Saturday, February 21, 2009

SIAPA YANG HANTAR PELURU KEPADA KARPAL SINGH???

Wak amat dukacita dengan beberapa peristiwa politik yang berlaku di Negara kita kebelakangan ini. Ini semua berpunca dari kemelut politik. Yang terakhir, Karpal Singh telah membuat laporan polis yang mendakwa menerima sepucuk surat ugutan yang mengandungi dua butir peluru.

Wak terfikir…siapa yang menghantar peluru tersebut??? Sudah tentu akan timbul perbagai andaian. Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia sukar untuk di plaster.

Andaian pertama - Mesti ini kerja orang Melayu – kerana Karpal Singh telah didakwa menghina Institusi DiRaja ekoran hasratnya ingin menyaman Sultan Perak. Melayu akan dituduh menjadi punca segala-galanya jika berlaku sesuatu.

Andaian Kedua - Dilakukan oleh UMNO – Kerana kebelakangan ini apa sahaja yang buruk berlaku, pembangkang sering menuduh puncanya ialah UMNO. Elizebeth Wong telanjang pun UMNO juga yang kena tuduh.

Andaian Ketiga – Dilakukan oleh Pakatan Rakyat sendiri – Ini mungkin andaian dari beberapa pihak dengan harapan orang ramai akan bersimpati dengan Pakatan Rakyat yang didakwa sering menjadi mangsa keadaan. Mereka akan cari peluru, pos peluru dan tuduh UMNO atau BN yang buat. Pakatan Rakyat akan beroleh keuntungan politik kerana sudah tentu orang ramai tak boleh menerima perbuatan ini.. Sendiri buat, sendiri dapat untung.

Andaian Keempat - Dilakukan oleh musuh yang mahu melihat keadaaan yang tegang terus menerus berlaku di negara kita dengan harapan satu pergaduhan besar akan berlaku. Ini melibatkan pihak ketiga. Siapa??? Agen Amerika?? Yahudi?? Tak tahu siapa mereka ini.

Apapun...ini semua andaian yang Wak dengar dari pelbagai pihak. Pada Wak, kita jangan pakai semua andaian ini. Kita tunggu siasatan polis. Biarkan polis buat kerja. Jangan ganggu kerja polis.

Monday, February 16, 2009

SOALAN CEPUMAS KEPADA PAS DAN PENYOKONG PAS

Dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau, jika BN letak calon India, PKR pun letak calon India, maka tiba-tiba muncul seorang calon bebas yang berbangsa Melayu dan beragama Islam turut menyertai pilihan raya kecil tersebut, maka kepada calon manakah ahli-ahli PAS akan memberi undi ????

Bukan apa. Semalam Wak bermimpi perkara ini berlaku. Wak lihat dalam mimpi tu, penyokong PAS dalam keadaan tertekan nak buat pilihan. Nak telan mati mak, nak luah mati bapak. Ini soal berat. Nak pilih pemimpin mesti lihat sama apa yang pemimpin tersebut boleh sumbang dalam konteks agama. Apakah PAS akan tolak calon yang seagama dengannya atau sekurang-kurangnya yang boleh mengucap dua kalimah syahadah? Apatah lagi jika calon tersebut memang mahir dalam bidang agama yang sekurang-kurangnya boleh mengimamkan sembahyang.
Tapi sayang baru aje Pengurus Pilihanraya Bukit Selambau nak umum keputusan pilihan raya tersebut, Wak terjaga dari tidor. Tak tahu apa keputusannya. Mungkinkah calon bebas akan menang sekali lagi di Bukit Selambau ? Mungkinkah kali ini calon Melayu pula yang akan menang ?

Seronok juga sekali sekala bermimpi politik.

Wednesday, February 11, 2009

KASIHAN NIZAR

Wak sangat bersimpati kepada Nizar. Kebelakangan ini beliau nampaknya terpaksa melakukan sesuatu yang Wak yakin beliau sendiri tidak rela melakukan dalam keadaan normal. Tetapi apa boleh buat. Walaupun tak suka, beliau terpaksa melakukannya juga. Ini adalah untuk survival politik pembangkang.

Wak dapat menyelami hati nurani Nizar. Beliau sebenarnya mempunyai akhlak yang tinggi dan asuhan yang baik dari keluarganya. Pada pendapat Wak, Nizar mempunyai pertimbangan diri yang mulia dan peribadi yang terpuji. Tetapi mengapa kebelakangan ini beliau kelihatan seperti mereka yang tidak berpijak dibumi nyata dan berkelakuan pelik dengan mengeluarkan kenyataan yang menjadi bahan ketawa rakyat.

Beliau masih menganggap dirinya sebagai MB walaupun semua orang tahu beliau bukan lagi MB. Beliau masih lagi berkeras mahu buat mesyuarat EXCO walaupun tahu tak ada orang akan peduli kepada keputusan mesyuarat EXCO tersebut. Banyak lagi yang beliau buat yang bersikap kebudak-budakan. Tapi mengapa beliau terus melakukannya????

