakah yang digantung selama 3 bulan ditarik balik dan dibenarkan
diterbitkan seperti sediakala mulai esok.
3) ISA akan dikaji semula.

Wak rasa Anwar akan terduduk atau tersandar kalau tak pengsanpun.

Anwar seperti biasa cuba main politik kononnya satu pengumuman penting mengenai Najib esok dengan harapan puluhan ribu akan keluar untuk mendengar. Taktik ini dah lama Anwar buat. Gimmik saja. Pi mai pi mai benda yang sama juga akan disentuh. Tak picaya ke? Tunggulah esok.

Itulah Anwar.

MAKANANNYA FITNAH , MINUMANNYA BOHONG

Wak dah tak faham mengapa orang ramai masih lagi mempercayai PKR. Walaupun pembohongan demi pembohongan dan fitnah demi fitnah dibuat, tapi orang ramai masih lagi mempercayai berita-berita yang dikeluarkan oleh PKR.

Terbaru dalam akbar rasmi online nya memaparkan tajuk : ‘TERKINI Majlis Angkat Sumpah Najib Sebagai PM Dibatalkan’. Wak tak kisah kalau PKR nak berpolitik tapi janganlah mengeluarkan kenyataan bohong. Ini sesuatu yang tidak beretika dan cara berpolitik murahan.

Inilah salah satu sebabnya mengapa KDN mengambil tindakan tegas terhadap akhbar milik pembangkang ini. Berita yang mengelirukan, tidak tepat, berbentuk andaian, bohong dan fitnah boleh memberi kesan kepada rakyat. Jika rakyat mempercayai cerita-cerita ini, kita bimbang akan berlaku kekecohan dan kekacuan yang boleh membawa ketidaktenteraman dan ketidakstabilan dalam negara.

Begitu juga dengan cerita Altantuya. Apakah PKR terutama Anwar tahu apa sebenarnya berlaku? Jika Najib dah bersumpah dengan lafaz ‘Wallahi, Wabillahi dan Watallahi” menafikan tuduhan terhadapnya, ini bermakna beliau memang tidak terlibat. Tapi Anwar masih membuat tuduhan Najib terlibat.

Najib sudah membuat pengakuan sumpah yang tarafnya lebih tinggi dari Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan yakni bersumpah dengan nama Allah swt. Jadi apa lagi yang boleh beliau lakukan untuk menafikannya lagi. Di hadapan Allah swt lah tempat tertinggi boleh beliau lafazkan untuk membersihkan dirinya. Tapi Anwar masih memfitnahnya. Anwar kata ada gambar Najib dan Altantuya. Tapi tak tunjuk. Apa ni??? Tunjukkan supaya seluruh dunia saksikan. Yang ada hanya gambar illusi Tian Chua yang di superimpose. Alahai…budak-budak umur 12 tahun pun boleh buat gambar tersebut.

Kalau Anwar begitu yakin Najib terlibat, marilah kita seru supaya Anwar tampil kehadapan dan turut bersumpah dengan lafaz ‘Wallahi, Wabillahi dan Watallahi” saya ada bukti kukuh Najib terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Habis cerita. Kita doakan supaya Tuhan melaknat siapa yang berbohong.

Persoalannya, mahukah Anwar bersumpah??? Wak percaya beliau akan memberi alasan demi alasan seperti mana dalam alasan yang diberi dalam kes liwat Saiful. Saiful berani sumpah di rumah Allah kerana dia tahu itu benar. Mana ada orang yang sanggup sumpah dengan nama Allah jika ianya tidak benar. Semua orang takutkan Tuhan kecuali orang yang tak beriman denganNya.

Kepada Anwar dan penyokong fanatiknya, kita tunggu perbicaraan di mahkamah nanti. Wak dah dengar cerita yang Saiful ada bukti yang boleh dilihat sendiri oleh rakyat yang boleh menggemparkan negara dan mengakhiri karier politik Anwar.

Tunggguuuu…..

Wednesday, April 1, 2009

#links

#links

NIZAR..KEMBALILAH KE PANGKAL ISLAM

Wak terasa amat sedih bila mendengar cerita rakaman perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih bergelar Menteri Besar yang disebar di Pilihanraya Parlimen Bukit Gantang semalam. Dalam persidangan tersebut Datuk Seri Nizar telah menafikan bahawa PAS akan menubuhkan negara Islam.

Nizar dalam persidangan DUN Perak dilaporkan mencabar supaya dibuktikan PAS hendak menubuhkan sebuah negara Islam. Isu penubuhan negara Islam ini telah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang menyatakan PAS kini sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk menubuhkan Negara Islam.

Jawapan yang diberikan oleh Nizar ialah “Di manakah dalam mana-mana transkrip PAS yang menyatakan bahawa PAS nak melaksanakan negara Islam. Saya minta pandangan dan minta jawapan di manakah dalam transkrip PAS, dalam memorandum ke ...dalam Perlembagaan PAS ... ada menyatakan PAS nak melaksanakan negara Islam,”.

Wak amat terkejut dengan penjelasan oleh Nizar. Wak macam tak percaya kata-kata ini keluar dari mulut Nizar. Betul ke ini Nizar yang cakap? Kalau betul, apa dah nak jadi kepada PAS? Apa lagi yang ada pada PAS jika perjuangan untuk menubuhkan negara Islam sudah tiada lagi dalam kamus mereka? Lupakah Nizar ucapan pemimpin-peminpin PAS sejak dulu lagi akan perjuangan untuk penubuhan negara Islam?

Apakah hanya nak jaga hati DAP, maka PAS sanggup menggadai prinsip asas perjuangan mereka? Nizar rupanya tidak faham dan tidak menghayati perjuangan PAS selama ini. Anak muda ini sejak berkawan dan berbaik dengan DAP sudah banyak berubah. Kalau berubah jadi lebih baik tak apa. Tapi berubah menjadi lebih tidak islamik.
Takutkah PAS kepada DAP? Apakah kerana demi kuasa maka prinsip asas pun sudah sanggup digadai? Apakah Nizar sudah kecut ‘telor’ kerana digertak oleh Karpal Singh dengan kata-kata “langkah mayat aku dulu kalau nak tubuh negara Islam” atau takut dengan kenyataan "DAP akan keluar Pakatan Rakyat jika PAS meneruskan hasrat menubuhkan negara Islam".

Bukankah PAS yang selama ini menyerang dan bermusuhan dengan UMNO kerana mendakwa UMNO menentang penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud. UMNO juga pernah dikafirkan oleh PAS kerana isu ini.

Itulah Nizar. Pemimpin generasi baru PAS. Wak yakin jika pemimpin PAS terdahulu seperti Allahyarham Yusuf Rawa masih ada, pasti Nizar akan ditempelak atau ditampar mulutnya kerana kenyataan yang tidak beradab. Nizar belum faham bagaimana pemimpin terdahulu begitu gigih merealisasikan penubuhan negara Islam. Tiba-tiba sahaja anak muda yang masih mentah dan baru merasai nikmat kuasa sudah mulai melupakan prinsip asas perjuangan PAS.

Nizar oh Nizar... Kembalilah ke pangkal jalan.