Jawabnya mudah sahaja. Sama seperti semasa beliau menjadi MB dulu, kinipun sama. Beliau hanya menjadi puppet dan kuda tunggangan. Kalau dulu beliau dikongkong, dikuasai dan mengikut telunjuk DAP dalam memerintah negeri Perak, kini pada pendapat Wak, beliau menjadi puppet kepada Anwar Ibrahim.
Wak percaya semua percaturan politik dan peristiwa yang berlaku di Perak adalah atas arahan Anwar Ibrahim dan beberapa pakar strategik. Masakan Nizar boleh berbuat demikian kerana beliau bukanlah orang yang berhati keras. Beliau sebenarnya adalah seorang yang amat lembut dan berjiwa sentimental. Tetapi beliau terpaksa akur dengan strategi pembangkang yang mahukan tekanan terus menerus dibuat kepada kerajaan dan menimbulkan simpati di kalangan rakyat. Beliau hanya mengikut arahan apa yang perlu dibuat. Kalau diarah buat A maka Nizar akan melakukan A. Jika diarah buat B, maka B lah yang dibuat.

Kasihan Nizar. Terpaksa sekali lagi jadi kuda tunggangan. Wak sebenarnya amat bersimpati dengan beliau. Watak beliau dulu dan sekarang amat berbeza. Beliau terpaksa melalui sesuatu yang bukan menjadi prinsip hidupnya. Itulah realiti dunia politik. Suka atau tidak, itulah hakikat yang terpaksa dilaluinya. Wak tak tahu apa pula akan berlaku pada esok hari. Setakat mana Nizar dapat bertahan dari menjadi kuda tunggangan.

Friday, February 6, 2009

CUKUPLAH ANWAR

Wak percaya peranan Anwar sebagai pakar ‘Gerakan Massa’ akan terus menerus mencipta ketegangan dan membuat kacau di Perak dengan mengapi-apikan rakyat untuk bangun menentang kerajaan Perak yang baru ditubuhkan. Sesiapa yang mengenali Anwar, sudah pasti tahu bentuk permainan Anwar yang sungguh licik.

Apa sahaja yang dilakukannya, beliau pasti mengaitkan atas nama kepentingan rakyat. Seakan-akan hanya beliau yang berjuang dan menjadi pelindung untuk rakyat. Tapi sebenarnya, penggunaan istilah atas kepentingan rakyat hanya alasan basi yang sering digunakan oleh Anwar. Nawaitu sebenar ialah AKU INGIN BERKUASA. Rakyat hanya menjadi alat untuk beliau memperoleh kuasa.

Wak percaya Anwar akan terus membuat kacau. Demonstrasi demi demonstrasi akan dibuat. Sepanduk dan risalah mengapi-apikan rakyat akan diedarkan di merata-rata tempat. Pelajar-pelajar IPTA dan IPTS akan diguna untuk menghasut rakyat. Dan berbagai strategi akan dilancar.

Itulah Anwar Ibrahim. Dari dulu hingga sekarang perangainya tidak berubah. Anwar sebenarnya tak pun fikir masalah rakyat. Beliau tak peduli kesan yang mungkin timbul akibat perbuatannya. Yang penting aku dapat jadi PM. Itulah Anwar.

Bagi Wak, orang sebegini hanya layak duduk di penjara sahaja daripada menjahanamkan Negara. Biar dia jadi PM dalam penjara saja. Cukuplah Anwar.

MASIH WARASKAH NIZAR?

"Kita akan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sehingga ke titisan darah terakhir," demikian penegasan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya yang membanjiri kediaman rasmi malam tadi. Beliau yang memberi ucapan yang berapi dan penuh semangat demi mempertahankan kerajaan rakyat daripada dirampas oleh kerajaan BN. Beliau juga berkali-kali membuat penegasan tidak akan meletak jawatan Menteri Besar biarpun sudah mendapat arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. - Sumber Detikdaily

Wak rasa Nizar nie sudah kena penyakit gila kuasa. Orang yang dah pernah rasa sedikit kuasa yang diberi Allah, apabila diambil balik kuasa, terus hilang pertimbangan dan pedoman. Apa yang dimaksudkan oleh beliau hingga ke titisan darah terakhir??? Sanggup mati ke? nak lawan Raja ke?? Susah nak tafsir maksud yang dilafazkan.

Orang Melayu pantang biadap terhadap Raja apatah lagi derhaka. Wak nak ingatkan Nizar, bawalah bersabar. Teguhkan iman. Kalau nak lawan, ikutlah peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang. Lawanlah di mahkamah, bukan dengan cara mengapi-apikan rakyat.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMMPaduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Wednesday, February 4, 2009

TEORI DOMINO TERBALIK KONG

Wak rasa momokan pembangkang bahawa mereka sedang menuju kejayaan demi kejayaan dalam usaha menakluki pemerintahan pusat sudah terbalik kong. Hasrat Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan pusat tidak kesampaian seperti mana yang mereka harapkan melalui teori Domino. Pakatan Rakyat bukan sahaja semakin lemah akibat perbuatan melompat ahlinya, malahan telah kehilangan kuasa di Perak. Inilah yang dinamakan politik.

Minggu lepas kita lihat BN seperti dalam keadaan nazak. Tapi hari ini, BN kembali memerintah Perak. Minggu lepas kita lihat Pakatan Rakyat gah, kuat dan takbur kerana wakil BN melompat ke kem Pakatan Rakyat. Tapi hari Pakatan Rakyat sudah hilang kuasa di Perak.

Politik adalah seni serba kemungkinan. Hari ini kawan, esok boleh jadi lawan, dan lusa boleh jadi kawan balik. Itu lah realitinya dunia politik. Tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Yang kekal ialah kepentingan.

Apapun, Wak harap tidak akan wujud kekacauan yang serius yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Nak berpolitik, berpolitiklah. Janganlah sampai hilang kewarasan.